Skip to Content

BELANG NAN MENGHILANG

Foto Kemirau

BELANG NAN MENGHILANG

 

LANGIT mendung. Entah ke mana matahari menyelinap. Berturut-turut hujan lebat. Berjeda diikuti gerimis berlarutan ke malam. Beberapa kawasan di Melaka turut terjejas banjir. Meskipun tidak seteruk di Shah Alam dan Hulu Langat, namun kekerapan berlakunya banjir cukup melelahkan. Tahun ini saja sudah tiga kali bah melanda. Pekan Durian Tunggal tenggelam sekiranya hujan berterusan selama tiga jam. Banjir dahsyat yang melanda diburukkan lagi oleh kekalahan memalukan pasukan negara di kejohanan AFF Suzuki 2020 kala pandemik yang tak berkesudahan. Bertimpa-timpa.

“Aku cukup geram!” Paklong Manan melepaskan rasa kesalnya sambil menguis-nguis lumpur yang melekat di dinding. Selalunya beliau kelihatan tenang. Hari ini ternyata berbeza. Kemarahannya membuak-buak. Bagaikan tak dapat ditahan-tahan lagi.

“Memalukan sungguh!” bentaknya.

“Kalaulah mereka faham makna menyarung jersi pasukan kebangsaan, pasti mereka bermain mati-matian,” celah Busu Taib.

“Mereka gagal menguruskan pasukan. Langsung tak memahami seni bola sepak.” Paklong Manan melepaskan kritikan pedas.

“Selama ini mereka perasan bagus,” tambahku menghangatkan suasana.

“Aku ingat Busu Taib engkau ‘ni boleh melatih pemain kita dengan lebih baik lagi. Bukan sedikit pengalamannya. Pernah bermain dalam pasukan Malaysia B ketika era kegemilangan Supermokh dulu!”

Aku tersentak seraya memandang tepat wajah Busu Taib.

‘Patutlah Busu Taib setiap petang turun ke padang tahun 1980-an dulu,’ bisik hatiku.

“Ah, itu cerita lamalah Manan. Sekarang nak latih budak-budak muda kampung pun payah. Mereka asyik bermain game.”

Sewaktu zaman 1970-an, pasukan bola sepak kampung kami hanya bermain di tanah rezab Kereta Api Tanah Melayu (KTM). Luas padang sekangkang kera. Di situlah juga tempat kami budak-budak Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam (SKBD) bermain dan bersukan. Manakala di sebelah hilir kampung iaitu di Solok Ayer Hitam, anak-anak muda bermain bola sepak di tanah bendang yang kering. Setelah SKBD berpindah ke sekolah baru di darat ladang Kim Heng, barulah kami merasa bermain di padang yang sebenar. Itupun saiz padangnya saja yang standard. Tiang dan palang gol masih diperbuat daripada batang pinang dan buluh. Namun suasana latihan cukup meriah sekali. Sementelah pula ada piala yang direbutkan di peringkat DUN.

Aku pernah menjaringkan gol di ketiga-tiga padang tersebut. Di padang rezab KTM, sewaktu PJ, sebaik merima bola tendangan sudut lalu aku menyepak masuk ke gawang dengan kaki kanan. Semasa berusia awal 20-an, usai bekerja di sawah aku ke padang Solok Ayer Hitam. Dalam keadaan pakaian basah kepeh, aku berjaya sumbatkan bola dengan tendangan lambung.

“Dapat dia kelecek aku,” ujar Roslan tak berpuas hati.

“Saya meloncat, tak tercapai dek tangan,” keluh Zainal, penjaga gawang.

“Hari ‘tu dia jaringkan bola dengan perut.” Busu Taib mengusikku sambil tergelak disambut ketawa berderai.  

“Punyalah senak, tuhan saja yang tahu,” balasku.

Bola tendangan sudut meluncur laju ke arahku. Tak sempat mengelak. Sekonyong-konyong bola tersebut bergolek masuk ke gawang setelah menghempuk perutku. Aku menonggeng kesakitan. Lat beberapa minggu, aku menjaringkan gol lagi. Kali ini melalui tendangan bebas menggunakan kaki kiri pula. Kami bermain tanpa kasut bola. Hanya berkaki ayam. Anehnya berupaya melahirkan ramai pemain yang baik. Walhal segelintir pemain sahaja yang berpakaian serba lengkap dengan kasut bola, jersi, stoking panjang dan shinguards.

“Wah, menerawang ke mana ‘tu?”

Aku tersentak dengan sapaan Paklong Manan sambil ditepuknya bahuku. Ralitnya mengelamun kisah lebih 35 tahun lalu.

“Esok kita kumpul budak-budak, latih mereka cukup-cukup,” ujarnya bersemangat.

“Sekarang kita tak boleh gunakan padang SKBD lagi,” sampuk Busu Taib.

Aku menambah, “Silap kita juga. Kepercayaan diberi pihak sekolah tidak dihargai. Kebersihan tidak dijaga. Semasa buat kelas tambahan di situ dulu, lembu masuk kawasan sekolah, saya sendiri halau keluar.”

“Tahun bila ‘tu?”

“Wah, banyaklah masuk!”

Pandai betul mereka menyakat diriku.

“Sekitar tahun 1984 hingga 1986. Sukarela saja Paklong, Busu. Isteri pengerusi kampung dan jawatankuasa masjid pun pernah menjadi murid saya.”

Sebagai orang dewasa, kita perlu tunjukkan contoh teladan yag baik kepada generasi muda. Jika kita sendiri yang menjentik puntung rokok merata-rata di kawasan sekolah, tidak mengepam tandas setelah digunakan, justeru usah hairan sekiranya anak-anak muda melakukan perkara yang sama. Begitulah juga dengan pengurusan FAM yang dibarisi ramai perokok tegar. Tabiat buruk tersebut menurun dalam kalangan pemain pula. Justeru, dapat dilihat ramai pemain yang lekas pancit. Profesionalisme dan disiplin sangat penting dalam melakukan apa jua tugas. Melaksanakan tanggungjawab yang dipikul sehabis baik merupakan suatu amanah. Malah Cristiano Ronaldo (CR7) sendiri pernah menyatakan bahawa, “There are no secrets. It’s dedication and hard work.” Itulah jawapan spontan beliau apabila ditanya oleh wartawan berkenaan rahsia mengekalkan kecergasannya.

Suatu pagi, sebelum bergotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir, kami bertiga singgah di warong Wak Jamadi. Ramai pengunjung yang bersembang pasal kekalahan memalukan, empat berbalas satu kepada Timnas Indonesia. Bermacam-macam hujah kedengaran. Bagaikan berada dalam forum sukan.

“Safawi bukan main bergaya jaringkan hat trick.”

“Syok sendiri. Satu daripadanya jaringan penalti.”

“Lawan dengan Laos dan Cambodia bolehlah menang.”

“Laos berada dalam ranking ke 187, Cambodia pula ranking ke 171.”

“De Paula ‘tu kaki kayu!”

“Kuda tua diambil jadi pemain naturalisasi.”

“Arif Aiman ‘tu harapkan usia saja muda, tapi tak bertenaga.”

“Budak ‘tu langsung tak tunjuk sikap bertanggungjawab. Bola kerap terlepas. Sepatutnya rebutlah semula. Ini dibiarkan saja.”

Bukan main rancak lagi perbualan mereka. Jelaslah bahawa masyarakat sangat mengambil berat akan kemajuan pasukan bola sepak tanah air. Bukan sekadar soal kalah menang. Malah melibatkan maruah negara!

Paklong Manan mencelah, “Itulah bezanya pemain sekarang dengan yang dulu.”

“Macam mana pula?” tanya seorang pemuda dalam kumpulan yang bersembang kencang pasal bola tadi. Dia kelihatan sedikit gelisah.

“Pemain dulu bermain mewakili negara dengan penuh bangga.”

“Pemain sekarang pun apa kurangnya.”

“Oh, tak sama. Pemain sekarang lebih cintakan kelab. Gaji yang lumayan di kelab Liga M telah menghanyutkan mereka.”

“Itu rezeki mereka.”

“Memang. ‘Tapi tunjukkan permainan yang setanding apabila mewakili negara.”

“Sudahlah Manan, letih layan budak ‘ni,” pujuk Busu Taib.

Aku cuma mendengar dan perhatikan gelagat masing-masing. Pernah aku dibalun oleh netizen bila mengkritik pasukan Harimau Malaya. Itulah dia, sokong membawa rebah.

‘Bagaimana nak maju jika tak boleh menerima teguran dan kritikan,’ aku bertanya dalam hati. Langsung aku teringat akan sajakku yang terbit dalam Dewan Sastera Bil. 4 tahun 2020 lalu. Judulnya, ‘Harimau Malaya Kami’. Bait-baitnya berbunyi begini:

 

Masih kuingat pada tahun 1970-an awal 1980-an

era Choon Wah, Shaharuddin Abdullah, M. Chandran

Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun

juga James Wong, Hassan Sani dan Yahya Jusoh

layak ke Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980

Jepun, Korea, Thailand, USA dibelasah sungguh!

 

Namun kini segalanya jauh berubah

Jepun, Korea acapkali ke Piala Dunia FIFA

Harimau Malaya kami terkial-kial tak sudah

Vietnam mencanak panjat ranking dunia

Myanmar, Thailand sama naik berjanjang

lawan Cambodia pun kami kecundang!

 

Dulu kerja sara keluarga cukup bangga wakili negara

sekali jersi disarung bagai ayam sabung bertarung

kini pendapatan tinggi gaya hidup umpama selebriti

robek gawang Timor-Leste tempik bak kalahkan Chile!

 

Liga M kami meriah lebihnya lempang-lempung

gendang Ultras Malaya tak cemuih menyokong

gaji jurulatih mahupun pemain naik melambung

bicara bola di TV sembang kencang lompong.

 

Sewaktu beristirahat setelah menyelaraskan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, Paklong Manan menyambung kisah pasukan bola sepak negara pada dekad 1970-an dan 1980-an. Menurutnya, pada tahun 1972 Malaysia layak ke Olimpik Munich. Berjaya menumpaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina. Malah menumpaskan USA tiga gol tanpa berbalas. Perjalanan seterusnya disekat oleh pasukan Jerman Barat dan Maghribi. Malaysia menduduki tempat ke-10 daripada keseluruhan 16 pasukan.

“Kita kalah dengan Jerman Barat 3-0.” Paklong Manan meluahkan rasa kesal.

“Okey ‘tu. Kita kalah dengan UAE 10-0 pada tahun 2015 lalu,” aku berkias.

“Sedih… mengaibkan betul.” Busu Taib menggelengkan kepala.

“Lihat saja fizikal jurulatih masa ‘tu. Boroi. Jurulatih yang BMI normal pula, tangan asyik dalam saku seluar,” ujarku berseloroh.

“Siapa ‘tu?”

“Siapa lagi Paklong… yang tak berani tampil mengadap panel penyiasat itulah.”

Terdapat komen sarkastik oleh netizen, “FAM melantik badan penyiasat yang dipengerusikan oleh bekas SU Agung FAM dan beliau mendapati FAM tak bersalah.”

Pengerusi Badan Siasatan ‘Bebas’ itu cuma melahirkan rasa kesal setelah menerima laporan yang sangat mengecewakan. Aku berasa sungguh hairan. Bagaimana FAM boleh gagal menyiapkan laporan yang komprehensif, meliputi semua fakta perlawanan, dan membuat analisis berkaitan isu-isu teknikal dan taktikal.

Busu Taib menambah, “Ketika Malaysia layak ke Olimpik Moscow 1980, pasukan bola sepak kita dibimbing oleh jurulatih Jerman. Terlupa pula nama jurulatih ‘tu.”

“Weigang,” jawabku ringkas.

“Oh, baru aku ingat, Karl-Heinz Weigang.”

“Amboi, nama penuh ingat pula,” usik Paklong Manan.

Aku mencari-cari di YouTube. Kutemui wawancara wartawan bersama mendiang. Menurut Weigang, ”We believe that if the players sing the National Anthem, it will instill national pride within them. That was the main reason.”

Our team was technically, physically and mentally well prepared,” lanjutnya lagi.

Di sinilah letaknya kekuatan seorang jurulatih. Tan Cheng Ho sewajarnya merasa malu. Beliau ternyata gagal membentuk sikap dan jati diri dalam kalangan pemain. Barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sistem pendidikan vernakular turut merosakkan bola sepak Malaysia. Ketika era Supermokh, Chin Aun, Arumugam dan rakan sepasukan lainnya, masyarakat kita belajar dalam sekolah yang sama.

Lihatlah berapa orang pemain yang menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan bermula. Perhatikan postur tubuh, wajah, bibir mereka. Oh ya, perhatikan postur jurulatih sama. Ironinya, Weigang seorang berbangsa Jerman berjaya menanamkan jati diri, kepercayaan potensi diri, rasa bangga menyarung jersi negara dalam kalangan pemain. Setiap pagi sebelum memulakan latihan, mereka menyanyikan lagu ‘Negaraku’. Adakah Tan Cheng Ho, Dollah Salleh, K. Rajagobal, B. Sathianathan, dan Ong Kim Swee melakukannya? Renungkanlah.

“Apa yang asyik kau tengok ‘tu?” tegur Busu Taib.

“Weigang pernah melatih Ghana (1974-1975), Malaysia (1979-1982), Cameroon (1982-1986), Vietnam (1966-1968 (Selatan), 1995-1997),” balasku sambil meneliti maklumat di Wikipedia.

“Ghana berada di ranking 52 dunia, malah telah ke Piala Dunia tiga kali.”

“Tahun bila ‘tu?”

“Tahun 2006, berjaya ke pusingan kedua, tempat ke 13. Manakala tahun 2010 pula ke suku akhir dan berada di tempat ke 7. Akhir sekali pada tahun 2014, kandas di pusingan pertama namun menduduki tempat ke 25.”

“Cuba tengok pasukan Cameroon,” desak Paklong Manan.

“Cameroon berada di ranking 50 dunia. Telah ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali, iaitu pada tahun 1982, 1990, 1994, 1998, 2002, 2010 dan 2014.”

“Info bila ‘tu?” Busu Taib pinta kepastian.

“Setakat 19 November 2021.”

Menyorot kembali kegemilangan bola sepak Malaysia, kita tidak dapat menafikan sumbangan Weigang sama sekali. Beliaulah ‘Wira Tak Didendang’ bersama-sama barisan pemain yang hebat. Terdahulu, Jalil Che Din yang menjadi jurulatih pasukan Olimpik 1972 dan Sukan Asia 1974 di Tehran di mana pasukan negara memperoleh pingat Gangsa ternyata seorang ‘Wira Tak Didendang’. Mereka bukan sahaja memahami bola sepak, malah lebih daripada itu mencintai pasukan yang dibimbing. Sekonyong-konyong, aku teringatkan kata-kata mutiara V. Saravanan, bekas pemain Perak FA yang kini bertualang di Finland sebagai jurulatih, “Sukan bola sepak di Malaysia hanya akan maju jika diuruskan oleh mereka yang faham bola sepak.”

Suatu petang ketika mengendalikan latihan bola sepak bagi anak-anak remaja kampung, kami sempat berbincang perihal sikap patriotisme dalam membentuk pasukan yang mantap. Kami sangat positif dan melihat jauh ke depan.

“Kita kena mulakan dari bawah semula,” ujar Paklong Manan penuh yakin.

“Budak-budak ‘ni akan menyinar suatu hari nanti,” tambahnya lagi.

“Jurulatih berbakat seperti Lim Teong Kim diketepikan,” aku bersungut.

“Apa pengalaman dia?”

“Melatih pasukan remaja Bayern Munich selama 12 tahun.”

“Hakikatnya dia gagal ketika mengendalikan NFDP dan AMD. Tak padan dengan gaji RM175.000 sebulan. Diberi pengecualian cukai pula.”

“Hasil mengecewakan.”

Lalu aku mencari-cari maklumat di Google. Memang terkejut. TMJ mendedahkan bahawa Lim Teong Kim meminta gaji sebanyak 70,000 hingga 80,000 Euro sebulan! Iaitu sekitar RM327,000 hingga RM374,000 sebulan. Tak masuk akal langsung.

“Lambat turun?” teriakku sebaik kelibat Busu Taib terpacul dengan Vespa antiknya.

“Ada kerja sikitlah tadi. Apa yang kamu berdua bincangkan?”

“Pasal gaji jurulatih tak sepadan dengan komitmen yang diberikan. KPI gagal dicapai.” Paklong Manan bersungut.

“Sekiranya betul-betul sayangkan bola sepak, cintakan tanah air, mereka sepatutnya tidak terlalu berkira. Lagipun kepentingan negara yang lebih utama.”

Respon spontan Busu Taib mengingatkan aku kepada seorang Sejarawan yang sangat mencintai sukan khususnya bola sepak, iaitu mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. Beliau sangat menekankan peri pentingnya membangunkan jiwa patriotisme melalui sukan. Kunukilkan di sini petikan kenyataan beliau dalam laman sesawang www.mstar.com.my:

Saya masih ingat bagaimana kami menaiki bas dari Teluk Intan ke Hutan Melintang dan menaiki sampan menyeberangi Sungai Bernam, untuk sampai ke sebuah estet dan bertemu pasukan bola sepak sana. Menggembirakan, kami menang.

Kehidupan zaman remaja beliau yang bergiat dalam bola sepak mirip kisahku sendiri. Cuma kami berbasikal ke kampung dan estet untuk menyertai perlawanan bola sepak. Bahkan juga, ketika pasukan hoki Malaysia ke separuh akhir Piala Dunia pada tahun 1975, di mana-mana kelihatan anak muda bermain hoki meski hanya menggunakan batang buluh. Kebetulan perdu buluh sememangnya bengkok persis kayu hoki sebenar. Hebat!

 “Lari cepat, jangan tunggu bola sampai dekat kaki!” Pekikan suara Busu Taib mencuri lamunanku.

“Kau jangan asyik ralit dengan telefon. Tolong tunjukkan budak-budak ‘ni macam mana nak tendang bola kasi landai,” jerit Paklong Manan dengan nada tegas.

“Tumpukan perhatian pada garis khatulistiwa ‘ni. Gunakan kekuatan ibu jari kaki ke bahagian atas sehingga separas buku lali. Tendang betul-betul ke arah pusat sfera bola pada garis khatulistiwa tadi.”

“Wah, jadilah!”

“Mana pakcik belajar tendangan ‘ni?”

“Pakcik terapkan teori matematik. Misalnya, untuk gerakan bola berpusar, kamu perlu pusingkan kaki kanan 45 darjah arah lawan jam semasa melakukan tendangan.”

“Saya guna kaki kiri pakcik!” Masing-masing tergelak.

“Cuba kamu fikirkan.”

“Macam mana? Fahamkan betul-betul,” sampuk Paklong Manan.

“Berlatih sampai boleh. Macam buat matematik juga,” ujarku sambil tersenyum.

“Pakcik ‘ni pernah melatih pasukan bawah 16 di SDHTK. Juara Zon Alor Gajah.” Busu Taib seakan mempromosikan diriku pula.

“Insya-Allah esok kita belajar membuat tendangan tangential.”

“Baik, cukup dulu untuk hari ‘ni. Terus balik rumah. Usah menyimpang. Jangan lupa solat maghrib,” pesan Paklong Manan.

Selepas solat isyak, kami bermesyuarat di balai raya kampung. Berbagai rancangan dibincang dan dirangka untuk pembangunan pasukan bola sepak remaja kampung. Paklong Manan sempat menyentuh Gurindam 12 yang selesai ditulis oleh Raja Ali Haji pada tahun 1846. Semasa kami berbincang perihal sikap dedikasi dan kerja keras yang diamalkan oleh CR7, terpacul bait kata Gurindam Pasal Yang Kelima. Antaranya berbunyi begini:

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan belajar tiadalah jemu

Busu Taib tidak mahu mengalah, lalu menyambungnya dengan Gurindam Pasal Yang Keenam. Petikannya berbunyi begini:

Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru

Justeru, amat menghairankan apabila Harimau Malaya semakin hilang belangnya. Apakah dengan segala macam kemudahan latihan, gaji serta elaun yang lumayan masih tidak cukup untuk melahirkan sebuah pasukan yang mantap? Sebaliknya, ketika era bimbingan Jalil Che Din dan Weigang, dalam serba kekurangan pasukan kita menguasai Asia, malah mengalahkan beberapa buah pasukan ternama dunia.

Aku menyentuh sikap tidak bertanggungjawab produksi filem Ola Bola. Mereka membelakangkan sama sekali pemain yang masih hidup. Ternyata mereka tidak belajar daripada pembikinan filem Gandhi yang mana kajiannya mengambil masa lebih 20 tahun. Kami juga berpendapat bahawa penyiar program sukan, khususnya bola sepak turut bertanggungjawab akan kemerosotan Harimau Malaya. Tiada seorang pengulas pun berani mengkritik pemain mahupun jurulatih ketika bersiaran langsung. Justeru, kesimpulannya FAM, jurulatih, pemain, pengulas sukan, penggiat filem dan netizen yang fanatik turut sama-sama bertanggungjawab akan pudarnya belang Harimau Malaya. Cukuplah banjir yang dahsyat telah menghanyutkan segala harta benda. Janganlah sampai menghanyutkan belang Harimau Malaya juga.

 

Unsung Hero - An Anthology of Short Stories

Authors
MN Mahmud, SR Tibek, S Shuib, MK Awang, MZ Husain, N Churaimi, A Mamat, N Ismail, Z Sadali, R Yahya, S Wahab, HC Ali, NHA Ghani, M Yunos, H Bisri, NA Shahrom, RA Majid, R Kamaludin, A Ramlee, K Omar, D Tajuddin, R Yon, AMA Ghani, R Abu, R Yon, MEA Wahid, NM Isa, R Samot, H Sophia, NA Noh, K Najmiah
Publication date
2022/3
Pages
319 (ISBN 978-967-26218-0-5)
Publisher
Saadiah Shuib Resources

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler