Skip to Content

DARI KAMPAR KE KUALA SEMANTAN

Foto Kemirau

DARI KAMPAR KE KUALA SEMANTAN

 Kemirau @ Sang Murba


KETIKA melintasi ruang tengah rumah, Leha terpandang tok masih berada di atas sejadah. Tok menundukkan wajah sambil menyeka air matanya. “Apa yang tok sedihkan ni,” bisik hatinya.

“Kenapa tok menangis?” tanya Leha sambil merebahkan kepalanya di riba tok. Dia memang cukup manja dengan tok.

“Tak adalah… Tok cuma teringatkan tok ki kamu.”

Setelah pemergian tok ki, Rumah Serambi Pahang tok bagaikan hilang serinya. Terasa sunyi sekali. Kini, cuma mereka bertiga sahaja – Leha, ibu dan tok menghuni rumah pusaka yang dibina tok ki di Kampung Pesagi itu.

Ibu pula sibuk di ladang seberang pada sebelah pagi. Petang nanti mengerjakan sawah pula. Leha sedih melihat ibunya mendayung perahu seorang diri menyeberangi Sungai Pahang. Ibu tak bagi ikut. Ibu suruh Leha menemani tok yang kurang sihat di rumah.

“Di mana tok jumpa tok ki dulu?” Leha sengaja membuka perbualan untuk mengalihkan kesedihan tok.

“Kami sama-sama anak dagang dari Kampar.”

“Di mana tu tok?”

“Di pulau Sumatera. Dulunya disebut Seri Andalas.”

“Jauh ke tok?’

“Seberang Selat Melaka saja. Tok ikut moyang kamu ke sini setelah Belanda semakin mengganas di kampung. Mujurlah selamat.”

Menurut tok, tok ki lari ke Semenanjung kerana membawa diri. Hati tok ki terluka apabila pinangannya ditolak. Tok ki kecewa.

“Tok di mana masa tu?”

“Kami sekeluarga sudah sampai lebih awal di sini. Keluarga gadis idaman tok ki memandang darjat. Tok ki yang hanya bekerja kampung dipandang sebelah mata saja,” tok menjelaskan dengan panjang lebar.

Menurut tok lagi, setibanya di Tanah Melayu, tok ki dan beberapa orang sahabat baiknya menyusuri Sungai Semantan. Mereka bermukim di Kuala Semantan. Di sinilah tok dan tok ki bertemu.

            “Tok ki kamu bekerja dengan ayah tok. Bergalah membawa barang-barang dagangan dari Kuala Lipis ke Pekan,” sambung tok.

            “Wah jauh tu tok,” Leha menyampuk.

            “Sebelum ayah tok meneroka tanah, kami sekeluarga tinggal di atas perahu. Macam orang Bajau Laut di Sabah.”

Leha begitu teruja sekali mendengarnya. Perahu gedang yang digunakan kecil sedikit berbanding lancaran bertiang tiga. Perahu gedang mempunyai empat dayung di kiri dan kanan berbanding lancaran yang mengandungi 12 dayung. Menurut tok, bangsa Melayu adalah pelaut yang hebat. Mereka menguasai ribuan buah pulau di nusantara dan tersebar luas hingga ke lautan Pasifik.

“Assalamualaikum. Leha, buka pintu ni,” ibu dah balik. Leha tersedar daripada lamunannya. Dia membayangkan dirinya berada dalam perahu gedang bersama-sama tok membelah samudera.

“Waalaikummussalam. Maafkan Leha ibu. Punyalah ralit mendengar celoteh tok sampai tak perasan bila terlayang.”

            Begitulah hari-hari seterusnya, Leha seronok mendengar tok bercerita. Lagipun inilah masanya untuk bersembang dengan tok. Bulan depan Leha akan ke asrama Malay Girls’ College (MGC) di Kuala Lumpur.

Suatu pagi sewaktu membantu tok menyiram pokok bunga melur di halaman, tiba-tiba Leha bertanyakan tentang ayahnya.

            “Benarkah ayah dah meninggal tok?” Tok sedikit terkejut.

            “Cakaplah tok… kenapa tok diam saja,” Leha merengek.

Selama ini Leha sangkakan ayahnya telah meninggal dunia. Setiap kali bila ditanya, ibu kata ayah dah mati. Sedangkan di sekolah  ada beberapa orang kawan sering kali menyakatnya. Mereka bilang ayahnya di Chenor, sudah berkahwin lain. Hati Leha menangis.

Setelah didesak berkali-kali, akhirnya tok menceritakan kisah sebenar. Ibu dan ayah berpisah ketika Leha berusia dua tahun. Ayah berkahwin lain. Leha menangis teresak-esak.

“Sampai hati ibu sembunyikan kisah sebenar ayah.”

“Usahlah Leha persalahkan ibu pula. Kasihankan ibu yang sekian lama menanggung derita.”

Ayah yang tergila-gilakan gadis di sini. Seorang wanita tentulah tidak sanggup dimadukan. Sehingga kini ibu sangat bencikan gadis tempatan. Perampas suami orang katanya. Ibu bagaikan berpatah arang berkerat rotan dengan mereka.

“Kita ini bangsa nan serumpun. Usahlah saling bersengketa. Sebenarnya bukan gadis itu yang bersalah. Suami kamu yang tidak setia, Milah. Leman tu hidung belang.” Tok menasihati ibu tanpa jemu. Tok mahu ibu memadamkan api dendam di hatinya. Jika tidak, akhirnya nanti memakan diri sendiri.

Suatu petang, Leha mengikuti ibunya ke sawah. Tok pun ikut sama. Mereka berdua membantu ibu mencabut anak benih padi. Sekarang musim menanam padi. Kelihatan di sana sini para pesawah sibuk mengangkut benih dan mula mengubah. Warna coklat lumpur dan air sawah akhirnya berubah sedikit demi sedikit kepada hijau muda. Pemandangan yang sungguh cantik memukau bila rumpun padi kian membesar. Daunnya meliuk lentok ke kanan ke kiri ditiup angin.

“Ketika mula-mula meneroka tanah dulu, orang-orang tempatanlah yang banyak membantu,” tok memecah sunyi sambil memukul anak benih pada batang kayu.

“Kami bergotong-royong menebang, mencantas dan memerun membersihkan ladang. Beliung, kapak dan parang saja yang ada. Mana ada mesin pemotong kayu masa tu,” tambah tok.

Tok bercerita bagaimana orang Melayu tempatan menerima orang-orang Kampar dengan baik. Langsung tidak berkira. Kesusahan dan keperitan hidup pada era penjajahan British dan Jepun sedikit pun tidak menghalang mereka membantu para perantau.

“Hati Milah sungguh sakit Mak… Dalam baik-baik suami kita dikebasnya,” ibu meluahkan segala yang terbuku di hatinya.

“Kamu yang salah sangka Milah. Mak kenal sangat perilaku Mariah anak Tok Empat tu. Baik orangnya.”

“Eee…geramnya. Milah tak boleh dengar nama dia pun!”

            Sudah lebih empat bulan Leha duduk di asrama. Leha masuk Form 1 Anggerik di MGC. Selepas solat zohor, Milah ke stesen kereta api Mentakab. Menunggu ketibaan gerabak dari Kuala Lumpur. Leha pulang bercuti sekolah selama dua minggu. Milah terjengah-jengah sebaik ada gerabak yang tiba, mencari-cari wajah anaknya Leha. Punyalah rindu, Tuhan sahaja yang tahu.

            “Milah tunggu siapa?” Milah tersentak bila tiba-tiba disapa oleh seorang wanita separuh umur yang cukup anggun bergaya.

            “Tunggu anak saya Leha, kakak ni siapa ya?”

            “Saya Kalsum kakak sepupu Leman, bekas suami kamu. Kakak baru pulang dari Manchester setelah lama merantau di sana.”

            “Oh… abang Leman tak pernah beritahu pun.”

            “Kakak balik ni pun nak ziarah dia. Dulu kami sama-sama dibesarkan oleh nenek di kampung.”

            “Kenapa dengan abang Leman?”

            “Kamu masih tak tahu lagi ke Milah? Leman mengalami kemurungan semenjak kematian isterinya. Mariah meninggal sewaktu bersalin. Anaknya pun tak dapat diselamatkan.”

            Menurut Kalsum, isteri Leman mengalami pendarahan yang teruk sewaktu melahirkan anak sulongnya sebaik tiba di pangkalan. Mereka dikejarkan ke Hospital Mentakab dengan menaiki perahu.

            “Ya Allah… apa yang telah aku lakukan? Aku berdosa padamu Mariah. Maafkanlah aku…” bisik hati Milah.

            “Abang Leman di mana sekarang?”

            “Dah sebulan dimasukkan ke Central Mental Hospital, Tanjung Rambutan. Kakak nak ke sanalah ni. Hospital tu betul-betul berhadapan dengan stesen kereta api.”

            “Nanti bila lapang saya ikut kakak ziarah abang Leman ya.”

            “Boleh, apa salahnya Milah. Itulah yang sebaik-baiknya. Buang yang keruh, ambil yang jernih,” balas Kalsum sambil bingkas bangun bila terlihat kepala gerabak di kejauhan.

            Bunyi siren kereta api memecah kesunyian di Mentakab Railway Station petang itu. Kalsum mengemaskan baju kurung Pahang dan kain batik lepas yang dipakainya. Milah mengucapkan selamat jalan. Kedua-duanya saling berlaga pipi dan berdakapan.

“Ibu! Ibu! Leha dah balik,” Leha berlari mendapatkan ibunya.

Kedua-dua beranak berpelukan sambil menitiskan air mata. Mereka berdua sempat melambai-lambaikan tangan ke arah Kalsum yang menjongolkan kepala di tingkap gerabak.

            “Siapa tu ibu?” Leha kehairanan. Milah diam sambil menyembunyikan genangan air matanya dengan selendang.

            “Cakaplah ibu… siapa makcik tu?”

            “Dah, moh kita balik cepat. Tok kamu tinggal seorang saja di rumah tu. Ibu nak beri makan ayam dan itik lagi. Kerbau pun nak kena turut balik masuk ke kandang.”

            Muka Leha masam mencuka. Dia geram sungguh dengan sikap ibunya yang acuh tak acuh akan pertanyaannya.

            “Assalamualaikum tok,” sahut Leha penuh teruja. Beg galasnya ditinggalkan di kaki tangga.

            “Wah, Leha cucu kesayangan tok! Dah besar ni semakin comel pula tok tengok,” usik tok penuh mesra.

            “Bertuah budak ni, dia terus meloncat naik tangga. Cuci kaki dulu. Batok ada tersangkut di tepi buyung tu,” becok mulut Milah meleteri anaknya.

            “Tok rindukan Leha tak? Leha kerap menangis teringatkan ibu dan tok di kampung. Rindukan Si Tompok kucing kita.”

            “Mahu tidaknya… setiap kali lepas solat tok sentiasa titipkan doa buat cucu tok ni. Macam mana belajar? Tentu seronok dapat kawan-kawan baru.”

            “Mereka semua baik-baik tok. Langsung tak sombong walaupun anak orang berada. Selalu tunjuk ajar English kat Leha. Leha pula ajar mereka Mathematics.”

            “Alhamdulillah. Kita mesti pandai membawa diri. Barulah orang lain suka,” celah tok bagaikan seorang kaunselor.

            Malam itu masing-masing tidur agak lewat. Ibu dan tok asyik melayan Leha yang penuh semangat bercerita tentang rakan-rakan dan gurunya di MGC. Leha masuk pasukan Wind Orchestra di MGC dan bermain alat muzik trombone. Seronoknya nanti mereka berpeluang ke luar negara menyertai Wind Orchestra Festival.

            “Patutlah dia bukan main suka meniup seruling padi bila ikut kita ke sawah di musim menuai. Ada bakat terpendam rupanya.” Tok tersenyum mengenangkan keletah Leha di sekolah barunya. Sementara Leha pula telah hanyut dibuai mimpi di riba Tok.

            Setelah memasang kelambu dan mengangkat Leha ke katil besi di kamar tidur, Milah menghampiri ibunya. Dia cuba memulakan kata tetapi terasa kelu pula lidahnya.

            “Apa yang kamu nak cakapkan tu Milah, luahkan saja.”

            “Petang tadi semasa sedang menunggu ketibaan Leha, Milah terserempak dengan Kak Kalsum sepupu abang Leman di stesen kereta api.”

            “Lama benar tak dengar khabar dia. Kalsum tu mengikut suaminya orang putih menetap di England.”

            Setelah menceritakan perihal Leman yang menjalani rawatan sakit jiwa di Tanjung Rambutan, Milah meminta izin tok untuk menziarahi bekas suaminya. Milah ingin membawa Leha sekali. Merenung wajah anak tunggalnya yang sedang nyenyak tidur di atas katil, hati Milah terasa begitu sebak sekali. Cuma Milah risaukan bagaimana penerimaan Leha nanti bila mengetahui keadaan sebenar ayah kandungnya kini.

 

Makna Peribahasa

 

dipandang sebelah mata – dipandang rendah

berpatah arang berkerat rotan – memutuskan silaturrahim 

hidung belang – lelaki yang suka berfoya-foya

membawa diri – menyesuaikan diri dengan keadaan

buang yang keruh, ambil yang jernih – lupakan perselisihan lalu dan mulakan lembaran baru

 

 

Menjejaki Kasih Leluhur - An Anthology of Children's Short Stories
Authors
MN Mahmud, MF Hanafi, IS Shah Murad, KS Kamaruddin, MH Ahmad, R Abd Rahim, NR Siren, N Md Yusof, NH Mohd Fisol, R Osman
Publication date
2021/11
Pages
87 (ISBN 978-967-2891-26-0)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler