DENAI RINDU BONDA
Telah kujejakki denai rindu Bonda
di sepanjang jalan kereta api lama
yang rel besinya telah diangkut Jepun ke Burma
ramai yang syahid terkubur entah di mana.
Sesayup mataku memandang di depan dan belakang
nun jauh di depan Gunung Tampin berbalam
saujana di belakang kampung kami Belimbing Dalam
terlihat sosok Bonda berjalan kaki pergi dan pulang
menemani Alang Tijah ke Pulau Sebang.
”Melewati pos kawalan Jepun mesti tunduk membongkok
jika tidak makan tempeleng jatuh terjelepuk!”
Jambatan kayu dan besi kini berturap tar batu goreng
dulunya di kiri kanan lempang-lempung padi dibanting
petani di sawah keringat menyimbah dengan urat nan timbul
telapak tangan belulang masih bisa tersenyum simpul
berbilau betis disebat mensiang masih tertawa riang.
Rumah Alang Tijah masih kukuh berdiri
gelegar bulat di bawahnya tong banting dan kepok padi
laman ini pernah bersaksi Bonda berlari ketawa riang sekali
perigi airnya biru di perdu kundang telahpun sebun kini.
Kujejaki denai ini kesekian kali melepas rindu
seakan terasa kasih bonda menyentuh kalbu.
Arungan, Pulau Sebang
MERINDUI ANAKANDA
Merindui anakanda di bumi Irish
ayahanda selindung sunyi di lahan pusaka
tanam pisang sekeliling rumah Melaka
baja ditabur air disiram penuh cakna
lapan purnama jantung menjelma.
Anakanda terpisah jauh beribu batu
demi mencapai niat yang satu
membisik rindu pada langit
di sebalik cabaran penuh sengit
dalam jurang Euro dan Ringgit.
Ayahanda, bonda munajat bertalu
siang malam menyebut namamu
dalam sujud nan syahdu
dalam pasrah nian rindu
lima tahun pantaslah berlalu.
Ramadan 1440H ayahanda bertamu di bumi Irish
menjejaki Viking di Dublin Castle dalam dingin gerimis
melihatmu di UCD O'Reilly Hall air mata ini menitis.
Melaka 2014 – Dublin 2019
KITA INI SEPUSAT SEPUSING
Kita ini sepusat sepusing
cucu Baba Tayan cicit moyang Kasan
ibu bapa kita lahir dari rahim yang satu
dibesarkan bersama hidup penuh berliku.
Moyang kita membelah samudera meredah belantara
meneroka penuh gagah buat kita pewarisnya
berjuang menyimbah darah penjajah disanggah
Acheh, Jawa, Bugis menyerang bertalu Portugis dipalu
Belanda, Jepun, Inggeris diusir bukan sedikit darah mengalir
mereka saling berpadu membebaskan Alam Melayu.
Tatkala ayahanda dikejarkan ke hospital Melaka
sepupu menyongsong di EU sama bersengkang mata
saat ayahanda dijemput pulang kalian semua berdagang
sepupu sepapat jiran tetangga dahulu menerpa
ketika bonda sakit terlentang mereka jua yang bertandang
cangking bonda gagah seorang tidak pun minta dikenang
sampai ketika bonda dijemput pergi kalian masih tiada di sisi
sepupu sepapat jiran tetangga dahulu menerpa.
Kita ini sepusat sepusing
sewaktu kecil bermain teng-teng pangkah gasing
menginjak dewasa bawa haluan masing-masing.
Kampung Belimbing Dalam
DI PANGKALAN NELAYAN INI
Seawal pagi perahu disorong
pertaruh nyawa dan untung
menduga rezeki di laut lepas
berhujan dan berpanas
meredah ombak nan ganas.
Langit bisu falak bulan Melayu
air menyorong kecil, besar dan bani
air besar arusnya keras terlalu deras
air bani laut sunyi ikan lenggana menari
di lembayung senja laut berpendar
nelayan kami hidup dalam nanar.
Hujan panas bersilih ganti
susah senang galangan hidup
memukat asa sehari suntuk di laut
nelayan pulang basah kepeh lencun kuyup
anak isteri melangit pasrah kasih bertaut
dihambat gusar andai hilang dahan berpaut.
(pembesar bersorak-sorai rakyat kian pokai)
Di pangkalan nelayan ini
tiada kapal melabuh sauh
sungai kami sempit
pangkalan kami senget.
Sungai Punggor, Disember 2018
Komentar
Tulis komentar baru