PANTUN MUSIM PANDEMIK
Anyaman tikar seni berzaman,
Tikar mengkuang indah berseri;
PKP* diingkar kenalah saman,
Membuka ruang menginsafi diri.
Sarang merbah di tanah pamah,
Burung nuri hinggap di dahan;
Setiap musibah tersirat hikmah,
Dekatkanlah diri kepada tuhan.
Bakul rombong cantik berseri,
Pelbagai corak warisan bangsa;
Usahlah sombong jagalah diri,
Virus tidak mengenali mangsa.
Hidupkan tadarus di desa dan kota,
Tidak terhitung fadilat dan berkat;
Jangkitan virus menginsafkan kita,
Saling bergantung hidup sepakat.
Tenaga solar menjana ekonomi,
Anugerah diberi sungguh hebat;
Wabak menular di serata bumi,
Muhasabah diri sujud bertaubat.
PKP* - Perintah Kawalan Pergerakan
Komentar
Tulis komentar baru