Skip to Content

ANTOLOGI CERPEN ONLINE RELOAD - HALUSINASI

Foto ac jaffrie
files/user/9903/on9_reload1.jpg
on9_reload1.jpg

HALUSINASI

Oleh : AC JAFFRIE

 

N

ORDIN dan Suria berpandangan. Kali ini mereka sudah sepakat. Percutian yang dirancangkan mesti dibatalkan. Pengalaman yang ditempuhi malam tadi amat menakut dan mengerikan. Biarlah mereka kerugian wang ringgit daripada ditimpa malapetaka. Apapun yang terjadi, mereka mesti segera meninggalkan kawasan hutan itu.

      Enjin kereta dihidupkan. Namun, beberapa kali cubaan Nordin itu hanya menemui kegagalan. Dia terus berusaha dan mencuba sedaya upaya. Kelihatan peluh mula membasahi dahinya. Tampang wajah Suria nampak culas. Sambil mengetap bibir, sesekali mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu. Cuaca ketika itu agak baik.

            “Macam mana ni bang? Enjin kereta masih tak boleh hidup!” tukas Suria yang berasa bimbang.

    “Sabarlah... kita cuba sampai berjaya. Awak duduk tepi dulu.”

   “Perasaan saya tak tenang selagi kita tak keluar dari kawasan hutan ni.”

            “Ini semua dugaan. Kita kena sabar dan terus berusaha. Awak duduk diam-diam. Lagi banyak awak bercakap, lagi tak senang saya nak buat kerja!”

            Jarum jam terus berdetik. Enjin kereta masih gagal dihidupkan. Sesekali kedengaran bunyi suara haiwan bersahutsahutan. Melilau juga biji mata Suria memerhatikan kawasan sekitar. Bimbang juga jika ada haiwan liar menghampiri kedudukan mereka. Tetapi kalau bukan suara haiwan, itu lebih menakutkan. Tubuh badan Suria mula terasa seram sejuk.

            “Bang... bang...”

            “Hmm... kenapa awak ni? Duduk diam-diam boleh tak?”

            “Bunyi suara apa tu? Meremang bulu tengkuk saya ni!”

            “Dah kita dalam hutan, tentulah suara binatang. Suara monyet atau ungka tu. Dah, awak jangan bimbang!”

            Suria berpeluk tubuh. Apapun alasan daripada Nordin, di hatinya tetap bersarang bimbang. Sudah agak lama mereka berdua berada di pinggir hutan itu namun belum lagi kelihatan kenderaan atau orang yang lalu lalang di kawasan itu. Matahari semakin meninggi. Cuaca semakin panas.

            “Bang...”

            “Apa lagi awak ni?”

    “Abang perasan tak, tak ada orang atau kenderaan lalu sini sejak dari pagi tadi kita di sini. Jalan dan kawasan ni sunyi sangat...”

    “Boleh tak awak jangan layan perasaan takut awak tu? Jangan fikir benda yang bukan-bukan!”

            “Eh, kita tanya jawablah elok-elok. Kalau ada orang atau kenderaan yang lalu bolehlah kita minta pertolongan. Sampai bila nak tunggu kat sini kalau enjin kereta ni masih tak hidup? Kalau cuaca dah gelap lagi kita susah!”

    Nordin menggaru kepala. Sesekali dia melepaskan nafas kelelahan. Ada betul juga kata-kata isterinya itu. Dia juga bimbang tetapi perasaan itu dibiarkan begitu sahaja. Macam-macam sudah dibuat, namun enjin kereta masih belum berjaya dihidupkan.

            “Cuba awak Google kot ada bengkel kereta dekat kawasan ni. Abang rasa enjin kereta tak ada masalah, minyak pun masih penuh. Tak tahu kenapa meragam pula. Hmm... entahlah!”

            Suria ikut sahaja arahan suaminya itu. Lagi banyak dia bertanya, lagi kuat bebelan suaminya itu. Sakit juga telinganya mendengar. Sambil itu, tangannya menekan-nekan telefon bimbitnya mencari maklumat jika ada bengkel kereta berhampiran di situ. Kalau ikut kata perempuan misteri yang mereka temui malam tadi, memang ada bengkel kereta di kawasan berhampiran. Tetapi adakah perkara itu benar? Kejadian yang berlaku malam tadi telah menghakis kepercayaannya kepada kewujudan perempuan misteri itu. Malah, warung tempat mereka makan dan berteduh juga ghaib daripada pandangan mata pagi ini.

            “Hmm... masa inilah nak buat hal!”

 Suria merungut sambil membentak. Memang dia sangat tidak puas hati ketika itu. Jari jemarinya masih pantas menekan butang telefon bimbitnya berkali-kali. Ternyata usahanya hampa. Nordin turut kehairanan.

            “Kenapa?”

            “Tak ada coverage pulak!”

            Nordin menepuk dahi. Dia turut mengeluh. Sehabis dayanya mahu menghidupkan enjin kereta itu masih menemui jalan buntu. Dia hampir berputus asa. Simbahan peluh sudah membasahi keseluruhan tubuhnya. Rasa penat hanya Tuhan sahaja yang tahu. Apa lagi ikhtiar yang mereka mesti lakukan? Hendak minta pertolongan, tidak tahu kepada siapa. Mereka berdua semakin keletihan. Nordin mengarahkan Suria agar masuk ke dalam kereta demi keselamatan diri manakala dia duduk di tempat memandu memikirkan apa yang patut dilakukan seterusnya. Pintu kereta dikunci. Sekurang-kurangnya mereka berdua selamat berada di dalam kereta.

***** 

T

OK! Tok! Tok!

Kedengaran cermin tingkap kereta diketuk berkali-kali. Tanpa sedar, Nordin dan Suria tertidur di tempat duduk kereta hadapan. Ketukan kuat yang bertalu-talu itu mengejutkan Suria dari lena yang panjang. Melihat susuk tubuh yang tiba-tiba berada di luar tingkap kereta menyebabkan Suria amat terkejut. Wajah susuk tubuh yang dilihat amat mengerikan. Dia menjerit kuat bagai kerasukan akibat ketakutan yang melampau.

            “Arrrggggghhhhhhhhhhh!!!”

            Jeritan yang kuat itu menyebabkan Nordin terjaga. Nordin turut terkejut dan panik. Dia masih mamai dan ingin tahu apa yang sedang berlaku. Suria masih menggigil ketakutan. Nordin cuba menenangkan isterinya. Peluh dingin merecik ke seluruh badan Suria. Nordin menepuk-nepuk dan menggoncang badan Suria supaya kembali tenang.

            “Awak ni dah kenapa?”

            Suria masih membisu. Riak ketakutan masih tebal pada tampang wajahnya. Nordin mengusap-usap wajah isterinya sambil mulutnya terkumat-kamit seperti membaca sesuatu. Apa sahaja ayat rukyah yang terlintas di kepalanya akan dibaca. Cuaca ketika itu semakin gelap. Siang sudah bertukar menjadi malam. Bunyi unggas hutan yang bersahutan sesekali memancing rasa takut di benak Nordin. Namun, sebagai seorang lelaki, dia mesti berani.

            “Awak okey ke?”

            Nordin masih berteka-teki. Mesti ada sebab mengapa Suria ketakutan. Dia sendiri tenggelam punca sebab tertidur tadi. Sedarsedar, dia mendengar jeritan kuat di sebelahnya. Kali ini Nordin membaca ayat Kursi dengan harapan segala kecelaruan akibat gangguan jin dan syaitan dapat dijauhkan. Ayat Kursi juga dapat menenangkan jiwa jika dibaca berterusan. Dengan izin Allah SWT, situasi yang celaru akan kembali pulih. Begitulah juga dengan keadaan Suria yang kini kembali tenang.

            “Tolong! Tolong abang... saya takut!”

            “Awak takut apa? Abang ada je ni sebelah awak.”

            Pandangan mata Suria melilau melihat ke luar tingkap kereta. Susuk tubuh yang dilihat tadi tidak kelihatan. Makhluk yang dilihat tadi memang sangat mengerikan. Keadaannya tidak terurus serta berkuku panjang. Lebih menakutkan apabila keseluruhan mata makhluk itu putih tanpa anak mata. Suria mengurut dadanya beberapa kali. Adakah makhluk yang dilihat tadi hanya ilusi akibat memikirkan perkara yang bukan-bukan? Suria memejamkan mata.

            “Jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Jangan dilayan sangat perasaan takut tu!”

            “Tapi... me... memang Su nampak tadi...”

            “Awak nampak apa?”

            “Tiba-tiba kat luar tingkap kereta ada wajah yang mengerikan. Dahlah rupa hodoh, anak mata langsung tak ada!”

    “Hish, dahlah tu... awak relaks dulu. Abang tak nampak apa-apa pun. Lain kali awak jangan layan sangat movie seram!”

            “Abang tidur mana tahu? Dah kena batang hidung sendiri baru tahu!”

            “Nah, minum air mineral ni, biar awak tenang sikit!”

            Tampang wajah Suria sedikit mencuka. Dia tidak boleh terima teguran suaminya itu. Bagi dirinya, apa yang dilihat tadi memang kenyataan. Dalam hutan sebegitu, ditambah pula cuaca semakin gelap, bermacam-macam perkara boleh berlaku. Makhluk ghaib memang ada di mana-mana. Dia berharap musibah yang sedang berlaku itu akan segera berakhir. Percutian yang diimpikan kegembiraan, kini bertukar menjadi suatu tragedi.

            “Hmm... awak duduk diam-diam dalam kereta ni. Abang nak keluar kejap.”

            “Eh, awak nak ke mana pula? Saya ikut!”

             “Perut abang ni tiba-tiba memulas. Faham-faham sajalah!”

            “Sa... saya ikut abang.”

            “Eh, awak dah hilang akal ke?”

            “Sa... saya... saya takut bang! Biar sa... sa... saya temankan abang!”

            Nordin mendengus. Sakit kepalanya melayan kerenah Suria. Perutnya semakin memulas. Dalam keadaan kritikal macam ini, masa inilah perutnya sakit. Dia bukan tidak faham keadaan dan perasaan yang ada dalam diri Suria ketika itu. Dia juga ada rasa seram tetapi terpaksa memberanikan diri. Lebih-lebih lagi seorang lelaki. Kalau dia turut takut, maka keadaan akan menjadi lebih bercelaru lagi.

            “Perut abang sakit sangat ni. Awak duduk diam-diam, tutup semua pintu kereta!”

            Suria terpaksa turutkan kata suaminya. Peluh dingin kembali meramahi tubuhnya. Mukanya ketat mencuka. Perasaan takut dan bimbang bersulam di fikiran.

            “Abang jangan pergi jauh dan lama-lama...”

            “Yalah, dekat-dekat sini je. Tak jauh dari pokok sana tu!”

            Selepas hilang bayang Nordin dari pandangan mata, Suria mematikan diri di tempat duduknya. Sempat juga dia beristighfar supaya tidak ada perkara buruk akan berlaku. Masa terus berlalu. Sepuluh minit menjadi setengah jam. Suria sudah mulai gelisah. Wajah yang ditunggu masih belum muncul lagi. Dalam fikirannya mula bermain bermacam-macam perkara. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Semakin runsing dan berserabut fikirannya ketika itu.

            Suria sudah membuat keputusan. Dalam ketakutan, ada sedikit perasaan berani. Semuanya demi keselamatan dan kebaikan mereka berdua. Tangannya membuka dashboard depan kereta. Sebuah lampu suluh kecil kemas digenggam di tangan kanan. Lock pintu kereta dibuka lalu dia melangkah berhati-hati menuju ke tempat sasaran berhampiran.

            “Abang! Abang! Abang kat mana?”

            Suria memanggil suaminya berulang-ulang. Namun, teriakannya itu tidak berbalas. Cahaya suluhan lampu picit di tangan Suria nampak tunggang-langgang. Jantungnya mula berdegup kencang. Anak nafas mendengus kasar turun naik. Segala pergerakan amat pantas. 

            “Abang! Abang!” teriak Suria bertalu-talu. Langkahnya terus diatur ke hadapan.

            Prakkk!!!

            Tiba-tiba kedengaran seperti ranting kayu dipijak kuat. Langkah kaki Suria terhenti seketika. Matanya melilau memerhati dari mana datangnya bunyi pijakan kayu patah yang jelas kedengaran di telinganya. Cahaya lampu suluh dihalakan ke arah yang sama. Tiada apa-apa lembaga yang dilihat. Dia mesti berhatihati. Dalam keadaan begitu, mungkin juga pijakan dari binatang buas. Di kepalanya muncul bayangan babi hutan dan anjing liar atau mungkin juga Nordin yang sudah selesai menunaikan hajatnya.

            “Bang... abang ke tu?”

            Senyap. Suasana menjadi sepi seketika. Sesekali kedengaran jelas bunyi cengkerik dan riang-riang. Angin malam perlahan-lahan bertiup dingin. Suria masih lagi mencari Nordin yang hilang tanpa diduga. Mungkinkah suaminya sesat atau suatu musibah telah menimpanya? Persoalan negatif itu bersilih ganti. Debaran di dadanya menjadi semakin kencang.

            Prakkk!!!

            Sekali lagi kedengaran bunyi pijakan ranting kayu yang patah. Bunyi itu semakin kuat menghampiri di mana lokasi Suria sedang berdiri.

            “Tolonglah abang jangan main-main!”

            Teriakan daripada Suria itu tetap tidak bersambut. Akhirnya Suria memutuskan itu bukan Nordin. Kalau bukan Nordin, siapakah gerangannya? Dia mula rasa tidak sedap hati. Wajah lembaga hodoh yang muncul di tingkap kereta tadi mengapung di pandangannya. Lembaga hodoh lagi menyeramkan itu seolah-olah sedang menghampirinya. Badannya mula berasa seram sejuk. Itu petanda dia sedang ketakutan. Pelahan-lahan kakinya mengundur. Semakin lama semakin jauh ke belakang.

            Suria tidak bernasib baik. Semasa dia mengundur, kakinya tersangkut pada akar kayu yang berselirat di tepi tebing. Ketidakseimbangan badannya berdiri membuatkan dia jatuh tersungkur sehingga lampu picit dalam genggaman tangan turut tercampak. Sempat tangan kanannya memaut akar kayu yang terjuntai di tepi tebing.

            “Abang! Tolonggg!!!” jerit Suria sekuat hati dalam kegelapan malam itu.

            Suria merintih. Dia mulai kepenatan dan keletihan. Semakin lama semakin lemah tenaga tangannya berpaut pada akar yang terjuntai itu. Pada saat yang genting itu, segala kemungkinan akan berlaku. Fikirannya ketika itu mengingatkan saat kematian hampir tiba. Dia tidak mampu lagi bertahan pada akar kayu yang sedang dipaut itu. Dalam beberapa detik mendatang, pasti tubuhnya akan jatuh melayang ke dalam gaung yang dalam. Jasadnya pasti berkubur di situ tanpa nisan.

            Suria sudah tidak mampu lagi bertahan. Cengkaman tangannya menjadi semakin lemah. Perlahan-lahan pegangan tangannya pada akar kayu yang terjuntai itu dilepaskan. Dia pejamkan mata. Buat kali terakhir, wajah Nordin mengapung di ruang mata. Lelaki itu telah hilang entah ke mana. Lelaki yang menjadi harapan serta pelindungnya itu sudah tidak boleh diharapkan lagi. Sehabis dayanya untuk bertahan tetapi memang dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia. Peluh dan air mata mula bercampur.

            Masanya sudah tiba. Suria tiada pilihan selain melepaskan pegangan tangannya dari akar kayu yang menjadi penyelamat sementaranya itu. Saat jasadnya mula terasa melayang, tiba-tiba ada tangan-tangan kasar yang menarik kuat tubuhnya ke atas.

            “Ya Allah! Su... Suria! Bangun Su!” tempelak kuat suara seorang lelaki yang bernama Nordin. Dia terus menggoncang kuat tubuh Suria yang berada dalam keadaan lemah. Nordin turut berasa panik melihat keadaan itu. “Bangun Su! Bangun!”

            Nordin segera mengambil air mineral lalu mengusap ke seluruh wajah Suria. Mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu lalu menghembus ke arah wanita dalam dakapannya itu. Beberapa minit kemudian, keadaan kembali tenang. Suria sudah membuka mata. Keadaannya masih lemah.

            “Abannggg... jangan tinggalkan Su! Su takut!” rintih Suria.

            Nordin memeluk erat isterinya. Dia memahami situasi yang berlaku sekarang. Ketakutan yang amat membuatkan Suria menjadi trauma. Pengalaman pahit yang dilalui dalam tempoh yang drastik begitu membebankan fikiran wanita itu. Dugaan yang mereka alami itu pasti menjadi kenangan pahit dalam hidup mereka.

            “Abang pergi mana? Puas Su cari... abang tak sayangkan Su agaknya.”

            “Eh, kan abang pergi buang air. Su turun dari kereta buat apa? Terkejut abang bila tengok Su tak ada dalam kereta. Nasib baik abang sempat selamatkan Su.”

            Suria terus menangis. Nordin cuba memujuk. Dia tahu dalam keadaan ini, Suria juga tidak boleh disalahkan. Sesiapa pun yang berada dalam situasi tertekan dan ketakutan akan sanggup berbuat apa sahaja untuk keselamatan diri dan insan tersayang.

            “Su takut, bang! Su takut!”

            “Kita kena sabar dan bertahan. Sekarang hari makin gelap, kita tunggu esok.”

            Nordin memeluk erat isterinya. Suria berasa lega dan selesa berada dalam dakapan suaminya pada ketika itu. Trauma yang dialami mula menyusut. Tiba-tiba, telefon bimbit milik Nordin menyala menandakan ada mesej yang masuk. Ada puluhan missed call masuk tidak berjawab. Kemudian ia disusuli dengan deringan telefon. Mereka berpandangan. Ini sesuatu yang sangat pelik. Ada panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

            “Abang, jawablah. Mana tahu kita boleh dapatkan bantuan!” tukas Suria memberi cadangan.

            “Pelik! Tiba-tiba ada coverage!” ujar Nordin.

            “Abang, jawablah minta pertolongan!”

            Nordin akur dengan arahan Suria. Ketika dia mahu membalas panggilan itu, riak wajahnya sangat terkejut. Telefon yang dipegang terlepas dari genggamannya. Ada sesuatu yang mengganggu emosinya. Perlakuan itu menjadi tanda tanya kepada Suria.

            “Kenapa bang? Siapa yang call?”

            Nordin tidak menjawab pertanyaan itu. Dia memberanikan diri mengambil semula telefon yang tercampak ke tanah. Loud speaker pada telefon bimbit itu dibuka. Ternyata masih kedengaran suara hilaian yang menakutkan bertalu-talu memecah sepi. Nordin dan Suria berasakan diri mereka sudah terperangkap dalam dunia halusinasi. Dunia yang terasing dari dunia yang sebenar.

 

BIODATA PENULIS

AC JAFFRIE, penulis yang berasal dari negeri Melaka. Mula menulis sejak zaman persekolahan. Meminati semua genre penulisan seperti puisi, cerpen, buku kanak-kanak, novel remaja, novel dewasa dan skrip drama TV. Antara penerbit yang pernah menerbitkan karya beliau seperti DBP, ITBM, Alaf 21, Penerbitan Fajar Bakti, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, SO Publishing dan Pena Padu Press.


Tajuk Buku : Antologi Seram & Thriller ONLINE RELOAD

Penyelenggara : AC JAFFRIE & ASRAF SHAARI

Tahun Terbit : 6/2021

Jumlah Muka Surat & ISBN : 200 (ISBN : 978-967-2136-48-4)

Penerbit : PENA PADU PRESS

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler