Skip to Content

SEKOLAH TEPI SAWAH ANGIN NAN MENDERU

Foto Kemirau

SEKOLAH TEPI SAWAH ANGIN NAN MENDERU

 

JIKA tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah pesan mak yang acap kali kudengar. Mak gemar memetik peribahasa Melayu dan berpantun secara spontan setiap kali berceloteh mengenai kehidupan di seputar kami. Masih kuingat lagi kala hari pertama ke sekolah. Sejak awal pagi hujan turun dengan lebat sekali. Abang sulongku Abdullah memayungi kami ke SK Belimbing Dalam (SKBD) yang berlatarbelakangkan sawah padi. Sambil menjinjing kasut, aku dan kakakku Zaiton mengatur langkah penuh bersemangat.

       “Mak nak ke mana tu? Di luar masih hujan lagi.” Aku tidak dapat menyembunyikan kerisauanku pabila melihat mak mencapai pisau dan bergegas keluar ke belakang rumah.

       “Ambil daun pisang ni. Tutup kepala. Kamu kena pergi juga ke sekolah. Pelajaran sangat penting,” pesan mak lokos kesejukan.

       Begitulah keadaannya bilamana payung kami rosak. Sebenarnya bolehlah dikatakan sudah terbarai. Zaman itu payung diperbuat daripada kertas minyak yang divarnis dan bilah-bilah buluh. Tangkainya pun daripada buluh juga. Justeru, jangka hayatnya sedikit pendek  tidak seperti payung di zaman sekarang.

       Sebelumnya, dalam Anekdot Murabbi Dalam Hatiku 3 telah pun kucoretkan kisah ‘Tabung Buluh’ dan ‘Gemerlap Bintang Di Langit’ yang berkisar tentang mak sebagai adiguru ulungku. Kali ini kukisahkan pengalaman bersama guru-guru di awal persekolahanku.

       Ustaz Darudin bersama isterinya Cikgu Ramnah mengajarku sejak dari darjah satu lagi. Mereka berdua bagaikan pasangan sejoli dengan Lambretta yang cukup memikat. Tahun 1970 ketika darjah satu, seingatku hanya dua buah kereta sahaja di perkarangan sekolah. Sebuah milik Guru Besar Cikgu Ibrahim Said, dan sebuah lagi milik Cikgu Md Dewa. Cikgu Tapa pun naik Lambretta ke sekolah. Manakala Cikgu Md Tahir dan Cikgu Abdul Rahman Mohd Yusof (ARMY) menggunakan perkhidmatan bas awam.

       Pembantu pejabat, Pak Abu pula mengayuh basikal dari kampungnya Padang Keladi. Murid-murid berjalan kaki sahaja ke sekolah. Merentas sawah, menyeberangi sungai, menjejak denai di ladang getah, menyusuri denai di jalan kereta api lama, dan meredah lopak di beting bandau baruh. Hanya ada dua tiga buah basikal sahaja yang ditunggangi murid waktu itu.

       “Tulisan jawinya sungguh cantik dan kemas,” Ustaz Darudin memujiku di hadapan Guru Besar. Kembangnya hatiku bukan main. 

       “Kamu adik Normah ya?” tanya Guru Besar. Kakak sulongku Normah merupakan kerani di sekolah. Sedikit sebanyak aku mewarisi bakat kakak dalam melukis dan menulis.

       Penampilan Ustaz Darudin sungguh memukau. Malah beliau jauh kelihatan lebih muda daripada isterinya. Sentiasa berpakaian kemas dengan rambut yang disikat rapi. Tampan sekali. Kekal segak bergaya meskipun setelah bersara. Beliau kemudiannya menjadi imam dengan penampilan awet muda di Masjid Durian Tunggal.

       Kini, meskipun beliau telah tiada namun wajah berserinya sesejuk mata memandang tetap bermain di mata kami. Lebih-lebih lagi tutur katanya yang lembut setiap kali menasihati kami. Pesanan beliau yang terpahat di hatiku hingga kini ialah peri pentingnya menjaga solat. “Solat itu tiang agama.” Terngiang-ngiang selalu.

       Cikgu Md Tahir pula sering berwacana di dalam kelas kami. Biarpun kami masih mentah, namun beliau kerap kali melontarkan pelbagai persoalan yang mencakupi sejarah tanah air, pemikiran dan telatah manusia. Meskipun adakalanya fakta kurang tepat (kini setelah dewasa baru kami sedari), kami layan sahaja tanpa banyak soal.

       “Portugis guna meriam, senapang, pistol. Orang Melayu guna keris, lembing, meriam buluh. Mana nak menang,” sinis beliau.

       Kami, murid-murid darjah lima cuma diam terpinga-pinga. Buku ‘Tawarikh Untok Darjah Lima’ yang diterbitkan oleh McGraw-Hill Far Eastern Publishers (M) Bhd 1970, terkandung 15 bab berkisar tentang tiga hal utama – ‘Kedatangan Bangsa-Bangsa Eropah’, ‘Cherita-Cherita Dari Negeri China’, dan ‘Cherita-Cherita Dari Negeri India’. Lima bab pertama hanya memperkatakan tentang Melaka ditawan Portugis, Belanda dan Inggeris di Asia Tenggara, juga Raffles di Singapura. Lihatlah betapa dangkalnya sejarah yang diajar.

       Kini, di zaman internet segalanya terbongkar. Benarlah kata-kata, ‘Sejarah tidak pernah menipu’. Walau disorok, diubah, malah dihapuskan sekalipun lambat laun akan terserlah jua kebenaran hakiki. Cik Srikandi adalah antara sejarawan muda yang sungguh berwibawa. Silalah lawati https://www.facebook.com/srikandisejarah/ untuk menelaah penemuan beliau yang cukup mengujakan. Malah penulis Portugis, Godinho Eredia dalam bukunya, Asia Portugueza, mencatat bahawa hanya 3,000 laras daripada 8,000 meriam berjaya dirampas selepas kejatuhan Kota Melaka.

       “Harga getah melambung tinggi, orang kampung beli ikan tunjuk guna tongkat!” sambung Cikgu Md Tahir lagi sambil ketawa terkekeh-kekeh. Beliau mengisahkan perihal tabiat orang kita yang berlagak dan boros berbelanja tatkala peroleh rezeki melimpah-ruah semasa perang Korea meletus.

       Sebenarnya banyak iktibar yang kuperoleh daripada celoteh Cikgu Md Tahir. Kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka bukanlah disebabkan oleh sistem pertahanan yang lemah, mahupun kekuatan tentera Portugis. Sebaliknya disebabkan oleh pengkhianatan dari dalam bak anai-anai meruntuhkan sebuah tamadun.

       Cikgu Zainudin sempat mengajar kami bahasa Inggeris selama beberapa minggu sahaja sewaktu beliau masih menuntut di UKM.  Namun aura beliau membekas di hati kami. Kami diajar secara santai sambil bernyanyi-nyanyi. Masih kuingat lagu ‘Row row your  boat’ yang kami nyanyikan sewaktu dalam darjah dua.

Row, row, row your boat
Gently down the stream
Merrily, merrily, merrily, merrily
Life is but a dream
 

       Pernah suatu hari kami dibahagikan kepada dua kumpulan, dan diadakan pertandingan membina ayat dalam bahasa Inggeris. Sungguh menakjubkan kami anak-anak kampung yang serba daif ini bisa membina struktur ayat dengan baik. Cukup mengujakan!

       Ketiadaan Cikgu Zainudin meninggalkan suatu kelompongan dalam jiwa kami. Mujurlah kehadiran Cikgu ARMY sedikit sebanyak berjaya menceriakan kembali kelas bahasa Inggeris kami.

       “Makanlah, apa nak malu,” ujar Cikgu ARMY penuh mesra.

       Aku, Hamidah, dan Mohd Shah baru saja selesai menyertai Kuiz Tawarikh Darjah Lima di SMK Munsyi Abdullah. Sambil menunggu Bas Batang tiba, kami dibelanja keledek goreng dan air tebu. Bahkan senior yang bersekolah di SMK Tun Mutahir juga dipelawa sekali. Cara Cikgu ARMY menyantuni kami bagaikan seorang bapa. Angin nan menderu di SKBD cukup menggamit rindu.

 


Murabbi Dalam Hatiku 5 - Inspiring Stories of Great Teachers

Authors
MN Mahmud, A Seydalavi, A Salleh, A Ahmad, AR Majumah, BN Remeng, E Hasimi, EZE Abdul Rahman, FA Ibrahim, H Azuan, HS Hanafi, H Ibrahim, H Jusoh, H Hussin, H Omar, J Kangoi, M Misni, MRA Hamid, NS Nik Daud, NM Jaamat, N Churaimi, R Yahya, S Shuib, S Sohor, S Ngah
Publication date
2022/7
Volume
5
Pages
131 (ISBN 978-967-2316-79-4)
Publisher
WACANA MBM


Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler