Skip to Content

SEPAHIT-PAHIT KOPI

Foto Kemirau

SEPAHIT-PAHIT KOPI

 

“JANGAN lupa bawa pulut urap dan air kopi ‘ni,” pesan Mak Leha sambil meletakkan bekalan di atas bendul sisi daun pintu.

Salman ralit  menyisir rambutnya ikut belahan tengah. Fesyen kegilaan anak muda tahun 1970-an. Biar seimbang kiri kanannya. Dia tak lupa menepek bedak nyonya di muka yang sedikit terbakar dek panahan mentari kala menjaga kerbau di beting sungai.

“Apa yang kamu belek lagi ‘tu?”

“Jerawat ‘ni, betul-betul tumbuh di hidung Man.”

“Jangan dipicit! Berlubang-lubang kulit muka nanti.”

        “Alamak, bas sekolah ‘dah sampai.” Salman meluru menuruni tangga. Kasut disarung sambil dicapainya bekal. Tali kasut berjuntai. Mak Leha menggeleng kepala.

“Lagi sekali kamu lambat terhegeh-hegeh macam ‘ni, aku tinggalkan je,” rungut pak cik bas. Murid-murid lain dalam bas turut bising sama. Masing-masing geram. Mujurlah lagu ‘Seiring dan Sejalan’ nyanyian Sharifah Aini dan Broery Marantika dari kaset yang dimainkan dalam bas menggamit perhatian. Rentak disko yang cukup bertenaga mewarnai lagu-lagu pada zaman itu.

Wah, goyang bahu nampak!” Salman mengusik Zakri.

“Biasalah, lebih baik layan lagu ‘ni daripada fikir perangai kamu macam getah cair, lembab!”

Dinda… 

“Kanda… 

“Burung pun turut bernyanyi…”

“Ketawa… 

“Riang… 

“Dan cinta mula bersemi… 

“Kamu tak nak sekolah ke? Budak lain semua ‘dah turun!” Pak cik bas mengatus sambil menepuk bahu Salman.

“Ya Allah, saya terlelap! Sampai hati Zakri langsung tak kejutkan.” Pak cik bas tersengih.

Sewaktu rehat, pandai pula Zakri mengendeng air kopi. Pulut urap pun dibedal sama. Mak Leha sengaja bekalkan lebih sedikit. Sudah masak akan perangai kawan-kawan anaknya.

Eh, Sarah semakin cantiklah sekarang,” Salman memecah sunyi. Zakri buat-buat tak dengar. Dia ralit menyuap pulut urap digaul bersama kelapa basah yang diparut.

“Pandai betullah Mak Leha masak, sedap betul!”

Woi, aku cakap pasal Sarah, kamu cerita hal pulut urap!” Salman mengomel sambil meneguk kopi sejuk.

Pufff…”

Hah, ‘kan ‘dah tersedak. Sarah sebut nama kamulah ‘tu.”

Zakri mencapai botol air dan menghabiskan sisa kopi. Mereka lebih selesa menikmati juadah di bawah rimbunan pokok ru. Di kantin terlalu ramai murid berasak-asak. Lagi pun di situ lebih nyaman. Mana tahu kalau-kalau Sarah lalu.

Seperti biasa, di hujung minggu mereka berdua bersama-sama menjaga kerbau di beting sungai. Suasana kampung sungguh permai. Padi mulai terbit, terliuk-liuk dipuput bayu pagi. Beberapa orang budak nakal mencuri-curi makan umbutnya. Memang lemak sungguh. Pianggang pun menumpang sama menyedut santan padi. Baunya menyengat hidung.

“Jom kita bawa kerbau meragut di Ujong Pulau. Aku pernah terlihat Sarah di beting Kampung Sungai Badau.”

“Dia buat apa di situ?” Salman kehairanan.

“Memancing.”

“Apa pasal tak beri tahu aku selama ‘ni?”

“He… he... Aku rasa macam syok ‘kat dia jugalah.”

“Kamu jangan cari pasal Zakri, aku yang lebih awal mengurat dia. Kamu jangan potong jalan.”

“Dia tak layan pun ‘kan?”

“Siapa kata? Dia cuma minta kami fokus belajar dulu. LCE semakin dekat.” Salman menarik muka masam.

Petang itu, bayang Sarah pun tak nampak. Namun kedua-duanya tidak berputus asa. Keesokannya, mereka ke situ lagi. Kali ini siap bawa joran buluh dan umpan cacing sekali. Tak dapat pancing Sarah, sekurang-kurangnya dapat juga pancing ikan. Selekoh pokok binjai memang lubuk ikan. Sebarau, terbul, lampam jawa, kaloi, malah udang galah sepit biru pun ada.

“Sarah tengah memancing dengan adiknya…” bisik Zakri.

Salman menahan nafas. Denyut nadinya terasa berhenti sekejap. Anehnya, jantung Salman dan Zakri berdegup kencang! Dari celah-celah dahan pokok cenderai, mereka berdua ralit merenung Sarah di seberang sungai sana. Lidah kedua-duanya kelu. Terkesima dek keayuan gadis desa nan jelita di depan mata.

Hei, mengintai anak dara orang ya?” Syahir yang baru perasan tiba-tiba bertempik. Sarah kelihatan relaks saja.

“Tak adalah, kami pun nak memancing sama,” balas Zakri dengan selamba. Salman berpura-pura mengenakan umpan di mata kail, lalu melemparkan tangsi ke dalam sungai.

“Banyak dapat ikan?” ujar Salman memberanikan diri.

“Adalah sikit…” balas Sarah. Rasa nak pengsan Salman dibuatnya. Zakri mencemik lalu berjalan ke sebelah hilir sedikit.

Wah, besarnya ikan sebarau!” Salman dan Zakri teruja melihat ikan yang baru dinaikkan Sarah. Mereka cuma dapat ikan terbul saja. Jauh lebih kecil.

“Umpan apa Sarah pakai?” getus hati Zakri.

Sarah menggunakan rod pancing moden. Umpan anak ikan dan udang. Mata kail dilempar jauh ke celah batu di dasar sungai yang berarus deras. Justeru, ikan yang menyambar umpan pun sudah pasti yang bersaiz besar. Salman dan Zakri hanya menggunakan joran buluh dan umpan cacing. Setakat manalah upaya melemparkan mata kail. Dapat ikan terbul pun kira bersyukurlah. Sarah anak Penghulu Kampung Sungai Badau. Orang berada.

Sebaik diumumkan keputusan peperiksaan LCE, Salman dan Sarah peroleh keputusan cemerlang. Masing-masing ditawarkan ke SBP di MCKK dan TKC. Manakala pencapaian Zakri setakat cukup makan. Namun mereka masih bersahabat baik. Malah Zakri sempat menghantar Salman di stesen KTM Pulau Sebang untuk berangkat ke asrama. Zakri pula melanjutkan pelajaran di Sekolah Vokasional Alor Gajah, mengkhusus bidang elektronik.

“Jangan lupa tulis surat ya!” jerit Zakri sambil melambai ke arah Salman yang tercegat di pintu gerabak kereta api yang sedang bergerak perlahan menuju ke utara.

Sarah mendaftar di TKC, Bukit Merbah bersama-sama keluarganya. Mereka menaiki kereta Volvo 164 keluaran tahun 1968 yang klasik dan elegan. Zakri tak sempat mengucapkan selamat jalan.

Cuti persekolahan yang panjang sentiasa dinanti-nantikan mereka bertiga. Sekadar pergi memancing di selekoh pokok binjai itulah. Itu pun sudah cukup menghiburkan walau Sarah berada di tebing sebelah sana. Memang agak klasik. Sama klasik seperti kereta Volvo ayah Sarah. Hanya setelah tamat MCE, tepatnya seminggu sebelum Salman dan Sarah ke luar negara barulah mereka bertiga diizinkan keluar bersama ke bandar Melaka.

“Kita ke panggung Rex ya,” pinta Salman.

“Cerita apa sekarang?” Sarah sedikit teruja.

The Spy Who Loved Me,” sampuk Zakri.

Wah, cerita James Bond la!” celah Syahir, bodyguard Sarah.

Selesai menonton wayang, mereka ke City Park yang tertonyoh di sisi panggung. Zakri melayan Syahir bermain beberapa game di situ. Salman dan Sarah duduk minum ice cream soda sambil berbual mesra di restoran bersebelahan. Sesekali kelihatan tersenyum ceria berselang-seli dengan mimik muka sedih.

“Man… Please, don’t forget me!”

Chill Sarah. You’re always in my heart… Please, trust me!

“Sedihnya Man nun di UK, Sarah pula kat US.”

“Insya-Allah, I’ll visit you someday honey.”

Perbualan mereka terganggu dek jeritan Syahir yang mengajak pulang. Mereka menapak menuju ke stesen bas di Jalan Hang Tuah sambil menyusuri Sungai Melaka. Pemandangan yang unik. Kelihatan beca, bas dan tentunya perahu nelayan yang sibuk keluar ke laut dan pulang menangkap ikan menghidupkan suasana. Sementelah pula perahu masih diperbuat daripada kayu. Asap dan deru enjin sangkut perahu turut mewarnai kesibukan bandar.

“Kita singgah minum kopi dulu,” ujar Zakri.

“Tekak Syahir pun dah kering ‘ni.”

“Nasi goreng ayam di warung dalam stesen bas sedap tau,” Salman beria-ia meyakinkan.

“Sarah nak ABC dua. Satu untuk Syahir.”

“Kopi Muar ‘ni memang cukup kaw! Kena pulak dengan roti bakar sapu kaya… perghhh.” Zakri menghirup kopi panas sambil mengecilkan matanya. Sedap sangat gamaknya.

Mereka berpecah pulang ke rumah masing-masing. Sarah dan Syahir menaiki Bas Tai Lye, manakala Salman dan Zakri menaiki Batang Bus. Walhal kampung mereka cuma terpisah dek Sungai Melaka dan sawah padi nan luas saujana mata memandang.

“Man, maaf tak dapat hantar kamu ke Subang Airport.”

“Tak apa Zack, aku faham. Nanti aku hantar poskad.”

“Harap-harap Sarah tak lupakan kita ya,” tambah Salman.

“Kamu tak rasanya, aku mungkin dia lupa.”

Come on Zack. We are friends, right?

Masa pantas berlalu. Sudah lebih sebulan Salman dan Sarah meninggalkan tanah air. Zakri ternanti-nanti perkhabaran mereka dalam kesibukan dirinya sendiri mengikuti kuliah di PUO, Ipoh.

“Mereka ‘dah lupakan aku agaknya,” detak hati kecilnya.

“Sibuk barangkali… macam aku juga.” Zakri memujuk diri.

“Kenapa termenung ‘tu?” tegur rakan sebiliknya.

“Tak adalah, teringatkan kawan sekampung.”

“Ingatkan rindu makwe tadi. Nah, poskad kamu. Aku ambil di pejabat JKE tadi.” Pandai betul dia mengusik.

Bukan main seronok Zakri. Pertama kali seumur hidupnya menerima poskad dari luar negara. Dari UK pula. Teruja sungguh! Selesai baca, siap dilekatkannya dengan pin di softboard. Saja buat pembakar semangat. Esoknya, selepas kuliah Zakri ke Koperasi PUO membeli poskad berlatarkan suasana di kampus.

“Mana boleh, kampus PUO pun cantik apa,” fikirnya.

Setelah setahun Salman di UK, Zakri telah menerima lima poskad daripada sahabat baiknya itu. Dalam masa yang sama, tiada sebarang berita dari US. Dia sama sekali tidak menyangka yang Sarah tergamak menyepikan diri. Sehinggalah saatnya apabila dia menerima aerogram daripada Salman buat pertama kali. Antara kandungan suratnya berbunyi:

Sahabatku Zakri,

Semoga sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT hendaknya. Amin. Apa khabar kamu di tanah air? Belajar ya… jangan asyik layan makwe di kampus.

Aku tengah pening kepala. The exams are extremely hard! Ada setahun lagi untuk menamatkan program A-Level ‘ni. Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala urusan kita. Amin.

Sampai hati Sarah buat kita macam ‘ni. Tak sangka betul! Semalam aku dapat tahu daripada ex-MCKK yang sekampus dengan Sarah di Stanford University. Rupa-rupanya Sarah ‘dah berkahwin dengan Pak Arab! Her husband is a PhD student there.

Frust menonggeng aku Zack! Semalaman aku tak boleh tidur. Makan pun tak lalu. Nak pergi kampus pun rasa tak bersemangat. Tolong nasihatkan aku Zack. Jangan sampai Mak Leha tahu pasal kisah Sarah ‘ni. Tak sanggup lihat Mak Leha bersedih dan susah hati memikirkan aku di sini. Janji Zack!

Salam rindu,

Salman, Leeds UK.

Zakri termenung. Fikirannya melayang entah ke mana, mengenangkan sahabat yang jauh di mata. Satu per satu kenangan bersama-sama mereka bermain di fikiran. Terngiang-ngiang gelak ketawa dan kata-kata nan mencuit hati. Seakan-akan baru semalam segalanya berlaku. Begitu pantas masa berlalu.

“Kenapa Sarah sanggup melupakan sahabat?” Zakri bertanya dalam hati. Matanya bergenang.

“Secepat itu dia berubah…”

“Demi persahabatan, aku korbankan perasaan sendiri.”

“Ya Allah, aku sayangkan kedua-duanya…”

Bertalu-talu persoalan menerjah fikiran Zakri. Tidak keruan. Dicapainya aerogram lalu dicoretkan pelbagai nasihat buat Salman. Paling dirisaukannya jika Salman terlalu mengikutkan hati nan lara. Dia dan Mak Leha berada jauh di tanah air. Mustahil mereka hendak ke sana untuk menasihatinya. Kiriman surat pun mengambil masa dua minggu untuk tiba!

Masih segar dalam ingatan Zakri sewaktu Salman terbang ke UK tahun lalu, tanggal 11 September 1977. Tiga hari menjelang Aidilfitri. Dia cukup terkilan tidak berkesempatan menghantar ke airport. Mujurlah Mak Leha sudi berkongsi gambar. Salman kelihatan segak dengan kemeja panjang dan jeans bell-bottoms jenama Melbourne. Rambut belah tengah ala John Lennon.

“Aku amat rindukan kamu Man. Tabahkanlah hati.” Zakri menitipkan doa sambil merenung gambar di tangannya.

Setelah tiga tahun di perantauan, Salman bercadang pulang ke tanah air pada cuti penggal pengajian nanti. Berkat berjimat cermat dan sedikit simpanan hasil bekerja sambilan di sana. Dia merahsiakan kepulangannya daripada pengetahuan Zakri. Malah Mak Leha pun tidak diberitahu!

Sebaik tiba di Subang Airport, Salman bergegas menaiki bas ke Hentian Pudu Raya. Bersemangat sungguh dan tidak sabar rasanya ingin buat kejutan. Setelah melepasi highway KL-Seremban, Bas Jebat Express terhenjut-henjut melalui selekoh di sepanjang jalan lama ke Melaka. Naik pening kepala dibuatnya.

“Alamak! Kenapa bas tak terus ke bandar Melaka ‘ni?” Salman terkejut.

“Bas ‘ni nak ke mana bang.”

“Masjid Tanah, lepas ‘tu baru ke bandar.”

“Aduh…”

“Apa pasal? Tak suka, boleh turun ‘kat tepi estet ‘ni.”

Salman terdiam.

“Sabar je la,” pujuk hatinya.

Keesokannya, setelah bertemu Zakri yang kebetulan sedang bercuti, kisah ini jadi bahan lawak pula. Bukan main seronok Zakri membahannya.

“Baru tiga tahun tak balik, ‘dah terlupa laluan bas. Agaknya kalau lagi lama tak balik, jalan ke kampung pun lupa.” Zakri terkekeh-kekeh ketawa menyakat.

“Apa yang kelakar sangat ‘tu? Man, angkat dulang air kopi.” Mak Leha muncul dengan rebus ubi berasap.

“Sengaja saya mengusik Salman ‘ni Mak Leha.”

“Lama tak nampak Suraya?”

“Wah, berani kamu tanya adik aku depan-depan ye!”

Mak Leha mencelah, “Esok kita pergilah ziarah dia di MRSM TGB, Jasin.”

Zakri tersenyum simpul mendengar pelawaan Mak Leha. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Sebenarnya sudah lama dia menaruh hati pada Suraya. Cuma selama ini dia pandai sorok daripada pengetahuan Salman. Dia tidak mahu dikatakan mengambil kesempatan pula. Bagaimana pun sekali-sekala dia curi-curi merenung adik sahabatnya itu. Memang jelita! Macam Mak Leha masa muda dulu, kata orang-orang kampung.

“Apa yang kamu mengelamun ‘tu Zack?”

“Tengah fikir pasal mana nak intern ‘ni.” Pandai Zakri mengelak. Tidak sia-sia dia belajar silat gayung di sekolah dulu.

“Tambah Zakri… jangan malu-malu,” ujar Mak Leha.

“Sudah habis sepiring pun,” balas Zakri tersenyum simpul.

Pekena ubi rebus lawan dengan kopi panas waktu musim hujan ‘ni memang terangkat!” tambahnya lagi.

Angin semilir mengusap lembut rambut dan pipi. Tempias halus sekali-sekala menerjah muka. Duduk-duduk minum kopi di sengkuap rumah Melaka tatkala hujan rintik cukup mengasyikkan.

Sebelum pulang semula ke UK, Salman dan Zakri sempat beberapa kali menelusuri kembali denai memancing di selekoh pokok binjai. Sambil memancing, mereka mengimbau kembali kenangan bersama-sama Sarah. Terpandang-pandang Sarah di tebing sungai sebelah sana.

“Sukar untuk aku melupakan Sarah.”

“Aku pun Man… dia ‘kan sahabat baik kita.”

“Dulu, bukan main merayu agar jangan melupakan dia.”

Dulu lain sekarang dah lain…,” seloroh Zakri mengalunkan lagu dendangan SM Salim.

“Kamu ‘ni, aku sesah karang baru tahu,” rungut Salman sambil mengacah-acah joran buluh.

Petang itu mereka memperoleh satu raga ikan terbul dan seekor ikan sebarau yang agak besar saiznya. Hampir sama dengan yang dipancing Sarah dulu. Selekoh pokok binjai, aur di tebing dengan daunnya yang berjuntai menyentuh air, bunyi burung kuang, deru air sungai yang mengalir deras di celah-celah batuan masih sama seperti dulu. Hanya Sarah yang berubah.

“Man, esok aku hantar kamu ke airport. Aku pun nak balik ke Ipoh sekali.”

“Naik dengan kami sekali.”

“Mana muat kereta Morris Minor ‘tu. Aku naik bas je.”

“Mak aku dan pak su di depan. Kita bertiga di belakang.”

“Suraya duduk di tengah ya.” Salman menjeling Zakri.

Sebaik menamatkan pengajian, Salman menimba pengalaman bekerja di Foster and Partners. Sebuah firma senibina terkemuka di UK yang diasaskan sejak tahun 1967 lagi. Setelah tiga tahun, dia terpaksa pulang ke tanah air disebabkan faktor kesihatan Mak Leha yang membimbangkan. Sewaktu menunggu penerbangan di Heathrow Airport, kedengaran stanza pertama lagu nyanyian Carole King:

 

Sometimes I wonder if I'm
Ever gonna make it home again
It's so far and out of sight
I really need someone to talk to
And nobody else
Knows how to comfort me tonight
 

 

Salman tersandar melayan perasaan.

Kepulangannya disambut dengan tangan terbuka oleh Hijjaz Kasturi Associates. Mak Leha dan Suraya dibawa tinggal bersama di Bukit Pantai. Sedang elok, Suraya pun sedang mengikuti Asasi Sains di Universiti Malaya. Betapa cantik perancangan Allah SWT.

Manakala Zakri pula sedang membina kerjaya yang cukup memberangsangkan di National Matsushita, PJ. Sarah menetap terus di US. Senyap sunyi. Kala senggang mereka berdua minum kopi di Restoran Amjal, Jalan Pantai Baru. Bersetentang dengan UM.

“Tahu juga nak balik, ingatkan dah lupa,” usik Zakri.

“Mana boleh lupa Zack. Mak Leha dan Suraya di bawah tanggungjawab aku.”

“Berapa tinggi terbang bangau… lupa pulak, apa Man?”

“Akhirnya hinggap di belakang kerbau juga.”

“Amboi! Macam inilah anak Melayu, kental jati diri.”

“Lihat air kopi ‘ni Zack, biarpun hitam pekat tapi urin kita tetap kuning cair.”

“Macam tak kena je aku rasa perumpamaan ‘tu. Bukan seperti ikan di laut ke? Air masin tak mempengaruhinya.”

Masing-masing tergelak. Tidak pasti apa yang kelakarnya. Sekonyong-konyong, berkumandang lagu ‘Rindu Hatiku Tidak Terkira’ nyanyian P. Ramlee dan Rubiah dari gramophone di sudut restoran.

“Rindu hatiku tidak terkira…”
“Terkenang orang yang jauh...”

Di bawah sedar, secara spontan Salman dan Zakri turut mengalunkannya. Penuh penghayatan! Punyalah ralit melayan lagu tersebut, sehingga tidak dihiraukan pengunjung di meja lain. Inilah Kuala Lumpur. Kota kosmopolitan. Masing-masing sibuk meladeni hal sendiri. Tiada masa untuk peduli perihal orang lain.

Tiba-tiba Zakri teringatkan Suraya yang berlesung pipit, lalu bertanya, “Siapa duduk rumah Mak Leha di kampung?”

“Tiada siapa.”

“Luruhlah rumah ‘tu nanti tidak berjaga.”

 “Pak su aku jaga rumah tu. Kami lestarikan senibinanya.”

“Alhamdulillah… syabas Man, aku tumpang bangga.”

Syaaban 1415 Hijri disambut penuh kesyukuran. Moga sempat bertemu Ramadan. Rumah Mak Leha berseri-seri dengan aneka bunga. Keluar saja dari kereta di halaman sudah terhidu haruman bunga melati dan kesidang. Di belakang rumah berderet tanaman lempoyang, temulawak, bonglai, tembaga suasa, pokok kaduk, lengkuas, pandan, dan pelbagai herba hasil tangan Mak Leha bersama arwah suaminya dulu. Pak su menjaganya dengan rapi.

“Selepas solat asar di masjid, nanti Man jemput jemaah ke rumah ya,” pesan Mak Leha bersemangat.

“Insya-Allah mak. Jom Zakri, dah lewat ‘ni.”

“Ayah… emak pesan beli plastik untuk bungkus bekal,” laung Maisarah di jenang tingkap.

        Suraya sibuk di dapur bersama-sama jiran tetangga yang datang menolong. Riuh-rendah apabila orang perempuan berkumpul. Anehnya, tangan laju saja buat kerja. Kuih koci, puteri mandi, sagu gula Melaka sudah siap terhidang. Asam pedas tetel sebelanga, rendang ayam kampung satu kuali besar, sayur pisang muda dengan kulat sisir sedang mereneh.

        “Pujuklah Salman ‘tu kahwin Mak Leha.”

        “Orangnya kacak, ramai anak gadis tergila-gila.”

        “Doakanlah semoga terbuka hatinya.”

Dalam kesibukan menyediakan makanan untuk majlis tahlil, masing-masing sempat bergosip. Namun tidaklah sampai mengata yang bukan-bukan. Mereka menghormati Mak Leha.

“Alhamdulillah, selesai sudah majlis,” Mak Leha mengusap wajahnya. Walaupun garis mula kelihatan di bawah kelopak matanya, namun di lewat usia 50-an, Mak Leha masih kelihatan anggun. Di samping menjaga amal, pemakanan sihat, sekali dalam sebulan Mak Leha memanjakan dirinya di spa.

“Jom, kita minum kopi Parapat ‘ni dulu.”

“Wah, pak su beli kat mana?”

“Pak su pergi Pulau Samosir minggu lepas. Minum kopi di pinggiran Danau Toba. Sedap, beli satu kilogram bawa balik.”

“Man… mak rasa ‘dah tiba masanya kamu berumah tangga.” Salman terdiam. Dia leka melihat telatah Zakri dan Suraya melayan Maisarah bermain di halaman rumah.

“Betul cakap emak kamu Man. Kami ‘ni entah esok lusa dijemput pulang.”

“Adik kamu ‘dah nak masuk dua orang anaknya.”

“Hati Man tak terbuka lagi mak.”

Salman merenung jauh ke arah baruh selekoh pokok binjai. Mak Leha menjeling pak su bagaikan memberi isyarat. Pak su akhirnya membuka bicara seperti dirancang.

“Pak su dan emak kamu berkenan dengan Farah anak imam kampung kita. Dia bertugas di hospital Muar.”

Tiba-tiba Salman bersuara, “Baiklah, ampunkan Man sebab buat emak dan pak su susah hati selama ini.” Mak Leha tersenyum.

Esoknya mereka pekena kopi dan mi bandung Muar.

 

 

 

Secawan Kopi 3 - An Anthology of Short Stories
Authors
MN Mahmud, ZMS Al Haj, SNK Sheikh Mohamad, SK Mohamad, MN Jemaron, SN Saleh, N Jamaluddin, N Omar, H Ibrahim, EN Abu Hafiz, NF Mohd Suah, H Omar, Z Abd Rahman, DZ Hanne, NH Kaderan, H Arifin, M Baiq
Publication date
2022/10
Volume
3
Pages
223 (ISBN 978-967-26671-5-5)
Publisher
Pena Teluk Bidara Resources

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler