Skip to Content

MOYANG KAMI BERGOLEK-GELANTANG BERCANDA DI PENTAS SUNDA

Foto Kemirau

Moyang Kasan kami dari Tanah Jawa merantau
tiga per empat aslinya Jawa di kampung kami
seperempat lagi 'Orang Awak' dari Minangkabau
Salamon, Simon, Rustam, Karjan, Wak Jamadi.

Sejak ribuan tahun leluhur kami mengembara meneroka
berlayar, berdagang, berperang demi Nusa di Pentas Sunda
rindu kami pada saudara-mara cukup hangat membara
tidak terungkap tak terucap dalam sendu mengiringi doa
mencari susur galur tanpa alamat entah di mana.

Penuh rindu dendam nan terpendam
bergetar gelora kasih nian terbungkam
dari sukma paling dalam tak terselam.

Kami berbangga menjadi anak pribumi Nusantara 
dianugerahi ribuan buah pulau yang indah belaka
tamadun hebat perkasa Funan, Champa, Langkasuka,
Grahi, Gangga Negara, Tanah Sari, Tambralinga,
Srivijaya, Singhasari, Majapahit, Sailendra, Melaka.

Telah kujejaki tanah leluhur di Yogyakarta
air mata ini bercucur sebak mengunci kata. 

Kemirau @ Sang Murba
8 Zulhijjah 1441 Hijri

 

Catatan:

Sejujurnya Malaysia dan Indonesia itu SATU.
Sebenar-benarnya kita adalah bangsa yang SERUMPUN.
Inggeris dan Belanda telah memisahkan kita.
Tahun 1945 Indonesia merdeka, manakala 1957 Persekutuan Tanah Melayu merdeka dan terbentuknya Malaysia pada tahun 1963. Hari ini meskipun kita sudah menjadi negara bangsa dengan bendera yang berbeda namun kita masih BERSAUDARA. LELUHUR kami di sini sana.

Di Malaysia sini ada suku Jawa, Minang, Banjar, Bugis, Acheh, Mandailing, Bawean, Dayak dan lain-lainnya. Di Melaka hampir 75% pribumi orang Jawa, 25% pribumi orang Minang. Di Johor hampir 100% pribumi orang Jawa. Di Negeri Sembilan hampir 100% pribumi orang Minang. Di Selangor dan Perak begitu ramai masyarakat keturunan Jawa, Bugis, Banjar, Mandailing dan Rawa (Rao). Moyang saya sendiri aslinya Jawa. Nenek saya masih bisa bicara bahasa Jawa.

Di kampung saya ada yang bernama Jamadi, Salamon, Karjan, Kasan, Rustam. Isteri saya aslinya orang Kampar. Moyangnya, Sukun bin Saidi berhijrah ke Pahang sejak lama dulu. Di Temerloh, Pahang ramai sekali orang Kampar. Seperti orang Minang mereka sangat berjaya dalam perniagaan. Malah pahlawan terkenal menentang Inggeris, iaitu Mat Kilau, Seman Tahan berasal dari Kampar. Sasterawan Negara Arena Wati berasal dari Sulawesi. Malah beliau berfikir dalam bahasa Melayu Makassar! Di Bandaraya Melaka ada banyak Restoran (Rumah Makan) Minang. Hotel Budget pun ada yang dimiliki oleh peniaga Minang. Hingga ada yang menyatakan:

"Pandai belayar seperti orang Bugis
Kuat bekerja seperti orang Jawa
Pandai berniaga seperti orang Minang
"

Sila lihat di bawah ini (boleh disahkan di Google Earth):

Bil. Nama Tempat (Lokasi di Malaysia) {Lokasi di Indonesia}
1. Asahan (Melaka) {Medan, Sumatera}
2. Belawan (Pahang) {Medan, Sumatera}
3. Jelai (Negeri Sembilan) {Kabupaten Sukamara, Kalimantan Tengah}
4. Kampar (Perak) {Riau, Sumatera}
5. Kampung Jawa (Selangor, Melaka) {Bengkulu, Sumatera}
6. Kerinchi (Kuala Lumpur) {Kabupaten Kerinchi, Sumatera}
7. Kuantan (Pahang) {Riau, Sumatera}
8. Ledang (Johor) {Nusa Tenggara Barat}
9. Paloh (Johor) {Kalimantan Barat}
10. Pesagi (Pahang) {Lampung, Sumatera}
11. Rokan (Negeri Sembilan) {Riau, Sumatera}
12. Subang (Selangor) {Kabupaten Subang, Jawa Barat}
13. Tanah Datar (Negeri Sembilan) {Sumatera Barat}
14. Temiang (Pahang) {Riau, Sumatera}
15. Senggarang (Johor) {Pulau Bintan, Kepulauan Riau}
16. Tembeling (Pahang) {Pulau Bintan, Kepulauan Riau}

17. Terentang (Pahang, Negeri Sembilan, Melaka) {Kabupaten Banyu Asin, Palembang; Bangka Belitung; Kabupaten Kubu Raya, Kalimantan Barat}

18. Rawang (Selangor) {Padang, Sumatera Barat}

19. Selayang (Selangor) {Medan, Sumatera}

20. Bertam (Melaka) {Jambi}

21. Kampung Acheh (Sitiawan, Perak) {Aceh, Sumatera}

22. Pulau Sebang (Melaka) {Aceh, Sumatera} Nota: Pulau Sabang/Weh di Aceh.

23. Palimbayan (Kuala Lumpur) {Bukittinggi, Sumatera Barat}

24. Kluang @ Keluang (Johor) {Kabupaten Musi Banyumasin, Sumatera Selatan; Kabupaten Aceh Jaya; Kabupaten Belitung Timur} Nota: Pulau Keluang di Aceh, Pelabuhan Tanjung Kluang, Belitung.

25. Ipoh (Perak) {Mukomuko, Bengkulu} Nota: Ipuh di Bengkulu.

26. Kapar (Selangor) {Kalimantan Selatan}

27. Klang @ Kelang (Selangor) {Bintan, Kepulauan Riau; Kabupaten Seram Barat, Maluku} Nota: Kelong, Kepulauan Riau; Pulau Kelang, Maluku.

28. Marang (Terengganu) {Makasar, Sulawesi Selatan}

29. Kupang (Kedah, Johor) {Nusa Tenggara Timur}

30. Serdang (Selangor) {Sumatera Timur}

31. Karak (Pahang) {Kabupaten Aceh Barat}

32. Betong (Sarawak) {Kabupaten Banyu Asin, Sumatera Selatan} Nota: Betung, Kab. Banyu Asin.

33. Londang (Melaka) {Nusa Tenggara Timur}

34. Nama suku Melayu JAWA yang diabadikan:

(i) Kampung Jawa (Pontian, Johor; Kelang, Selangor; Melaka)

(ii) Parit Jawa (Muar, Johor)

(iii) Padang Jawa (Selangor)

(iv) Parit Ponorogo (Pontian, Johor) 

Nota: Ada berpuluh lagi nama tempat menggunakan istilah JAWA di Johor.

35. Nama suku Melayu MINANG yang diabadikan:

(i) Kampung Sesapan Batu Minangkabau (Beranang, Selangor)

(ii) Taman Desa Minang (Gombak, Selangor)

(iii) Taman Seri Minang (Kajang, Selangor)

(iv) Persiaran Minang (Cheras, Selangor) 

Nota: Ada banyak lagi nama tempat menggunakan istilah MINANG di serata Malaysia.

36. Nama suku Melayu BUGIS yang diabadikan:

(i) Kampung Bugis (Johor)

(ii) Parit Bugis (Pontian, Johor)

(iii) Parit Bugis (Muar, Johor)

(iv) Kampung Sungai Bugis (Perlis)

(v) Tanjung Bugis (Perak)

(vi) Tambak Bugis (Melaka)

(v) Parit Makassar (Pontian, Johor)

Nota: Ada banyak lagi nama tempat menggunakan istilah BUGIS di serata Malaysia.

37. Nama suku Melayu KERINCHI yang diabadikan:

(i) Kampung Kerinchi (Kuala Lumpur)

(ii) Bukit Kerinchi (Kuala Lumpur)

(iii) Jalan Kerinchi (Kuala Lumpur)

38. Nama suku Melayu BANJAR yang diabadikan:

(i) Kampung Banjar (Keningau, Sabah)

(ii) Bukit Banjar (Tangkak, Johor)

(iii) Jalan Banjar (Bagan Serai, Perak)

39. Nama suku Melayu BOYAN (BAWEAN) yang diabadikan:

(i) Kampung Boyan (Kuala Lumpur)

(ii) Kampung Boyan (Taiping, Perak)

(iii) Kampung Boyan (Sarawak)

39. Nama suku Melayu PALEMBANG yang diabadikan:

(i) Kampung Palembang (Terengganu)

(ii) Jalan Palembang Baru (Johor)

(iii) Jalan Palembang (Kelang, Selangor)

(iv) Jalan Bukit Palembang (Melaka)

(v) Jalan Datuk Palembang (Melaka)

(vi) Taman Bukit Palembang (Melaka)

40. Nama suku Melayu ACEH yang diabadikan:

(i) Kampung Aceh (Pulau Pinang)

(ii) Sungai Aceh (Pulau Pinang)

(iii) Kampung Pantai Aceh (Perak)

41. Nama suku Melayu RAWA (RAO) yang diabadikan:

(i) Kampung Rawa (Pulau Pinang)

(ii) Permatang Rawa (Pulau Pinang)

(iii) Jalan Rawa (Perak)

42. Nama suku Melayu JAMBI yang diabadikan:

(i) Kampung Sungai Jambi (Batu Pahat, Johor)

(ii) Parit Jambi (Batu Pahat, Johor)

(iii) Kampung Parit Jambi (Pontian, Johor)

43. Nama suku Melayu KAMPAR yang diabadikan:

(i) Kampar (Sebuah Daerah/Provinsi di Perak)

(ii) Jalan Kampar (Kuala Lumpur)

(iii) Mukim Kampar (Kelang, Selangor)

(iv) Kampar Jaya (Perak)

44. Nama suku Melayu MANDAILING yang diabadikan:

(i) Jalan Mendeleng (Sandakan, Sabah)

(ii) Jalan Mandailing (Kajang, Selangor)

(iii) Jalan Mendaling (Selayang, Selangor)

45. Nama suku Melayu BANGKAHULU (BENGKULU) yang diabadikan:

(i) Kampung Bangkahulu (Gemas, Negeri Sembilan)

 

Renung/Fikir: Nama-nama bandaraya/bandar seperti Manchester (England), Rotterdam (Holland/Belanda), Mumbai (India), Guangzhou (China/Tiongkok), Chelyabinsk (Russia), Stuttgart (Germany), tidak terdapat di Malaysia mahupun Indonesia. 

Sebabnya: Mereka TIDAK SERUMPUN dengan kita.


Semoga ukhwah dan silaturrahim antara Malaysia dan Indonesia terus terjalin akrab dan mesra. Amin.

Salam kasih sayang BANGSA SERUMPUN.

MALAYSIA BOLEH! INDONESIA BISA!

Telah kujejaki tanah leluhur di Yogyakarta

air mata ini bercucur sebak mengunci kata.

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler