Skip to Content

PUISI-PUISI KEROHANIAN

Foto Kemirau

DENAI SUFI NAN SUNYI

 

Pernah kususuri bersama Ayah dan Bonda

denai sufi nan sunyi ini di masjid lama

sewaktu pulang bertandang ke rumah saudara

Tok Mat Som rumahnya di Belimbing Hulu

Ayahanda singgah di masjid solat dahulu.

 

Masjid lama Belimbing Dalam

luruh dimamah zaman sepi sendiri

dibina atas amal jariah dan kudrat ahli kariah

saling bersatu hati menggarap reda Ilahi.

Dalam filem hitam putih kurakam detik sunyi

kamera Kodak RM49.90 pemberian isteri.

 

Denai sufi nan sunyi ini

berteman pusara lama terkapar sepi

di kanannya ada kolah juga perigi

digali bersama meriah sekali.

Kita ini kekacang yang lupakan kulitnya

tempat munajat melerai resah duka nestapa

kala Jepun dan Inggeris menjarah Nusa

di masjid ini kita berkongsi cetera lara.

Apakah setelah mendapat gading bertuah

maka tanduk tidak lagi berguna?

 

Setiap kali kulewati jalan kereta api lama

sedih hatiku menatapmu tidak terkata.

 

Masjid Lama Kg Belimbing Dalam

 


AKAN TIBA JUA SAATNYA NANTI

 

Telah beberapa kali ajal seakan menjemputku pergi

sewaktu kecilku pernah lemas di sungai balik berzanji

marhaban di rumah Sidang Khalil majlis kenduri

diselamatkan Allah melalui sahabat mengaji

dua beradik yang telahpun arwah kini.

 

Telah beberapa kali ajal seakan menjemputku pergi

sewaktu kecilku kala jaga kerbau pernah lemas di kali

selekoh baruh Lubuk Haji Ahmad dalam sekali

diselamatkan Allah melalui Kak Mimah

rambutku ditarik penuh berani.

 

Telah beberapa kali ajal seakan menjemputku pergi

Honda C70 WAB 8271 gelimpang tengah jalan kuterlentang

bikin aku keliru mata berpinar sakitnya bukan kepalang

di pondok bas Jalan Bangsar ramai sekadar memandang

diselamatkan Allah melalui seorang penunggang.

 

Telah beberapa kali ajal seakan menjemputku pergi

separuh badan tersayup di lereng Le Cinque Terre di Itali

diselamatkan Allah melalui kasut taktikal mencengkam bumi

dalam syahdu hari terakhir Ramadan 1440 Hijri.

 

Akan tiba jua saatnya nanti kupergi menyahut panggilan Ilahi

moga bukanlah di saat PKP pandemik COVID-19 ini

yang nantinya ziarah jenazahku terbatas sekali.

 

Kuala Belimbing – Riomaggiore

 


 

SERALIT MATAKU

 

Ralit terlena kala memandu

tersentak jaga aku keliru

di manakah aku

ke mana hendak dituju?

 

Ya Allah! Dikau jua yang memanduku

dengan rahmat dan kasih sayang-Mu.

 

Keletihan memandu di lebuhraya PLUS

seralit mataku berapa kali seakan terbabas

kulalui jalan lama Melaka-Seremban susur Pedas

Mantin-Bangi Lama/Kajang jalan pintas.

 

Tatkala guruh petir gegak-gempita

di malam nan sunyi gelap gelita

ku turuni Gunung Mantin meluru laju

dalam keterbatasan rabun mataku

dengan mobil tua dua aksara MV 2061.

 

Ralit terlena kala memandu

tersentak jaga aku keliru

di manakah aku

ke mana hendak dituju?

 

Ya Allah! Dikau jua yang memanduku

dengan rahmat dan kasih sayang-Mu.

 

Jalan Lama KL - Seremban

 

 

DI BAWAH LEMBAYUNG KASIH-MU

 

Di bawah lembayung kasih-Mu Ilahi

dalam rahmat-Mu kudakap hidup nan fana ini

pernah seketika hilang peta manakan kuhala

sepi sendiri resah dikongsi pada siapa

kugagahi segala onak duri mencari makna.

 

Di kala PKP meski terpenjara di rumah sendiri

riuh suara anak isteri memecah sunyi

sedang ramai yang ke sana sini mencari rezeki

memercik keringat dipanah mentari

basah kuyup lencun di kala hujan

motorsikal dipacu hantar makanan.

 

Di tabir senja aku terpaku akan kebesaran-Mu

ufuk segara dan langit berma menyatu

kurenung kuhitung nikmat-Mu tak terkira

setiap detik kuhela nafas terus bernyawa

manakan bisa dinafi dustakan

dalam sujud syahdu malam Ramadan

linangan air mata hati nan rawan.

 

Di saat getir COVID-19 ini kami merintih rayu

tidak sudikah lagi membuka pintu rumah-Mu.

 

Kg Belimbing Dalam – Cheng

 

 

SEHENING PUSARA BONDA

 

Kuziarahi pusara di pagi nan syahdu

di nisan Bonda aku terpaku

terimbau kenangan semasa kecilku

membesar dalam asuhan Bonda

kukenal kaca ratna permata.

 

Ke darat mencari kayu meredah semak

kukutip kulat sisir enak dimasak lemak

ke baruh mengharung sawah lebar-lebur

kugalas semenjak kekanda ke asrama penuh

kukenal erti gigih tidak bertangguh

pernah terlelap di atas batas

Bonda mencapai payung kertas

silau mentari disangga memberiku teduh

Bonda menuai menyimbah peluh.

 

Pulang sekolah menjaga kerbau

di benteng kali seberang bandau

tajuh kupacak keliling bendang

haruan menghempas hatiku girang

pernah Bonda membawa bekal untukku

kala pulang sempat menoleh sayu.

 

Sehening pusara Bonda

kutitipkan doa pada Yang Maha Esa

dalam sebak mataku berkaca.

 

Tanah Wakaf Darat Klinik, Kg Belimbing Dalam

 

Ruang Bicara 2 - A Poetry Anthology
Authors
M Musip, SA Aziz, MN Mahmud, AF Mohd Fuzi, E Alias, HS Ismail, H Jamin, H Muin, H Daud, K Murugiah, KK Mazlan, M Mohd Ani, M Supa'at, MA Abd Rahman, MI Maarof, NA Zakaria, MA Mat Salleh, N Mohd Subari, N Omar, NR Siren, NA Zakaria, NIA Abdullah, SN Sarif, R Ignacy, S Abd Hamid, R Karno, R Abdul Razak, RH Ismail, SR Abu Aziz, S Muhamad, S Salim, Z Kassim, Z Zainudin
Publication date
2021/10
Volume
2
Pages
224 (ISBN 978-967-2316-52-7)
Publisher
WACANA MBM

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler