Mengolah puisi bahasa peraga,
Siaga kata hendaklah cermat;
Jagalah diri sayangi keluarga,
Semoga kita semua selamat.
Sungguhlah indah corak berenda,
Hiaskan gebar dengan sulaman;
Lamalah sudah wabak melanda,
Tingkatkan sabar teguhkan iman.
Menjebak burung di tanah pamah,
Racik dipacak rumput berduri;
Sebak terkurung di dalam rumah,
Baik memasak membantu isteri.
Sebelah tenggiri separuh harga,
Tenggiri dikelar dibumbu jintan;
Jagalah diri nyawa berharga,
Wabak menular tidak kelihatan.
Kerjakan sawah hendaklah sabar,
Kuran dibawa makan bersama;
Jalinkan ukhuwah bertanya khabar,
Jiran disapa senyum percuma.
Sesepi nian di dalam taman,
Burung di jebak merdu suara;
Hadapi ujian tingkatkan iman,
Bendung wabak pulih segera.
Sungguh sarat buah durian,
Angkat buahnya di dalam raga;
Penuh tersirat segala ujian,
Berkat hikmahnya tidak terduga.
Hempedu ular tumbuh merata,
Subur terlindung pokok kepayang;
Wabak menular membelenggu kita,
Melebur murung zikir sembahyang.
Tanah rata dibuat bendang,
Sejak pagi lumpur dicangkul;
Berat mata kita memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Jahitan sembat tidak dicakna,
Pereka resah fikiran buntu;
Ingatan sahabat walau di mana,
Ketika susah perlu dibantu.
Menebar jala terjumpa seramik,
Tengalan berduri cucuk di ranting;
Bersabar kala musim pandemik,
Kawalan kendiri cukuplah penting.
Pantai Cenang sudah ternama,
Tanjung Rhu tempat bercuti;
Susah senang sentiasa bersama,
Saling membantu bersatu hati.
Asyik gubahan wirama kecapi,
Cukup memikat sudahlah tentu;
Serik cabaran bersama hadapi,
Hidup sepakat bantu-membantu.
Tempah seramik mengikut harga,
Dibanding mahu corak memikat;
Hikmah pandemik menuntut warga,
Berganding bahu hidup muafakat.
Kalau tempurung ditukang hemat,
Hiasan mampan direnung lawa;
Walau terkurung masih selamat,
Barisan depan bertarung nyawa.
Keris kersani berhulu jentayu,
Tampilan megah wira perkasa;
Baris berseni pantun Melayu,
Nukilan gah mahakarya bangsa.
Anggun cantik sempena raya,
Langsir bertekat menjadi bualan;
Pantun mendidik cakna budaya,
Berfikir cermat sebati amalan.
Jemari tekun menganyam kelasa,
Peraga corak kelarai sulaman;
Lestari pantun manikam bangsa,
Semoga tidak tersadai zaman.
Menjebak kelisa di sungai Misan,
Terpatah joran umpan diruntun;
Wabak melanda ramai terkesan,
Ziarah jiran ihsan menyantun.
Jala tercarik bertumpang tindih,
Pari meruntun nelayan berdesah;
Kala endemik menghilang sedih,
Mari berpantun hilangkan resah.
Komentar
Tulis komentar baru