SEKOLAH LAMA KAMI
Sekolah lama kami di seputar sawah padi
sebelah baruh tepian jalan kereta api
telah diangkut ke Burma semua rel besi.
Di sinilah kami belajar baca, tulis, kira
seni anyaman, melukis dengan serbuk warna.
Seawal pagi kami cabut kemuncup di padang
di situlah kami bermain walau lebar sekangkang
kami tetap bersyukur masih bisa menjadi orang.
Setiap hari guru Ilmu Hisab melatih tubi kami
menghafal sifir sambil bernyanyi-nyanyi
mengira guna biji getah dan bilah-bilah lidi.
Ustaz Daruddin mendidik kami kenal Jawi
belajar mengaji, asas Fardu Ain berlatih amali.
Guru Tawarikh melentur kami seraya bercerita
cerna minda pupuk jiwa cakna nusa dan bangsa
jangan sampai terjajah lagi kedua kalinya.
Di belakang kantor Guru Besar kami diajar
berkebun bercucuk tanam berbudi pada bumi
tanaman tomato, cili, dan terung segar bugar
sedikit sebanyak menjana ekonomi sara diri.
Di sinilah kami terdidik ilmu duniawi, ukhrawi
tahu beza mana kaca mana ratna maknawi.
Sekolah Kebangsaan Belimbing Dalam (lama)
MENGENANGMU SMK DATO’ DOL SAID
Singapura disingkir Ayahanda belah British Army
pandu teksi Hillman H4609 Syarikat Matahari
Disember 1975 kumelihat SDDS julung kali
”Dua orang Kekandamu pernah belajar di sini,
masuk asrama di Alam Shah dan RMC.”
Guru kami pandu Mini Cooper tunggang Vespa
jasa murni mereka tidak sekali-kali kami lupa.
Mr Chua Seng Kian guru Matematik yang garang
Mr Ridzwan mengajar Sejarah pun apa kurang
kini baharu mengerti kami terdidik menjadi orang.
Ustazah Maryam bagaikan ibu sangat penyayang
Mr Yap Bo Jong latih bertukang lentung-lentang
Mr Abu Samah mengajar Geografi cukup terbilang
kuiz spontan di penghujung kelas sebelum pulang.
Usai SRP kami lawan hoki tujuh sebelah
adat menang kalah sedikitpun tidak berbalah.
Seronoknya ke sekolah bukan kepalang
berlari di batas sawah ke Kampung Seberang
terlepas bas trip pertama kejar trip mendatang.
Waktu rehat Koperasi putar rekod piring hitam
bayar sepuluh sen tuju lagu buat gadis diidam.
Mengenangmu SMK Dato’ Dol Said
sebening dinihari puisi ini kukait kubait.
SDDS, Kelemak. 14 Zulhijjah 1441 Hijri
DARI KOLAM AYER KE BUKIT PIATU
Januari 1979 sebulan aku belajar di sini
SDHTK di puncak bukit gagah didaki
pernah ke sini bertanding English Story Telling
di Tingkatan 2 bersama Teng Sook Ying.
Langsung berguru di TI Melaka, Bukit Piatu
Mr Stephen P. Paterson dari US kecek Melayu
mengajar kami Matematik tanpa silu dan ragu.
Lukisan Geometri ditunjuk ajar Mr Choy Ah Sang
teruja sekali milikku terpapar di papan belakang
teladan bahan bantu mengajar jadi perangsang.
Mr Al Kharib Shah Alang Osman cukup disegani
Guru Kelas/Kertas Am kami yang berjiwa seni
berkumandang di corong Radio Melaka suatu hari
bercerita tentang Sungai Melaka dalam bait puisi.
Kukenal erti mandiri berguru di Kelas Pre-U
dalam puisi ketemui diri sukma ratnaku.
TI Melaka 1979 - 1982, Bukit Piatu
BERGURU DI LEMBAH PANTAI
Bercucuran air mata kala bertemu
Ayahanda lama menghilang tanpa berita
khabar gembira dibisikkan Kekandaku
ke menara gading di Universiti Malaya.
Dr Lee Cho Seng mengajar Control Theory
bengkeng tingkahnya kubelajar hidup berdikari
Prof Bun-Kong Kwee kuliahnya tanpadaksa
kulirik coretannya bagaikan tersembul mata.
Dr Lim Ming Huat acap kali mengetus
kupelajari erti sabar tanpa merengus
setiap manusia punya masalah sendiri
denai hidup berduri bisa kumengerti.
Di Jabatan Matematik banyak yang kuperoleh
ilmu kehidupan mengharung pelbagai cabaran
bukannya sekeping ijazah yang dimegahkan.
Hendak berjaya usah banyak berdalih
legak-legok kehidupan mematangkan kita
terus gigih berusaha jangan berputus asa.
Berguru di Lembah Pantai
telah kuredah ribut dan badai.
Universiti Malaya – Kerinchi – Bangsar – Seksyen 17 PJ
KETEMU SANG MAHAGURU
Di UKM Bangi kutemu Sang Mahaguru
menggelintar ilmu dalam perit perih
tinggal anak isteri pulang hujung minggu
dalam termangu kusimpan rasa sedih.
Dengan makrifat puas kurenung dalam menung
nyanyian camar desiran ombak menghempas pantai
memecah sunyi dermaga cinta Sang Nakhoda.
Kadang mendung petir berdentum kilat bersabung
meski dirundung puting beliung taufan membadai
bahtera gagah belah samudera menuju dermaga.
Apa digundah usah gelisah resah mendesah
takdir Ilahi reda kuterima tanpa keluh kesah
raih ilmu setulus hati sesuci nurani takkan sirna
terus teroka gelintar julang khazanah bangsa.
Di UKM Bangi kutemu Sang Mahaguru
memartabatkan bahasa kebitaraan ilmu Alam Melayu
AOM Tap, SM Zain, AR Salleh citraloka wacana
I Hashim, M Darus, R Nazar cendekia buana
gagasan fikir sukma kencana kalian hadir membara.
Bangi Lama – Mantin – Melaka
Komentar
Tulis komentar baru