SUMPAHAN RATU
OLEH : AC JAFFRIE
|
N |
GERI dan memualkan! Ada percikan darah memancut laju dari isi perut lelaki yang terburai itu. Dengan sekali libasan pantas sebilah pedang, lelaki itu rebah lalu mengelupur di tanah. Wanita berkebaya merah itu tidak melepaskan peluang. Dengan rakus dia melapah jasad lelaki yang sedang mengelupur itu tanpa belas kasihan. Jerit pekik lelaki yang kesakitan itu memecah sunyi malam. Perlahan-lahan suara yang melantun kuat ke langit itu bertukar sunyi.
Akhirnya jasad dan nyawa lelaki itu berpisah dari badan. Jasad yang terbujur terlentang kaku. Segala isi perutnya sudah terburai. Bau hanyir darah menusuk rongga hidung. Percikan darah merata membasahi jasad si mati. Ada juga percikan darah di tanah. Matanya mencerlung tajam memerhati kawasan sekitar. Pandangannya tidak diam pada satu arah sahaja. Dia berasa lega apabila tiada kelibat manusia kelihatan di situ.
Tampang wajah wanita berkebaya merah itu mula berubah. Sikapnya mula bertukar ganas. Biji matanya tersembul menjadi merah. Merah menyala! Jantung lelaki malang tadi dikeluarkan dari jasad si mati dan diangkat separas mukanya. Kesan darah yang berlendir dan hanyir adalah aroma yang menyegarkan. Ditenung tajam dengan bernafsu. Air liurnya menjejes keluar. Lidahnya terjelir-jelir mahu menjilat jantung yang masih berlumuran darah itu.
“97… 98… 99…” mulutnya berbisik sambil mengira nombor berkenaan. Sampai bilangan angka 99 sekali lagi wanita berkebaya hitam itu mengulangi nombor yang sama. Kali ini dengan nada suara yang kuat. Dia seakan-akan menjerit.
“99!” tukas wanita berkebaya itu sambil ketawa mengilai-ngilai. Misinya makin hampir ke garis penamat. Dia yakin misinya itu akan berjaya. Dia hanya perlu satu nyawa lagi untuk genapkan ke angka 100! Hanya satu lagi mangsa lelaki diperlukan untuk melepaskan petaka sumpahan ratu yang mengurung kebebasannya selama ini. Hilaiannya semakin kuat. Itu tanda dia sedang diulit bahagia.
Jantung lelaki yang panas masih dalam genggamannya dijilat berkali-kali. Mulut mungilnya kini diselaputi darah. Bau darah yang hanyir itu semakin kuat, membuatkan dia semakin galak dan bernafsu. Angin malam mula bertiup kencang. Bunyi guruh di langit menandakan hari mahu hujan. Sesekali kawasan sekitar nampak terang disimbah cahaya pancaran kilat. Dalam bias cahaya itu jelas kelihatan baju kebaya yang dipakai oleh wanita itu berlumuran darah hanyir. Jantung lelaki malang itu juga sudah berada dalam kunyahan mulut wanita berkebaya merah itu.
Kini tumpuannya sekali lagi terarah kepada jasad lelaki yang terbujur kaku di tanah. Perlahan-lahan dia merapati mayat berdarah itu sambil tersenyum puas. Pedang berdarah yang tercampak di tanah diambil semula. Pedang itu kemas dalam genggaman tangan kanannya. Perlahan-lahan dia merapati semula mayat lelaki yang terbujur kaku itu. Kali ini leher mangsa menjadi sasarannya. Dengan sekali libasan, berpisah kepala mangsa dengan badan.
Darah memancut keluar dari lubang tenggorok yang terputus dua. Kepala mangsa terpelanting tidak jauh dari badan mangsa. Wanita berkebaya merah itu terus dirasuk. Pertimbangan nafsu mula mengatasi fikirannya. Kepala lelaki mangsa pembunuhan itu kini berada dalam genggaman tangan kanan wanita berkebaya merah itu. Darah masih menitik-nitik jatuh dari kepala yang bercerai dari badan itu. Dia tersenyum bangga.
“Wahai lelaki… awas!” tukasnya bagaikan memberi amaran sebelum meninggalkan tempat pembunuhan berdarah itu. Tangannya masih menjinjing kepala mangsa. Perlahan-lahan wanita itu lenyap dalam hujan yang mula mencurah membasahi bumi. Sementara itu, mayat lelaki malang yang tidak berkepala itu bergelimpangan kaku ditimpa hujan. Keadaanya sangat mengerikan dengan mulut ternganga dan mata terbeliak.
Dalam beberapa langkah, kaki wanita berkebaya merah itu terhenti. Sekali lagi dia memalingkan muka sambil memberi amaran.
“Aku bersumpah kau takkan aku lepaskan!” ulangnya sekali lagi sambil jari telunjuknya terarah kepada bakal mangsa seterusnya. “Awas kau wahai lelaki!” bisiknya antara dengar dengan tidak. Serentak dengan itu, kelibatnya mulai hilang dan layar panggung menjadi gelap.
*****
|
L |
AMPU panggung dipasang. Para penonton berasa lega apabila adegan berdarah lagi ngeri itu sudah berakhir. Debaran yang menghentam dada sepanjang menonton kisah seram kali ini kembali tenang. Biarpun sekadar cerita dan lakonan, kesannya kepada penonton sangat mengujakan. Kini mereka sudah boleh menarik nafas lega dan selesa.
Kalau tadi panggung begitu sunyi, kini suara hingar bingar mula menguasai ruang panggung. Kalau tadi penonton dicengkam ketakutan, kini tidak lagi. Dalam suasana terang di dalam panggung, rasa takut sudah terbuang jauh. Masih ada suara-suara memuji pengarah filem yang berani membawa cerita seram itu ke layar perak. Sepanjang menonton rasa ketakutan mencanak naik di dada penonton. Arshad yang turut menonton filem itu turut menerima kesan.
“Kau ni dah kenapa? Berpeluh-peluh aku tengok!” ucap Asraf, saudara kembar yang menemankan Arshad menonton filem di pawagam malam itu. Asraf menggoncang bahu Arshad.
“Aku takut! Aku takuttt!” teriak Arshad macam dirasuk benda ghaib. Asraf panic seketika. Digoncang sekali lagi bahu Arshad.
“Ehh… kau okey tak?” soal Asraf turut cemas.
“Aku takut! Aku nak balikkk!” jerit Arshad lagi. Beberapa orang yang berada hampir dengan Asraf turut terkejut. Mereka tak sangka kesan menonton filem seram itu menjadi fobia kepada Arshad.
Asraf menampar pipi Arshad. Dia yakin Arshad lemah semangat. Dia tahu Arshad memang bukan peminat filem seram. Dia yang beria-ia sangat mahu Arshad menemankannya menonton filem malam itu. Dia tahu, Arshad memang penakut kalau diajak menonton filem seram. Bukan di pawagam sahaja, malah di rumah juga Arshad tidak berminat menonton kisah seram.
“Hisy… buat malu jer jadi lelaki! Wayang jer kot!” ucap Asraf memerli Arshad. “Dasar penakut!” ujarnya lagi.
“Aku nak balik! Aku nak balikkk!” jerit Arshad tanpa peduli ada mata-mata sekelilingnya yang memandang. Dia tak perlu malu, dia memang penakut!
Jam ketika itu sudah menghampiri 12 tengah malam. Asraf memandu kereta Perodua Axia miliknya pulang ke rumah. Perjalanan pulang dari bandar mengambil masa hampir satu jam. Cahaya dari tiang lampu jalan agak suram. Asraf memandu berhati-hati. Kini mereka melalui kawasan hutan simpan.
“Baru tengok wayang… kalau jumpa depan mata mesti terkencing dalam seluar!” sekali lagi Asraf memerli Arshad. Segan juga dia apabila Arshad berkelakuan macam itu di khalayak ramai. Tak sangka pula Arshad itu seorang yang penakut.
“Ehh... mulut kau tu jangan cabul! Malam-malam jangan cakap lepas!” tukas Arshad terus mengomel. Asraf tersenyum. Dia sengaja mahu mengusik tetapi kata-katanya menyakitkan hati Arshad. “Ehh… kau tak dengar apa perempuan tu kata tadi? Kau pekak ehh!” ujar Arshad lagi dengan wajah yang mencuka. Dia masih tidak puas hati apabila Asraf buat tak tahu sahaja.
Tiba-tiba Asraf memberhentikan kereta secara agak mengejut. Arshad yang duduk di sebelah tempat duduk penumpang turut terkejut. Ketika itu mereka masih berada di kawasan hutan simpan.
“Kenapa ni? Kereta ada masalah ke?” soal Arshad bertalu-talu. Dia melihat keadaan Asraf yang tidak selesa. “Kau dah kenapa? Kau okey tak?” soal Arshad lagi tanpa Asraf menjawab pertanyaan yang terdahulu tadi.
“Err… perut aku sakit. Aku tak tahan dah ni!” jawab Asraf selamba.
“Tahanlah sikit… lepas kawasan hutan ni ada station minyak. Kawasan ni kan gelap,” ujar Arshad yang kurang selesa dengan tindakan Asraf itu.
“Kau tunggu kejap… sakit sangat perut aku ni!” beritahu Asraf terus membuka pintu kereta. Sebotol air mineral berisipadu 500ml dibawa sama. Air itu untuk kemudahan beristinjak nanti. Seketika bayang Asraf hilang dalam kepekatan malam sekitar hutan simpan itu.
*****
|
A |
RSHAD terus menunggu. Dia mula gelisah. Selepas setengah jam berlalu, kelibat Asraf masih belum kelihatan. Matanya melilau melihat serata arah. Susuk tubuh Asraf tetap belum muncul. Kedengaran bunyi cengkerik hutan mula bersahut-sahutan. Hatinya semakin tidak keruan.
“Hisy… ke mana pulak perginya? Berak batu ke!” rungut Arshad sendirian. Sempat matanya memandang jam tangannya yang sedang menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.
Lima minit berlalu. Sepuluh minit terus berselang. Bayangan Asraf masih lagi tidak muncul. Ke mana perginya Asraf? Fikiran Arshad mula membayangkan sesuatu yang tidak baik berlaku kepada Asraf. Dia melepaskan keluhan. Apa yang perlu dilakukan? Otaknya pantas berfikir. Dia tak ada pilihan melainkan keluar mencari Asraf. Atau pergi mencari bantuan. Tetapi dalam suasana malam yang gelap itu siapa yang boleh diminta bantuan?
“Asraf! Asraf! Asrafff!” jerit Arshad memanggil nama Asraf. Jeritannya bertalu-talu tetapi tiada sahutan balas daripada Asraf. Dia berasa hampa. Namun gerakan mencari Asraf masih diteruskan. Berteman bias cahaya dari telefon tangan miliknya, Arshad meneruskan misi pencariannya.
Nama Asraf dipanggil lagi beberapa kali. Namun jawapannya tetap sama. Tiada suara yang menyahut panggilannya itu. Antara sedar dengan tidak, Arshad sudah berada jauh ke dalam hutan. Langkah kakinya terhenti apabila terdengar bunyi ranting kayu seakan dipijak orang. Tiba-tiba dada rasa berdebar-debar.
“Asraf! Awak ke tu?” tukas Arshad memberanikan diri bersuara. “Keluar cepat… jangan main-main boleh tak?”
Senyap seketika. Hati dan perasaan Arshad masih dibumbu dengan perasaan takut. Belum reda rasa ketakutan semasa menonton di pawagam tadi, kini dia berhadapan dengan situasi yang menakutkan sekali lagi. Kali ini debarannya lebih memuncak. Kalau dia tahu keadaan begini akan berlaku, memang awal-awal lagi dengan menolak ajakan Asraf untuk menonton wayang.
Dia masih teringat wanita berkebaya hitam yang begitu ganas dan menakutkan di pawagam tadi. Adegan ngeri yang ditontonkan sudah cukup memualkan. Fikirannya mula melayang. Apa yang mesti dia buat kalau wanita berkebaya merah itu muncul di hadapan matanya ketika itu? Apa yang mesti dia buat untuk menyelamatkan diri? Janganlah dia menjadi sebahagian dari plot cerita di pawagam yang belum berkesudahan itu.
Prappp! Bunyi pijakan ranting kayu kedengaran lagi. Dengan pandangan yang culas, Asraf melilau melihat arah datangnya bunyi itu. Hatinya makin kecut dan takut. Bunyi patahan ranting itu semakin jelas terdengar. Dia hampir putus asa. Langkahnya berganda untuk kembali semula ke kereta. Dengan cahaya lampu dari telefon bimbit yang terbatas, langkah kaki Arshad kian pantas menuju sasaran.
Sampai satu tempat, kaki Arshad terpaku tiba-tiba. Ada bayangan susuk manusia berada kira-kira 10 meter di hadapannya. Dia yakin itu adalah Asraf. Segera pergerakan kakinya diatur menuju ke susuk lembaga manusia itu.
“Kau buat apa kat sini? Puas aku cari kau!” ujar Arshad rasa tidak puas hatinya. “Tolonglah jangan buat macam ni lagi. Kau tahu, aku penakut!”
“Siapa Asraf? Aku bukan Asraf!” jawab susuk manusia dalam kesamaran.
“Kau siapa?” soal Arshad spontan. Kalau lembaga yang bercakap itu bukan Asraf, siapakah dia? Peluh jantan mula merecik di muka Arshad.
“Siapa aku itu tak penting. Yang penting sekarang kau akan jadi mangsa aku yang seterusnya. Mangsa lelaki yang terakhir!” jerkah lembaga itu sambil mengilai kuat. Kawasan sekitar hutan itu seakan bergegar. Turut juga diiringi tiupan angin yang agak kuat.
Mangsa lelaki terakhir? Arshad mula kelam kabut. Suara garau lelaki bertukar menjadi suara seorang wanita. Kemudian berselang-seli dengan hilai ketawa. Semakin lama semakin kuat hilaian itu. Asraf bertambah panik. Kakinya mula mengundur ke belakang. Dia mesti pantas meninggalkan kawasan hutan itu. Tapi ke manakah dia harus lari? Dalam keadaan gelap di kawasan hutan yang dia sendiri asing, tak mungkin dia dapat berbuat demikian.
“Kau tak kan dapat lari. Kau mesti jadi mangsa terakhir aku!” jerit susuk wanita itu.
“Err… apa salah aku? Aku tak kacau kau!” jawab Asraf memberanikan diri. Dia terus mengundur ke belakang. Namun susuk wanita itu terus menghampirinya. Nyawanya ibarat berada di hujung tanduk. Asraf tidak ada pilihan melainkan terpaksa bertahan. Dengan apa sekalipun, dia mesti mempertahankan diri.
“Hanya dengan kematian kau akan dapat menghapuskan sumpahan Ratu ke atas aku. Jadi aku takkan lepaskan kau!” kedengaran susuk wanita itu bersuara lantang di dalam kegelapan malam. “Kau mesti mati! Aku mahu cantik selamanya!”
Kali ini tampang wajah wanita itu semakin jelas. Kulit wajahnya menggerutu dengan lidah terjelir berdarah. Keadaan itu amat menakutkan Arshad. Mulutnya melopong luas apabila susuk tubuh itu adalah seorang wanita yang sedang memakai baju kebaya merah. Sebilah pedang turut tergenggam di tangan kanan wanita itu. Fikirannya terus berputar mengingatkan bagaimana kerakusan dan keganasan yang dilakukan oleh wanita berkebaya hitam dalam adegan filem yang ditonton bersama Asraf tadi.
Tak mungkin! Adakah susuk wanita ini adalah susuk wanita berkebaya merah yang sama? Dalam kecelaruan itu dia mula berfikir yang bukan-bukan. Di manakah Asraf sekarang? Kalau Asraf sudah menjadi mangsa kerakusan wanita berkebaya hitam itu, pastilahlah dia bukan mangsa yang seterusnya. Ini bermakna Asraf selamat. Sekarang dia mesti berusaha menyelamatkan diri. Pencarian terhadap Asraf mesti dihentikan kerana tindakan itu tidak memberi sebarang makna lagi kepadanya. Usaha menyelamatkan dirinya lebih utama.
Tiba-tiba tanpa amaran lagi, pedang yang kemas di genggaman tangan wanita kebaya merah itu tegak ke langit. Hanya menunggu masa untuk dibenam kepada mangsa. Arshad sudah tidak ingat apa-apa lagi. Saat libasan mata pedang itu terkena pada perutnya, pandangan matanya bertukar menjadi hitam. Hanya jeritan bercampur hilai ketawa didengari sebelum alam menjadi sepi.
*****
|
B |
ERITA penemuan satu mayat tanpa kepala cukup menggemparkan di pinggir kawasan hutan simpan. Keadaan bertambah ngeri apabila tubuh mangsa turut mengalami kesan tetakan senjata tajam yang dahsyat. Isi perut terburai dengan kesan darah pekat yang mula mengering.
Pihak polis dengan kerjasama jabatan forensik telah mengesahkan mayat yang ditemui adalah mangsa pembunuhan. Mungkin juga mangsa pergaduhan. Identiti mangsa dikenal pasti sebagai warganegara asing. Ini berdasarkan pengecaman warna kulit dan DNA mangsa. Satu sidang akhbar sudah dibuat bagi meredakan keadaan orang ramai yang percaya kepada satu spekulasi tentang kewujudan pembunuh bersiri wanita berkebaya hitam.
Ini timbul ekoran dakwaan orang ramai selepas filem Sumpahan Ratu mendapat sambutan pecah panggung di kalangan penonton. Keseraman adegan yang ditontonkan terbawa-bawa sehingga ke luar pawagam. Manusia yang berhati kecil seperti Arshad turut menjadi mangsa keadaan. Dari satu sudut, filem ini sudah berjaya membuatkan penonton berasa takut, seriau dan terkejut.
Siang berganti malam. Di satu sudut katil hospital, Asraf sedang menyuapkan makanan ke mulut Arshad. Dia masih terpinga-pinga dan mencari sebab kenapa Arshad tiba-tiba bertukar watak dari seorang yang ceria menjadi seorang pendiam dan pemarah. Apa sahaja yang berlaku malam tadi kepada Arshad adalah di luar kotak fikirannya. Kenyataannya sekarang watak Arshad sudah berubah.
Arshad nampak gelisah. Makanan yang disuapkan Asraf kali ini ditepis. Matanya mencerlung tajam. Tingkap kamar yang terbuka luas menjadi titik fokusnya. Serta merta tubuhnya menggeletar. Dia seperti dirasuk dalam ketakutan yang amat sangat. Asraf cuba menenangkan Arshad.
“Kenapa ni? Kau nampak apa?” soal Asraf bertubi-tubi. Anak matanya turut memandang ke arah tingkap. Namun tiada apa yang kelihatan melainkan pucuk kayu semarak api yang terbuai-buai ditiup angin.
“Dia datang! Dia dah datang! Dia datang nak bunuh aku!” jerit Arshad.
“Siapa yang datang? Aku tak nampak sesiapa pun!” ucap Asraf sedikit panik.
“Tolong aku… tolong aku! Aku tak nak mati lagi!” pekik Arshad seperti dirasuk sesuatu.
“Buat mengucap Chad. Aku ada ni!” pujuk Asraf lagi. Melihat keadaan Arshad itu, dia dipagut rasa bersalah juga.
Fikiran Arshad masih belum stabil. Ini berpunca dari sifat obses terhadap wanita berkebaya merah yang mahu mencari mangsa terakhirnya. Demi untuk cantik, manusia sanggup melawan takdir Ilahi. Itu sebahagian kisah dari filem Sumpahan Ratu. Timbul juga perasaan kesal apabila memaksa Arshad menonton filem itu walaupun dia tahu Arshad memang seorang yang penakut.
Asraf tidak boleh berbuat apa-apa sebab keadaan sudah berlaku. Dia memeluk erat tubuh Arshad dengan harapan untuk meredakan keadaan. Namun rontaan kuat daripada Arshad membuatkan pelukan itu terlepas. Beberapa orang jururawat yang bertugas pada malam itu turut membantu Asraf menenangkan Arshad.
Satu dos suntikan ubat penenang membuatkan Arshad menjadi lemah. Dalam pandangan yang berbalam itu, dia melihat ada lembaga berkebaya merah dengan sepasang mata merah menyala dan lidah yang terjelir berada di antara pucuk-pucuk pokok semarak api di luar tingkap wad. Perlahan-lahan pandangannya menjadi gelap. Dunianya sudah terhenti antara hidup dan mati.

Komentar
Tulis komentar baru