Skip to Content

SEMAIAN BUDI NAN BERSEMI

Foto Kemirau
files/user/8710/Rumah_Nenek.jpg
Rumah_Nenek.jpg

SEMAIAN BUDI NAN BERSEMI

 

KAMI tinggal bersama nenek dan datuk selama lima tahun. Rumah nenek jenis berbandung tiga. Rumah Melayu Melaka yang sangat cantik. Terletak di atas bukit menghadap sawah padi yang luas. Menghala ke arah kiblat. Kala senja kaki langit cukup indah nun di jajaran sungai Melaka.

          Menurut ayah, nenek dan datuk ada pertalian keluarga. Mereka tinggal sekampung. Nenek rajin membantu moyang di sawah dan ladang.

          “Nenek adalah tangan kanan moyang,” kata ayah ketika kami ziarah rumah nenek.

          “Apa maksudnya ayah?”

           “Nenek pembantu utama keluarga.”

          “Nek Long Saliah OKU. Di belakang badan ada bonggol. Tak boleh kerja kuat,” sambung ayah.

          “Tok Busu dan Tok Bujang ‘kan ada?”

          “Mereka kecil lagi.”

          Walaupun kini nenek dan datuk sudah tiada, ayah kerap pulang ke kampung. Ayah melestarikan senibina rumah tinggalan nenek. Sesekali bawa kami petik buah rambutan di kebun baruh dan menjala ikan di kolam. Ada ikan tilapia, lampam jawa, ikan putih, patin, likuh dan berbagai spesis lagi.

          Masih saya ingat lagi setiap petang datuk akan membawa kami bersiar-siar. Pusing-pusing kampung dengan Vespa. Singgah di kedai Tok Busu Omar, datuk belikan aiskrim dan coklat.

          “Suha, kutip cepat buah rambutan ‘tu,” sahut ayah dari atas pokok rambutan gula batu.

          “Nyamuk banyaklah ayah.”

          “Sekejap ayah turun. Kita bakar sabut bagi menghalau nyamuk.”

          Memang cukup berkesan. Semasa zaman kanak-kanak dulu, setiap petang ayah hidupkan unggun api di kandang kerbau.

          “Alamak, mata Suha pedih ayah!”

          “Jauhi asap ‘tu,” balas ayah sambil tersengeh.

          Selepas solat isyak, ayah sambung cerita nenek dan datuk. Saya dan Kak Ira punyalah asyik sambil makan rambutan gading.

          “Nenek dan datuk dulu bukan saja dikerumuni nyamuk, malah berhadapan dengan ancaman binatang buas.”

          “Hii...seramnya!” Kami terkejut.

          “Haiwan apa ‘tu ayah?” tanya saya sambil menggaru-garu bintat di lengan.

          “Jangan digaru... nanti berkudis,” sampuk emak dari arah dapur.

          “Harimau kumbang, harimau akar,” jelas ayah.

          “Harimau ‘tu boleh terbang ke ayah?”

          “Adik... harimau mana boleh terbang. Lompat bolehlah,” celah Kak Ira.

          Ayah tergelak lalu menjawab, “Betul kata kakak. ‘Tapi harimau boleh memanjat pokok tau.”

          Kami berasa hairan sekali. Ayah pun meleteri kami kerana asyik menonton animasi. Program yang bagus seperti Nat Geo Wild tidak dihirau.

          Hujung minggu itu kami sekeluarga melawat Zoo Melaka di Ayer Keroh. Kebetulan pula ada sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Saya masuk pertandingan mewarna. Emak ingat penganjur akan kutip lukisan yang diwarnakan. Rupa-rupanya kena hantar sendiri. Penyertaan saya tidak diterima kerana terlewat hantar. Sedihnya.

          “Jom kita naik trem,” pujuk ayah.

          “Kaki Ira pun dah lenguh ayah.”

          Di atas trem, ayah sempat bercerita perihal datuk yang berjalan kaki sejauh 10 km pergi dan balik ke sekolah. Manakala nenek langsung tidak bersekolah disebabkan kemiskinan.

          “Kenapa atuk tak naik basikal?” tanya Kak Ira.

          “Tahun 1930-an basikal barangan mewah.”

          “Kesian atuk.”

          “Tengok burung unta ‘tu,” ujar emak cuba mengalih perhatian kami.

          “Boleh tak dia terbang?”

          “Suha fikir?,” soal ayah sambil tersenyum.

          Memang seronok melawat zoo. Kita boleh mengenali berbagai jenis haiwan. Kami sempat bergambar dengan burung kakaktua. Sejenis burung nuri. Bulu pelepahnya berwarna-warni. Lalu saya teringatkan pertandingan mewarna tadi.

          “Sudah, lupakan saja,” saya berbisik sendiri.

          Menurut ayah, burung kakaktua terdiri daripada 21 spesies dalam keluarga Cacatuidae.

          “Terdapat 44 jenis burung berbeza dalam keluarga Cacatuidae,” jelas ayah bak ahli zoologi.

          Sekembali dari zoo, saya dan Kak Ira melepek keletihan. Penat berjalan dalam kawasan zoo yang cukup luas. Perkhidmatan trem terhad pada laluan tertentu saja.  

          “Semua bangun, pergi mandi,” jerit emak.

          “Penatlah mak... letih nak pergi mengaji hari ‘ni,” Kak Ira merengek. Saya berpura-pura lelap.

          “Datuk dulu pergi mengaji di Anak Ayer malam hari, gelap gelita. Bangun cepat!” Ayah bertegas. Bingkas kami bangun menuju ke bilik air.

          Malamnya setelah menyiapkan kerja sekolah, ayah menasihati kami. Ayah mahu kami menghargai masa. Bersyukur peluang belajar tersedia. Pastinya, ayah kaitkan dengan kisah nenek dan datuk.

          “Datuk Mahmud menjadi yatim seawal darjah tiga lagi. Moyang Ali meninggal setelah menderita sakit busung.” Sambung ayah penuh sayu, “Datuk berhenti sekolah.”

          “Kenapa ayah?” serentak kami bertanya.

          “Negara kita dijajah. Askar Jepun berkeliaran di kampung.”

          “Mereka cari apa ayah?” soal Kak Ira.

          “Anak gadis, makanan. Habis padi orang kampung dirampas.”

          Moyang Aminah berkahwin lain. Datuk duduk menumpang kasih dengan bapa saudaranya di Kampung Bukit Gedong. Diperhamba menyabit rumput lembu berguni-guni. Demi sesuap nasi, datuk juga dikerah memanjat pokok kelapa. Air nira dituai untuk memasak gula Melaka.

          Manakala nenek Kamsiah pula membesar di sekeliling sawah padi dan ladang getah. Menjaga kerbau, menimba lopak mencari ikan.

          Pernah nenek mengikuti bapanya ke bandar Melaka menaiki kereta lembu. Bawa barang jualan seperti kelapa salai. Separuh perjalanan mereka berhenti rehat. Moyang Baba masak air dalam cerek gantung. Tungku diperbuat daripada tiga batang kayu yang dipancang.

          “Wah, macam camping ayah!” saya teruja.

          “Ayah pernah masak cekodok pisang dengan kawan-kawan. Cuma kami guna tungku batu.”

          “Semasa menjaga kerbau di beting sungai,” tambah ayah bila melihat saya kehairanan. Kak Ira sudah melayang jauh. Keletihan betul dia.

          Keesokannya, setelah sarapan pagi ayah ajak kami menziarahi pusara nenek dan datuk. Kami seronok dapat balik kampung.

          “Assalamualaikum ya ahlal kubur. Wainna insya-Allahu bikum la hikun.”

          Saya bertanya, “Apa maknanya ayah?”

          “Selamat sejahtera kamu wahai ahli kubur. Insya-Allah, kami akan menyusul kalian.”

          Suasana sunyi di pusara. Saya dan Kak Ira membaca surah Al Fatihah. Saya lihat mata ayah bergenang semasa membaca doa di pusara nenek dan datuk.

          “Jom kita singgah rumah nenek,” ajak ayah.

          Di sekeliling rumah penuh dengan tanaman hasil usaha nenek dan datuk. Terdapat berbagai-bagai jenis tumbuhan herba seperti temu lawak, lempoyang, kunyit, serai wangi, lengkuas, tembaga suasa, bonglai, dan halia.

          “Lihat pokok kelapa yang ayah tanam ‘ni. Semua bahagiannya berguna.”

          “Semua pokok ayah yang tanam?”

          “Sebatang ‘ni saja. Selainnya semua nenek dan datuk yang tanam.” Kami tergelak.

          Besar sungguh jasa nenek dan datuk. Biarpun mereka telah tiada, hasilnya kami merasa.

 

KIsah Datuk dan Nenekku - An Anthology of Children's Short Stories
Authors
MN Mahmud, AH Musa, A Bujang, KS Kamaruddin, HMN Mimie, NMA Rashid, NR Siren, NA Zaini, NSW Mahassan, S Simon, SA Aziz, WA Jaafar, Z Rafie
Publication date
2022/6
Pages
109 (ISBN 978-967-0013-27-5)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler