Skip to Content

PESONA DEWI

Foto Kemirau

PESONA DEWI

 

AKU lebih senang sendirian begini. Suasana pasangan berpacaran di kampus cukup merimaskan. ‘Tidak merasa bosankah agaknya?’ bisik hatiku. Ke sana sini asyik berkepit. Ke dewan makan, kafeteria, perpustakaan, kuliah, joging sentiasa berdampingan bak belangkas. Melihatkan Khairul yang mabuk kemaruk merindui dan risaukan tunangnya di Auckland, sudah cukup menyedarkan diriku.

“Hek, enh….. enh…… enh…..” Khairul merengek hampir setiap pagi. Sambil menupang sebelah pipinya dengan siku di bantal dan badan masih di atas katil. Kami sebilik. Katil pun jenis double-decker. Kala aku meloncat turun bergegas ke bilik air, mengemas katil, solat subuh, kemudiannya ke kampus, dia masih berbaring.

            “Orang lain bercinta juga,” ujar Aziz yang tercegat di pintu.

            “Tapi tidaklah seteruk kamu ‘ni,” tambahnya lagi lalu beredar meninggalkan Khairul yang berperangai kebudak-budakan.

            “Biarkanlah dia. Kejap nanti redalah ‘tu,” sampuk Azizan lalu berlari turun ke bawah.

            “Alamak, bas ‘dah terlepaslah!”

            “Terlewat lagi masuk lecture ‘ni.”

            “Siaplah kena lesing kapur dengan Dr Lim.”

            Kami terpaksa bertenggek di tangga bas Sri Jaya setelah terlepas bas UM. Lantas memasuki kampus melalui Lorong Elmu off Jalan Universiti bersebelahan INTAN, Kampus Wilayah Tengah.

            Jabatan Matematik yang kini dinaik taraf kepada Institute of Mathematical Sciences terletak di hujung kampus. Nun di lereng Bukit Universiti. Denainya yang mencabar sesuai dengan bidang yang kami ambil, single major Mathematics. Justeru, tiada masa untuk melayan hal remeh-temeh.

            Jam 6:00 petang aku mengatur langkah pulang ke asrama di Flat PKNS, Seksyen 17, PJ. Selalunya aku menaiki bas mini. Harga tiket 40 sen saja. Jika kesempitan wang aku menapak saja. Selepas menempuhi dua roundabout sampailah.

            “Come on Rul… One life live it!” ujarku memberi semangat.

            ‘Makin teruk budak ‘ni,’ bisik hatiku melihatkan dirinya masih terbaring lesu tidak bermaya.

            “Kau belum kena lagi panahan first love… bolehlah cakap,” luahnya bagaikan dapat membaca hati kecilku.

            “Aku cuma ‘nak lihat kau ceria seperti dulu. Final exam pun beberapa bulan saja lagi,” balasku saling mengingat.

            “Aku tengok Azizan relaks je,” sampuk Aziz.

            “Awek dia depan mata. Setiap hari boleh jumpa di kampus,” bentak Khairul.            Azizan tersengeh sambil menggerakkan bidak.

            Terperap berhari-hari di bilik, menghabiskan masa dengan berbaring dan melayan catur bukanlah sikap yang bijak. Hujung minggu itu aku mengajak Khairul keluar ke KL bagi melipurkan hatinya. Tiada perancangan pun. Saja ikut gerak hati. Sebaik turun dari bas mini di Chow Kit Road, kami bersalin bas menuju ke Setapak.

            “Kita ‘nak ke mana ‘ni?”

            “Ikut sajalah… chill.”

            Aku memicit loceng bas. Kami turun di Jalan Dedap. Sebaik terpandangkan Pustaka Peringatan P. Ramlee di sebelah kiri, kulihat Khairul sedikit teruja. Kami jelajah setiap sudut di memorial itu dengan penuh penghayatan. Suasana cukup hening. Kami terbuai oleh alunan lagu-lagu P. Ramlee dan Saloma yang diputarkan perlahan di Gramophone Phonograph 78 rpm Sound Box. Begitu menusuk kalbu. Manakala foto-foto hitam putih di dinding memaparkan watak-watak utama yang membintangi filem arahan beliau. Sungguh klasik.

Kulihat wajah Khairul beransur-ansur ceria. Tidaklah ketat seperti kebelakangan ini. Senyuman mula terukir tatkala merenung satu per satu foto lama di situ.

Masa berlari pantas. Hari berganti minggu. Khairul kembali bersemangat mengulang kaji pelajaran.

“Aku rasa lega semasa di memorial P. Ramlee hari ‘tu. Terima kasih melayan kerenah aku.”

“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT.”

Walaupun Khairul tidak mengikuti kuliah sepenuhnya, namun dia tekun menelaah. Saling berbincang dengan Aziz, Azizan, dan merujuk nota serta penyelesaian tutorialku.

Suatu pagi kala ke kafeteria bersebelahan Fakulti Sastera dan Jabatan Geologi, aku dikejutkan oleh sesuatu yang menakjubkan.

‘Subhanallah, ada siswi seperti ini di kampus!’ detak hatiku.

Pertama kali selama belajar di kampus, aku melihat sosok gadis dengan wajah yang bercahaya. Dia juga berseorangan sepertiku. Lone ranger. Lebih mengejutkan semasa menunggu kehadiran Prof. DiRaja Ungku Aziz di DKF, sekonyong-konyong aku terpandang gadis tadi memasuki dewan kuliah nun di bawah sana.

Anehnya, aku bertindak keluar dewan lalu bergerak ke perpustakaan. Setelah dua kali terlihat secara tidak sengaja, hatiku berdebar, lidahku kelu. Sehinggalah keesokannya kala berjalan di anjung Jabatan Matematik, aku terpana melihatnya sedang duduk di bangku batu. Aku berpura-pura tenang. Seolah-olah tidak nampak kelibatnya. Kuteruskan langkah di depannya langsung menuju ke mesin water cooler. Sejurus meneguk air terasa cool sedikit.

“Wah, rajin study!” ujarku memancing perhatiannya.

“Tak adalah. Saja membelek-belek nota Falsafah Sains ‘ni.”

“Boleh saya tengok,” pintaku sopan.

“Kenapa tulisan sekejap senget ke kiri, sekejap senget ke kanan?” ulasku spontan.

“Macam tuan dia juga.” Kami saling ketawa.

Sebelum masuk ke bilik tutorial masing-masing petang itu, aku sempat mengayat, “Boleh pinjamkan saya nota ‘ni?”

Semenjak pertemuan petang itu, aku bagaikan diserang angau. Ada kalanya tersenyum sendiri. Beberapa orang teman di asrama seakan perasan perubahan tingkahku. Akhirnya dalam diam kuakui jua kata-kata Khairul. Memang, panahan asmara ini cukup dahsyat!.

Minggu berikutnya sewaktu pulangkan nota, sempatlah aku bertanyakan tempat tinggalnya. Tahun 1988, manalah ada hand phone bagai. Komunikasi sangat terbatas.

Pada suatu hujung minggu, kubuat sekeping kad ucapan berlipat menggunakan teknik mixed media daripada bahan terbuang. Kugunting kotak berwarna merah metallic bentuk hati dan lekatkan di tengah kad. Kulitupinya dengan kertas yang digesek menggunakan syiling mengikuti sisi bentuk hati tadi untuk kesan embossed. Apabila diselak ke atas ada kejutan simbol hati di bawahnya!.

Di sisi sebelahnya kutitipkan sebuah puisi, ’Pesona Dewi’ yang stanza keempatnya berbunyi begini:

dengarkanlah dewiku dengarkan

aku tak bisa lagi bicarakan rindu dan sepi

lantaran rindu dan sepi

adalah aku sendiri

 

Senyap-senyap tanpa pengetahuan rakan-rakan serumah, aku masukkan ke peti surat di pejabat pos berdekatan ke alamat: B142, Asrama Modular, Seksyen 16/2, 46350 Petaling Jaya. Lega rasanya.

Suatu pagi tanpa terduga aku terserempak dengannya di hadapan perpustakaan kala bergegas ke kuliah.

“Terima kasih ya,” ujar Nie sambil menghulurkan sekeping kad yang luar sampulnya kosong tidak bertulis apa-apa.

Aku agak terkejut. Rasa terhenti sebentar degup jantungku.

‘Saya main-main je,’ hatiku berbisik. Walhal aku memang syokkan dia! Kenapalah lidahku kelu saat itu? Sukar difahami.

“Terima kasih banyak-banyak dan Nie berharap kita sama-sama belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.”

“Study tau! Jangan berkhayal. Exam dah dekat. Nie doakan semoga kamu berjaya dengan cemerlang.”

 

Begitulah coretan ringkasnya. Dulu aku menasihati Khairul, kini tiba giliranku pula. Umpama menerima booster, aku semakin bersemangat belajar. Pohon-pohon di sekelilingku bagaikan serentak berbunga. Momen yang cukup indah. Hanya selepas peperiksaan tahun akhir tamat, barulah kami bertemu. Itu pun di kampus saja.

“Dari 17.4.1989 – 20.5.1989 Nie akan menjalani praktikum di Sek. Men. Katholik, berdekatan bangunan EPF di PJ.” Antara kandungan surat pertama yang kuterima daripadanya.

“Saya ‘dah gunting rambut,” ujarku tatkala menjenguknya di Seksyen 17/1A dalam tempoh latihan mengajar tersebut.

“Okey apa, handsome.” Rasa nak pengsan aku dibuatnya.

Kemudiannya, Nie dihantar posting ke Sek. Men. (A) Tengku Ampuan Fatimah, Pekan. Manakala aku yang belum berkerjaya tetap, mengusahakan tanaman jagung bersama-sama sahabat sekampung.

Hubungan kami terhalang. Aku sedar diri dan menghormati pendirian ibu bapanya. Pertemuan terakhir kami di rumah sepupunya Kak Embong, di Setapak Garden. Kami naik bas Len Seng 172 setelah kutemuinya di Hentian Putra. Dia ditunangkan dengan saudara terdekat, seorang bakal ustaz. Kudoakan semoga Nie berbahagia.

Tiada assignment. Hanya dua kad ucapan, dua kad raya, dan 15 pucuk surat yang masih kusimpan sebagai kenang-kenangan.

 

Aku Pinang Kau Dengan Assignment - Anecdotes and Love Stories
Authors
MN Mahmud, MF Afiza, ANJ Abdullah, AMA Ghani, A Fahada, BAN Morusun, E Nazira, H Mahmood, K Rosid, ZT Lujinah, N Awi, N Habibah, NIA Abdullah, P Arjuna, S Simon, SM Othman, Z Jamel
Publication date
2022/4
Pages
116 (ISBN 978-967-0013-15-2)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler