Skip to Content

SERUMPUN BULUH

Foto Kemirau

AKU rasa sungguh lelah, mual melayan keributan dalam secangkir kopi. Asyik bertelingkah tidak sudah-sudah. Seperti anak-anak kecil tidak reti bahasa. Berebut buah bidara yang jatuh berderai dari atas pokok tatkala gancu terlepas tangkainya. Masing-masing tidak mahu beralah. Begitulah gelagat netizen lewat sembang di media sosial. Perkara titik bengik digaduhkan seperti milik siapa wayang kulit, batik, rendang, lagu Rasa Sayang, Kuda Kepang (Lumping), Tari Pendet, Tari Piring, Angklung, dan Reog Ponorogo.

“Kalian sering klaim warisan budaya Indonesia sebagai milik Malaysia!” getus Suri, teman sekuliahku. Mukanya masam mencuka.

Aku mencelah, “Kita ini asalnya bangsa serumpun. Nenek moyang kita bergolek-gelantang bercanda di Pentas Sunda semenjak berkurun lama! Justeru, pasti wujud amalan budaya yang serupa.”

“Benar, tapi itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merampas warisan budaya kami. Kita sudah menjadi negara bangsa yang berbeda bukan?” tegas Suri. Kali ini aku berdiam diri saja. Fikiranku menerawang seraya Suri mengomel sendiri.

Kami saling berhujah pada suatu petang di ruang legar Perpustakaan Tun Seri Lanang. Tidaklah sampai bertegang leher bak netizen separuh masak itu. Sememangnya diakui bahawa Kuda Kepang, Angklung (Sunda), dan Reog Ponorogo itu semuanya berakar dari Pulau Jawa. Begitu juga Tari Pendet yang berasal dari Pulau Bali dan Tari Piring bersinonim dengan Minangkabau di Sumatera Barat. Aku cukup mengerti kekesalan yang membusung di dadanya. Suri anak Ranah Minang, negeri beradat yang sangat halus budi pekertinya. Gagal membendung rasa kecewanya apabila Tarian Pendet digunakan dalam promosi pelancongan oleh sebuah syarikat swasta di Malaysia.

“Kekeliruan tersebut telah diselesaikan secara baik oleh kedua-dua negara sebagaimana disiarkan oleh mstar.com.my bertarikh 24 September 2009 lagi,” jelasku.

“Bagaimanapun untuk mengatakan bahawa masakan rendang itu warisan mutlak Indonesia adalah keterlaluan, Suri!” Suri agak terkejut sambil merenungku dengan jengkel sekali.

“Santan, kerisik, bawang putih, bawang merah, halia, lengkuas, serai, cili kering semuanya merupakan ramuan asas masakan rendang yang mudah diperoleh di sekeliling kita, Alam Melayu yang terkenal dengan rempah ratusnya.”

“Justeru, kalian bisa bilang rendang itu milik Malaysia?”

“Saya percaya sejak era Srivijaya lagi, masyarakat Melayu telahpun menyajikan rendang kepada para tetamu. Bukan sahaja menjadi hidangan utama di istana, malahan di ceruk dapur rakyat jelata! Apa kamu fikir pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, sajian istana dan rakyat hanya juadah yang disalai dan direbus semata?” Marah sungguh Suri. Sengaja kubiarkan dia sejuk sendiri.

Aku teringat coretan Cik Srikandi dalam buku Emas Para Dapunta dan Maharaja yang telah kuulang baca. Kerajaan maritim Melayu purba, sejak era kegemilangan Champa, Funan, Langkasuka, Kedah Tua, Gangga Negara, Grahi, Srivijaya, Tambralinga, Majapahit, Melaka dan Senggora telah membina bahtera yang hebat dan menguasai laluan perdagangan Timur dan Barat. Justeru, kerajaan yang mewariskan ribuan prasasti dan puluhan ribu manuskrip di mana bertebaran di segala pelosok buana sudah pasti mempunyai khazanah kulinari yang hebat. Apalah sangat rendang jika dibandingkan dengan teknologi peleburan besi di Sungai Batu semenjak tahun 788 SM lagi. Begitu juga dengan seni batik yang turut berakar dalam masyarakat Mayan di Mexico, malah turut membudaya di Afrika!

“Kerajaan purba Chih Tu di Kelantan yang bersekutu di bawah empayar Funan telahpun wujud sebelum era Srivijaya lagi. Malah Empayar Chermin yang berpusat di Kelantan telahpun menyatukan Langkasuka di Segenting Kra,  Champa di Vietnam, Gangga Negara di Perak, dan kerajaan Samudera-Pasai di Sumatera. Malahan turut menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Majapahit. Justeru apa anehnya batik ada di Kelantan dan Terengganu?”

“Saya pulang dulu, Farhan.” Suri lantas bingkas bangun meninggalkanku dalam termangu.

“Kamu marahkan saya Suri? Saya hanya mengutarakan pandangan jujur. Juadah yang enak seperti rendang mengapa harus kita ributkan.” Aku cuba melerai kekusutan.

“Sampai jumpa, Farhan! Lepas cuti semester nanti,” teriaknya. Kuekori langkahnya hingga lenyap daripada pandangan.

Kutelusuri denai ke Masjid UKM, ditemani bayang pepohon nan rendang. Kulihat rumput berubah hijau tua. Redup. Oh, alangkah indahnya cahaya matahari nan menyelinap di sebalik helaian daun! Lalu menghasilkan tompok-tompok hijau muda di rumput. Sewaktu kualihkan pandangan ke perdu pohon buluh, sekonyongnya hal yang kami perselisihkan tadi terus menerjah bermain di fikiran.

“Kita bagai serumpun buluh yang saling bertaut,” bisik hatiku.

Telah sepekan Suri pulang ke Payakumbuh. Sepi tanpa berita. WhatsApp yang kuhantar tidak berbalas. Aku terus meniti hari dalam kesibukan membantu ibu di bendang. Dalam keheningan suasana desa nan permai, sayup terdengar dendangan lagu ‘Kau Akan Kembali’ nyanyian Sudirman. Kutitipkan sebaris dua senikatanya di sini:

Sawah terbentang dan padi menguning
Daun nyiur melambai angin timur membelai…

Lamunanku terhenti kala terdengar laungan ibu dari arah perigi sepam kami, “Farhan! Jangan lupa bawa balik jerami padi yang hijau muda untuk kerbau kita.”

Hampir sepurnama kami terpisah oleh Selat Melaka. Suri terus menyepi. Aku mengambil keputusan untuk mengutus e-mel. Agar bisa bicara panjang lebar sebagai pencerahan bagi memugar hubungan kami. Suratnya berbunyi begini:

Sahabatku Suri,

Sejujurnya Malaysia dan Indonesia itu SATU. Kita adalah bangsa nan SERUMPUN. Penjajah Inggeris dan Belanda telah memisahkan kita. Meskipun kita sudah menjadi negara bangsa dengan bendera yang berbeza, namun kita masih BERSAUDARA.

Ya… LELUHUR kami bertebaran di sini sana. Di sini ada suku Jawa, Minang, Banjar, Bugis, Aceh, Mandailing, Bawean, Dayak dan lain-lainnya. Di Melaka majoriti peribumi orang Jawa, selebihnya orang Minang. Di Johor majoriti peribumi orang Jawa. Di Negeri Sembilan majoriti peribumi orang Minang. Di Selangor dan Perak begitu ramai masyarakat keturunan Jawa, Bugis, Banjar, Mandailing dan Rawa (Rao). Di kampung saya ada yang bernama Jamadi, Salamon, Karjan, Kasan, Rustam. Moyang saya sendiri aslinya Jawa. Malahan nenek saya masih bisa ngomong bahasa Jawa. Sebagaimana P. Ramlee, datuk saya juga berketurunan Aceh.

Pahlawan terkenal menentang Inggeris, Mat Kilau dan Dato’ Bahaman berasal dari Kampar. Ayahanda Sasterawan Negara kedua, Shahnon Ahmad berasal dari Medan, manakala Sasterawan Negara kelima, iaitu Muhammad Dahlan Abdul Biang Andi (Arena Wati) berasal dari Sulawesi. Malah dengan bangganya menyatakan bahawa beliau berfikir dalam bahasa Makassar!

Orang-orang Kampar dan Minang cukup terkenal sebagai perantau dan sangat berjaya dalam perniagaan. Hingga ada yang menyatakan:

"Pandai belayar seperti orang Bugis
Kuat bekerja seperti orang Jawa
Pandai berniaga seperti orang Minang"

Suri yang diingati,

            Tahukah kamu bahawa terdapat banyak kesamaan nama-nama tempat di Malaysia dan Indonesia. Misalnya di Melaka ada Asahan, Bertam, Londang, Pulau/Padang Sebang dan Terentang. Di Pahang ada Belawan, Karak, Kuantan, Pesagi, Tembeling, Temiang dan Terentang. Di Selangor pula ada Kapar, Klang, Rawang, Selayang, Serdang dan Subang. Manakala Jelai, Rokan, Tanah Datar dan Terentang terdapat di Negeri Sembilan. Silalah layari Google Earth untuk memastikan kesahihan nama-nama tempat ini. Malahan boleh dikesan lokasinya di Indonesia juga.

Lihatlah bagaimana Terentang boleh berada di tiga buah negeri iaitu Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan. Serupa juga di Indonesia, Terentang berada di tiga buah kabupaten berbeza, iaitu Banyu Asin di Palembang, Bangka Belitung, dan Kubu Raya di Kalimantan Barat. Di Johor ada nama-nama tempat seperti Kluang, Kupang, Ledang, Paloh dan Senggarang. Di Kuala Lumpur ada Kerinchi dan Palimbayan. Juga Daerah Kampar dan Bandaraya Ipoh di Perak, Marang di Terengganu, dan Betong di Sarawak..

Nama-nama tempat tersebut bukan hanya berada di Sumatera sahaja. Bahkan di lokasi lain juga. Misalnya, Kupang di Kedah dan Johor juga berada di Nusa Tenggara Barat. Begitu juga Londang di Melaka sebenarnya terdapat di Nusa Tenggara Timur. Jelai di Negeri Sembilan, juga berada di Kabupaten Sukamara, Kalimantan Tengah. Kapar di Selangor pula ada di Kalimantan Selatan.

Suri yang manis,

Saya mohon kemaafan atas coretan meleret ini. Tidak berniat sama sekali seperti mahu memberi kuliah pula. Anggaplah sebagai perkongsian ilmu semata-mata. Sedarkah kamu Suri, bahawa Subang di Selangor juga merupakan sebuah kabupaten di Jawa Barat? Paloh di Johor juga ada di Kalimantan Barat. Bahkan Ledang yang juga di Johor turut berada di Nusa Tenggara Barat. Manakala Marang di Terengganu pula terdapat di Makassar, Sulawesi Selatan.

Kelang/Klang di Selangor sebenarnya merupakan sebuah pulau di Maluku. Menariknya Kampung Acheh ada di Sitiawan, Perak dan di Yan, Kedah. Malah turut dibangunkan sebuah Kawasan Perindustrian Kampung Acheh di Sitiawan untuk pelabur tempatan dan asing. Terdapat Kampung Jawa di Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah. Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pula terdapat Kampung Paya Kumboh.

Usah terkejut bahawa ada Parit Ponorogo di Muar, Johor. Kampung Tambak Bugis di Melaka, Kampung Bugis di Kuantan dan Lahad Datu, Kampung Parit Bugis di Muar, dan Kampung Sungai Bugis di Perlis. Nama-nama seperti Boyan (Bawean), Mandailing, Banjar, Medan, Makassar, Palembang, Rawa (Rao), Minangkabau turut diabadikan sebagai nama kampung, taman perumahan, jalan dan sekolah. Misalnya Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang di Melaka, merupakan sebuah sekolah Kluster Kecemerlangan yang tersohor. Sekolah impian pelajar dan ibu bapa.

Mari kita renungkan nama-nama tempat seperti Bangalore (India), Chelyabinsk (Russia), Guangzhou (China/Tiongkok), Hiroshima (Jepun/Jepang), Manchester (England), Rotterdam (Netherlands/Holland/Belanda), Stuttgart (Germany), tidak terdapat di Malaysia mahupun Indonesia. Tahukah kamu mengapa? Sebabnya, mereka TIDAK SERUMPUN dengan kita.

Semoga ukhwah dan silaturrahmi antara Malaysia dan Indonesia terus terjalin akrab dan mesra. Amin. Sudilah hayati bait akhir puisiku, ‘Moyang Kami Bergolek-gelantang Bercanda Di Pentas Sunda’ yang berbunyi begini:

“Telah kujejaki tanah leluhur di Yogyakarta

 air mata ini bercucur sebak mengunci kata.”

 

MALAYSIA BOLEH! INDONESIA BISA!

Salam kasih sayang BANGSA SERUMPUN,

Farhan

***

Semester baru bermula, suasana di kampus kembali sibuk dan ceria seperti selalunya. Manakala hubungan aku dan Suri melalui pasang surutnya. Pertelingkahan pendapat sering diakhiri dengan rajukan Suri. Tegar tidak mahu beralah.

“Sepatutnya kita saling mendukung, bukannya berbalah. Bertegang urat baik di media sosial mahupun bersembang begini.” Aku cuba merungkai telagah.

Suri menjuihkan bibir dan membuat mimik muka. Aku tergelak melihatkan sikapnya yang keanak-anakan.

“Sebagaimana Songket Palembang dan Songket Aceh yang cukup halus tenunannya, Songket Terengganu dan Songket Brunei juga setanding. Masing-masing punya keunikan tersendiri. Apakah kamu mahu bilang yang songket itu milik Indonesia semata?” Suri tercengang dengan hujahku. Sedikit keliru barangkali.

“Seperti Tenunan Ikat Tradisional yang meluas di Aceh, Sumba Timur di Nusa Tenggara Timur, masyarakat Batak, Tanimbar di Maluku, tenun ikat Toraja, kain Endek iaitu tenun ikat khas Bali, dan Tenun Kain Pua di Sarawak, ternyata kita memiliki warisan budaya yang serupa!” Kali ini aku serius kuliahkan Suri.

Awal semester lalu, kami berhujah tentang bahasa Melayu. Suri enggan mengalah, malah bermati-matian mempertahankan hujahnya berkait bahasa Indonesia.

Pernah aku mengajukan soalan, “Di era Srivijaya, Sailendra dan Majapahit, bahasa apa dipertuturkan di Indonesia?”

“Bahasa Indonesia!”

“Bagaimana bisa terjadi sedangkan istilah ‘Indonesia’ sendiri belum wujud ketika itu,” aku menyanggah.

Brunei dan Singapura tekal menyebutnya sebagai bahasa Melayu, tidak bahasa Brunei mahupun bahasa Singapura. Akar bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Demi pemersatuan seluruh wilayah dan ratusan suku kaum, justeru Sumpah Pemuda 1928 memutuskan bahawa bahasa Melayu dijenamakan sebagai Bahasa Indonesia. USA, Australia, New Zealand, menobatkan English sebagai bahasa kebangsaan negara mereka. Tidak pula dijenamakan bahasa komunikasi seharian itu berasaskan nama negara mereka.

Aku memecah sunyi, “Kamu tahu, negara pertama yang patenkan Tongkat Ali ialah USA. Diikuti EU dan Jepun. Juga Malaysia yang menjalin kerjasama dengan MIT. Sepatutnya saintis kita bekerjasama membuat penyelidikan lalu patenkannya!”

“Benar Farhan?”

“Ya Suri… untuk apa saya mereka-reka cerita.”

“Di Indonesia disebut Pasak Bumi. Kita asyik bertelingkah soal warisan budaya, akhirnya khazanah herba yang melata di bumi kita dimanfaatkan oleh negara lain,” Suri meluahkan rasa kesalnya.

“Benar sekali Suri. Lebih baik kita gembleng usaha dan bekerjasama membangunkan bangsa dan memperkasakan ekonomi di Nusantara ini. Sebagaimana kerajaan silam yang saling bantu membantu tatkala Alam Melayu ini dijajah.”

Suri terkesima bila kuceritakan bagaimana serangan demi serangan dilakukan oleh Kerajaan Melayu di Nusantara ke atas Portugis setelah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Misalnya pada tahun 1513, pahlawan Jawa bernama Patih Unus yang menjadi Sultan Demak di Sumatera telah menyerang Portugis di Kota Melaka. Malah Kesultanan Aceh telah berulangkali menyerang Portugis iaitu kali pertama pada tahun 1537. Diikuti dengan serangan berikutnya pada tahun-tahun 1615-1616 dan 1628-1629. Begitu juga angkatan Bugis yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Daeng Kemboja menyerang Belanda di Kota Melaka pada tahun 1756. Disusuli pula oleh Raja Haji Fisabilillah pada tahun 1784 hingga gugur syahid di Teluk Ketapang.

“Beliau disemadikan di Melakakah Farhan?”

“Pusara beliau di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau. Kamu tak tahu Suri?” Aku kehairanan sekali.

“Tidaklah, saya sengaja ingin menguji kamu! Ha…ha…” Terkekeh-kekeh Suri menampakkan giginya yang tersusun rapi.

“Farhan, sekarang sudah tengah hari. Kamu tak terasa laparkah?” Punyalah asyik aku berceloteh hingga terlupa yang perutku sendiri berkeroncong.

“Ayuh kita ke pekan Kajang. Saya belanja kamu makan sate.”

“Asam padeh di Restoran Minang di situ pun enak tau,” Suri memancingku. Dia arif benar bahawa aku seorang penggemar asam pedas. Orang Melakalah katakan.

“Boleh saja Suri. Jom.”

Kami melangkah menelusuri denai yang kulalui sebelum cuti semester lalu menuju ke parkir di Masjid UKM. Dedaunan buluh nan meliuk lentok dipuput bayu bagaikan berbisik, “Bersatu teguh, bercerai roboh. Justeru bersepakatlah. Malaysia dan Indonesia itu ibarat batang tubuh nan satu. Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit.”

 

Antologi Cerpen Serumpun Buluh

Authors: MN Mahmud, M Musip, MY Yatim, F Darini, L Md Ashad, MM Mansor, NA Zakaria, NH Mohd Fisol, R Mohamed Baki, RH Ismail, SN Shahir, SA Aziz, SN Sarif, S Salim, U Zain, Y Mohd Yunos

Publication date:  2022/1

Pages:  156 (ISBN 978-967-2316-74-9)

Publisher: SYFE-WACANA MBM

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler