Skip to Content

SETELAH TERBENAM MENTARI

Foto ac jaffrie
files/user/9903/SETELAHHH.jpg
SETELAHHH.jpg

S

EBAIK sahaja Cikgu Rohana keluar, Leena menarik tangan Malia keluar dari kelas itu melalui pintu belakang. Segalanya berlaku dengan pantas dan mendadak. Mereka tidak punya banyak waktu. Cuma ada 30 minit waktu rehat sebelum kelas yang seterusnya bermula. Bagi dua sahabat ini, mereka cukup bosan bila berada dalam kelas matematik Cikgu Rohana. Empat puluh lima minit cukup membuatkan mereka gelisah.  

            “Cepatlah Malia!” teriak Leena sambil bergerak pantas. Julia yang sudah tercungap-cungap terus berhenti berlari.

            “Hey! Tunggulah kejap. Aku penatlah!” jawab Malia.

            “Cepatlah, nanti kita terlambat! Kita tak ada banyak masa!” tukas Leena pula. Dia sudah berjarak dengan Malia lebih kurang lima langkah ke hadapan.

            “Sabarlah sikit! Tak lari gunung dikejar!” ucap Malia sambil menjuihkan bibir kepada Leena.

            Mereka berdua sedang menuju ke pokok semarak api di hujung padang sekolah. Pokok yang agak rendang itu memberi teduhan di kala terik matahari sedang memancar. Selain daripada mereka berdua, terdapat juga beberapa kumpulan kecil pelajar sedang duduk berbual di sekitar itu. Memang menjadi kebiasaan di kalangan pelajar duduk-duduk di kawasan itu. Kawasan itu agak jauh daripada bangunan utama sekolah. Selalu terlepas pandang dari pengawasan pihak sekolah terutama guru disiplin dan juga pengawas.

            “Mana barang yang kau cakap tu?” soal Malia tidak sabar.

            Leena mengeluarkan sesuatu dari dompet miliknya. Satu benda kecil dihulurkan kepada Malia. Kali ini bukan sekotak rokok seperti kebiasaan. Benda kecil berwarna hitam ini adalah vape. Fungsinya sama sahaja seperti rokok atau lebih dikenali sebagai rokok elektronik.

            “Wau! Mana kau dapat benda ni? Aku respect arr sama kau!” ucap Malia seronok.

            “Boyfriend aku bagi,” jawab Leena selamba.

            “Untunglah orang ada boyfriend!” usik Malia sambal terkekeh-kekeh ketawa. “Mesti si Samad, kan?” sambung Malia meneka.

            “Ehh… tolong sikit! Tak mainlah dengan mamat sendu tu. Bukan taste akulah!” jawab Leena sambil membuat aksi mengangkat bahu beberapa kali tanda tidak setuju dengan telahan daripada Malia.

            “Ohhh… sudah tukar ehh!” usik Malia lagi.

            “Dah… cepat sikit. Kita tak banyak masa. Kejap lagi loceng dah bunyi,” sela Leena.

            Mereka berdua menghabiskan masa lebih kurang 15 minit untuk menikmati rokok elektronik. Mereka rasa puas dan lega apabila berada di luar kelas. Masa rehat yang masih berbaki itu mesti digunakan dengan sebaik-baiknya. Di sekolah, Leena dan Malia terkenal dengan kenakalan mereka. Walaupun mereka perempuan tetapi sikap dan perangai mereka berdua seperti lelaki. Mereka juga memang suka berkawan dengan kawan-kawan lelaki. Malah sering berada dalam kelompok pelajar-pelajar lelaki yang sekepala dengan mereka. Terutama Leena, perwatakannya ala-ala tomboy. Berbadan agak kurus dengan potongan rambut yang agak pendek. Cuma perwatakannya itu tidak ketara seperti lelaki kerana dia mengenakan tudung.

            “Siapa mamat yang baik sangat dengan kau sekarang ni? Bagilah tahu aku,” pinta Malia mohon penjelasan daripada Leena.

            “Kalau aku cakap, kau bukannya kenal,” ujar Leena sambil menghembuskan asap vape yang sedang dihisap. Malia mengulum bibir sambal berfikir.

            “Hmm… bukan budak sekolah kita ni?”

            Leena tidak segera menjawab. Sambil memejam mata, dia cukup menikmati hisapan demi hisapan rokok elektronik itu. Pertanyaan daripada Malia itu bukan penting sangat untuk dijawab. Apa yang lebih penting dia berasa tenang ketika itu. Tidaklah serabut apabila berada di dalam bilik darjah Ketika cikgu-cikgu sedang mengajar. Setelah lega, dia memberi rokok elektronik tersebut kepada Malia pula.

            “Namanya Arman. Aku kenal dia masa pergi pasar malam dua minggu lepas. Nak jadi cerita aku terlanggar dia masa sibuk-sibuk nak beli seluar bundle. Dia sangat gentleman, dia yang minta maaf dulu. Pada hal aku yang langgar dia dulu. Aku tengok dia boleh tahan kacak jugak so ini peluang nak rembat hati dia. Pendek cerita, akhirnya kami berkawan. Aku dengan dia sembang lama jugak. Malam tu lepas dia ajak aku minum di warung, dia hantar aku balik rumah. Mulai saat itu sampai sekarang kami berkawan,” beritahu Reena agak panjang kepada Malia.

            “Wah! So sweet… tiba-tiba kan!” ujar Malia mengusik Reena. Ada lagi perkara yang mahu ditanya. “Mamat tu sebaya kita?”

            “Ehh… taklah. Dia dah kerja, kerja kilang,” balas Reena.

            “Ohh… harap-harap dia boyfriend kau yang terakhir ehh!” usik Malia lagi sambal berdekah-dekah ketawa. Reena menampak bahu Malia sebagai tanda protes.

            “Jangan nak perli aku. Kau pun apa kurangnya!”

            Mereka berdua tergelak besar. Mereka perlu segera masuk ke kelas sebab loceng sudah berbunyi. Itu tandanya waktu rehat sudah berakhir. Mereka berasa sangat seronok kerana dapat memuaskan nafsu diri dengan menghisap rokok elektronik yang dipunyai. Walaupun ini merupakan satu kesalahan yang besar di sekolah tetapi mereka tetap berhati-hati. Kenakalan mereka berdua hanya mereka sahaja yang tahu. Perbuatan yang dilakukan ini adalah rahsia mereka berdua. Lagipun mereka sudah berkawan sejak di sekolah rendah lagi.

            “Apapun sebagai seorang kawan, aku nak kau hati-hati jugak. Maklumlah kau baru kenal dia. Apa musibah yang nak jadi ke depan kita tak tahu. Senakal-nakal dan sejahat-jahat aku, pesan orang tua jangan lupa. Syaitan sentiasa mencari ruang untuk melalaikan kita…” ujar Malia seolah-olah memberi nasihat kepada Reena.

            “Amboi… terbaik punya tazkirah. Tak payahlah kau nak jadi ustazah sangat!” tukas Reena buat Malia tersenyum sambil menutup mulut.

            Ketawa mereka berderai sambil berjalan menuju ke bangunan utama sekolah ketika itu.

 *****

S

UDAH seminggu Reena tidak hadir ke sekolah. Malia yang sangat rapat dengannya tidak tahu apa sebab Reena tidak datang ke sekolah. Kalau ponteng sehari dua itu, adalah biasa bagi Reena. Malia cuba menghubungi nombor telefon tangan Reena tetapi tidak dapat. Talian sentiasa berada di luar kawasan.

            “Kamu kawan baik dengan Reena, takkan kamu tak tahu di mana dia sekarang?” soal Cikgu Rohana, selaku guru kelas Tingkatan Empat Cempaka.

            “Mana saya tahu cikgu, saya bukan tinggal dengan dia.”

            “Sekurang-kurangnya kamu tahu di mana rumahnya. Bukankah kamu sekampung?”

            “Memang kami rapat dan baik cikgu tapi hal keluarga dia saya memang tak tahu.”

            “Hmm… ada saja alasan kamu.”

            Malia sedikit pelik. Selalunya Reena akan menghubunginya kalau ada apa-apa perkara yang mahu dilakukan. Tidak kira urusan sekolah atau luar. Mereka memang sering beraktiviti bersama-sama. Lama sungguh dia tidak mengunjungi rumah Reena yang terletak agak jauh di hujung kampung. Petang nanti dia akan ke sana untuk berjumpa dengan Reena. Dalam hati Malia terus terdetik, apakah yang berlaku kepada Reena sekarang. Sunyi dan senyap dari sebarang berita.

            Hari beranjak ke petang. Cuaca amat baik pada petang itu. Selepas meminta izin keluar rumah daripada ibunya, Malia terus mengayuh basikal ke arah rumah Reena. Jarak perjalanan lebih kurang 20 minit. Sebelum sampai ke rumah Reena, Malia mesti melalui sebuah titi kecil yang melintang pada sebuah tali air. Dia perlu berhati-hati takut terjatuh ke dalam tali air. Untuk mengelakkan terjatuh, Malia turun dan menolak basikalnya menyeberangi titi berkenaan.

            “Hmm… nasib baik lepas. Kalau bukan sebab kau sahabat aku, memang taklah aku lalu titi kecil ni,” bisik Malia kepada dirinya sendiri.

            Selepas melepasi titian kecil, Malia menunggang basikalnya sekali lagi. Selepas lima minit kayuhan maka kelihatan sebuah rumah yang dilatari pokok-pokok hutan di sekitarnya. Memang tidak salah, itulah rumah milik keluarga Reena. Dia pernah ke sini beberapa bulan yang lalu.

            “Assalamualaikum…,” Malia memberi salam.

            Senyap. Salamnya tidak bersambut. Malia mendekati tingkap dapur yang terbuka. Mungkin Reena atau keluarganya ada di bahagian dapur.

            “Assalamualaikum…,” sekali lagi Malia memberi salam.

            Sepi juga tanpa sebarang balasan.

            “Tingkap rumah terbuka tapi bagi salam tak ada yang menyahut,” bisik Malia kepada dirinya sendiri. Matanya masih terarah kepada tingkap rumah yang terbuka.

            “Waalaikummusalam… err… anak cari siapa?” tegur satu suara dari arah belakang Malia. Malia agak terkejut lalu menoleh ke arah suara itu.

            “Ehh… makcik dari mana ni? Saya datang nak jumpa Reena. Dah seminggu dia tak ke sekolah. Cikgu kelas pun hairan. Saya pun tak tahu nak jawab apa. Reena mana makcik?” ucap Malia bertalu-talu kepada Mak Kiah.

            Mak Kiah tidak menjawab pertanyaan Malia. Wajahnya nampak sugul. Ada air jernih bergenang di kelopak matanya. Di sebalik garis kedut di wajah Mak Kiah bagai terpendam satu keresahan. Malia cuba menenangkan dirinya. Mesti ada sesuatu telah berlaku kepada Reena.

            “Kenapa dengan Reena makcik?” soal Malia ingin tahu sekiranya ada perkara buruk menimpa sahabatnya itu. “Tolonglah makcik, bagitahu saya apa yang terjadi pada Reena!”

            Perlahan-lahan manik jernih turun membasahi pipi tua Mak Kiah. Dia sudah tidak dapat menahan lagi kesedihan. Biarlah kesedihan itu hilang bersama air matanya yang mengalir. Kini bebannya semakin berat. Kehidupan sebagai ibu tunggal sudah cukup menyeksakan, ditambah pula dengan keadaan Reena kini yang tiba-tiba ditimpa kecelakaan.

            “Tengok keadaan makcik macam ni buat saya susah hati. Kenapa dengan Reena makcik?” soal Malia berulang kali.

            “Err… Reena sekarang di hospital…” kelu suara Mak Kiah memberitahu Malia.

            “Hospital? Apa sakitnya? Saya tak tahu yang dia sakit?” pantas Malia menyoal kembali.

            “Dia memang tak sakit tapi…”

            “Tapi apa makcik?”

            “Dia… dia kemalangan…”

            “Kemalangan? Ya Allah… serius tak makcik?”

            Mak Kiah diam. Dia mengesat sisa air mata yang masih ada di pipinya. Ada sedikit kelegaan di dadanya apabila sudah meluahkan apa yang terbuku di hati.

            “Dah hampir seminggu makcik berulang-alik ke hospital jaga dia. Doktor bagitahu lagi beberapa hari ini dia dah boleh balik rumah,” beritahu Mak Kiah lagi.

            “Alamdulillah… moga dia cepat sembuh. Kalau dia tak ada memang saya susah hati.”

            “Makcik harap kamu dapat bagi sokongan pada dia. Selepas kemalangan tak diduga ini berlaku, Reena mula berubah sikap. Sekarang dia tak banyak cakap, suka menyendiri. Dengan makcik pun dia tak banyak cakap. Cuma dia ada bagitahu makcik, dia tak mahu sekolah lagi…”

            “Ehh… kenapa pulak tak mahu sekolah? Dah sihat nanti pergilah sekolah macam biasa!”

            Mak Kiah melepaskan nafas lelahnya. Dia tidak berani hendak beritahu keadaan fizikal Reena sekarang. Bila teringat Reena, jiwanya menjadi kacau. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu isi hatinya saat itu. Apa pun dia terpaksa terima dan reda setiap ketentuan yang sudah berlaku. Takdir untuk Reena sudah tertulis. Biarlah Malia tahu sendiri keadaan Reena apabila anaknya itu pulang ke rumah nanti.

*****

“S

EMUA orang dah bencikan aku! Aku dah tak guna lagi!” jerit Reena sewaktu Malia datang menziarahinya. “Kau pun sama!” tukas Reena lagi seperti orang hilang akal. Kemalangan jalan raya yang menimpa dirinya sudah menjadikan dia seorang kurang upaya. Kaki kanannya terpaksa dipotong sebab cedera teruk.

            “Buat mengucap Reena. Aku tetap kawan kau sampai bila-bila. Kau mesti bertenang, jangan fikir yang bukan-bukan,” ucap Malia mahu menenangkan perasaan Reena yang sedang berkecamuk.

            “Dulu aku sempurna, sekarang aku dah cacat. Aku dah cacat!” ulang Reena sekali lagi. Ada air mata mula gugur dari kelopak matanya.

            “Banyak-banyak bersabar Reena. Bersyukurlah kepada-Nya kerana masih diberi kesempatan untuk bernafas di muka bumi ini.”

            “Sabar tak mungkin dapat pulangkan semula kaki aku yang hilang!”

            “Ini semua takdir yang sudah tersurat buat kau, Reena. Redalah dengan ketentuan ini. Kau masih boleh melihat, malah boleh berjalan dengan bantuan tongkat atau kerusi roda. Ada lagi insan lain yang bernasib malang, tak boleh melihat dan berjalan. Kau bayangkan anak-anak Palestin yang dibom, ada yang cacat sangat teruk malah kudung tangan dan kaki. Belum lagi yang kehilangan ibu dan bapa. Kau masih beruntung Reena, masih ramai yang menyayangi…” ucap Malia memberi semangat kepada Reena.

            “Siapa yang sayang aku? Mana kawan-kawan yang kenal aku? Ada mereka ziarah aku?” bertalu-talu Reena menyoal Malia.

            “Jangan kau kesah pasal kawan-kawan yang lain tu. Kau masih ada ibu bapa yang menyayangi. Aku juga sayang pada kau, dunia sampai akhirat!” luah Malia sambil menyeka air mata yang mahu gugur dari kolam matanya.

            Reena sungguh terharu. Dia merasakan dunia menjadi gelap. Ibarat matahari yang terbenam menuju malam. Dia tidak tahu apakah masih ada sinar matahari akan terbit untuknya esok hari. Dia keliru dengan kehidupannya kini. Segalanya berubah sangat cepat. Perlahan-lahan tumbuh pohon sesal dalam dirinya. Apakah nasibnya kini adalah hikmah atau bala? Dahulu dia sangat bebas bergaul dengan sesiapa sahaja terutama lelaki yang baharu dikenali. Kini segalanya berubah.

            Malia menghampiri Reena lalu dipeluk erat. Sahabatnya itu perlu didekati, bukan dijauhi. Inilah saatnya dia menyuburkan kembali semangat Reena yang hilang. Dia mesti menjadi matahari yang memberi panas yang berterusan walaupun setelah terbenam. Reena merasa nyaman dalam pelukan Malia. Dia tidak mampu menahan air mata yang gugur. Moga masih ada sinar mentari menunggunya esok hari.


Antologi Cerpen SETELAH TERBENAM MENTARI

Penyelenggara : Wan Zai Wan Ismail, Zarir Ali & AC Jaffrie

Tarikh Penerbitan : 2022/2

Mukasurat : 124 (ISBN 967-967-2136-55-2)

Penerbit : Pena Padu Press

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler