Skip to Content

ANTOLOGI SERAM & TRILLER FUNFAIR - KELIBAT

Foto ac jaffrie
files/user/9903/FUNFAIRR_FINAL2-crop.jpg
FUNFAIRR_FINAL2-crop.jpg

KELIBAT

OLEH : AC JAFFRIE

 

KELIBAT seorang budak perempuan sedang memegang anak patung lusuh muncul di depan mata Rizal. Bukan kali kedua atau ketiga kelibat yang sama dapat ditangkap oleh anak matanya. Wajah sayu budak perempuan itu turut merenung ke arahnya. Sewaktu dia masuk ke pintu utama tapak pesta itu, dia sudah terpandang kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang sama.

Rizal tidak mengendahkannya. Dia hanya bersangka baik. Tidak mungkin budak perempuan itu bukan manusia. Elok sahaja dia melihat budak perempuan itu berjalan. Cuma yang dia musykil cara penampilan budak perempuan itu yang berpakaian lusuh dan agak comot. Wajahnya nampak sedih. Jalannya merewang bagaikan tiada tujuan.

‘Budak ni sesat agaknya. Mana pulak mak bapaknya pergi?’ Soal Rizal di dalam hati. Naluri seorang insan mula bertunas di hatinya. Rasa ingin tahu mula bersulam dengan rasa simpati. Ingin dia bertanya tetapi kelibat budak perempuan itu tiba-tiba hilang dari pandangan matanya. Jasad budak perempuan itu tenggelam dalam ribuan pengunjung yang berada di tapak pesta itu.

“Err... aku tak nak masuk! Kau orang berdua masuklah, aku tunggu kat luar aje...” Ujar Rizal tiba-tiba mengubah fikiran untuk tidak masuk ke dalam rumah hantu di tapak pesta itu. Tampang wajahnya nampak sedikit berkerut. Ada sesuatu yang sedang bermain di fikirannya.

“Eh, kau dah kenapa? Kan kita dah janji nak masuk sama-sama tadi?” Tukas Zabidi yang berasa kurang senang dengan tindakan Rizal itu. “Tiket pun dah beli ni!”

                “Badan aje besar tapi penakut!” Perli pula Jamal yang duduk di sebelah Zabidi. Dia turut berasa geram dengan tindakan Rizal itu.

                “Siapa kata aku takut? Setakat hantu-hantu manusia tu buat apa nak takut!” Pantas jawab Rizal. Dia tidak mahu mengalah lantas dicop sebagai penakut. Sakit juga hatinya apabila dituduh sebegitu. Namun dia tak mahu mengeruhkan keadaan. Berperang lidah pasti menyakitkan hati.

                “Tiba-tiba kepala aku pening. Aku nak rehat sekejap.” Ujar Rizal memberi alasan. Serta-merta tangan kanannya beraksi memicit kepala. Memang dia sengaja mencari alasan munasabah untuk tidak masuk ke rumah hantu itu. Ada sesuatu yang menjadi penyebab dia bertindak sedemikian.

                “Tadi kau jugak yang bersungguh ajak kami datang ke pesta ni. Idea nak masuk rumah hantu ni pun cadangan kau. Sekarang kau pulak tak mahu masuk. Peliklah aku tengok perangai kau ni. Macam orang nampak hantu!” Bebel Zabidi.

                Hantu? Tampang wajah kanak-kanak perempuan berbaju lusuh tadi mengapung di ruang mata. Rizal menelan air liur. Tidak mungkin budak perempuan itu jelmaan makhluk yang dipanggil hantu. Mana ada manusia yang boleh melihat hantu? Itu logik akal atau hijabnya sudah terbuka tanpa disedar. Persoalan itu dibiarkan tidak berjawab.  Rizal tidak peduli dengan kata perli daripada Jamal dan Zabidi itu. Dia bertindak mengikut rasa dan gerak hati.

Rizal terfikir juga. Dia sendiri tidak dapat memastikan sama ada kawan-kawannya itu turut melihat apa yang sedang dia lihat. Satu lembaga kanak-kanak perempuan yang berkeliaran di tapak pesta itu. Dia juga perasan bahawa pengunjung-pengunjung yang ada di tapak pesta itu tidak mempedulikan langsung kehadiran budak perempuan itu. Masing-masing dengan gelagat tersendiri. Mereka ketawa dan gembira di tapak pesta itu.

Zabidi dan Jamal tetap mahu masuk ke rumah hantu. Alang-alang tiket sudah dibeli, ketakutan bukan menjadi halangan. Rasa tidak puas hati mereka terhadap Rizal tetap bersisa.

Rizal kini bersendirian. Setongkol jagung bakar yang dibeli dari gerai berdekatan dikeluarkan. Dia duduk berdekatan gerai sambil menikmati keenakan setongkol jagung bakar. Sedang leka melayan seleranya, tiba-tiba muncul kelibat budak perempuan berpakaian lusuh tadi di depan matanya. Akibat terkejut, setongkol jagung bakar tadi terlepas dari genggaman tangannya.

***** 

KEADAAN menjadi kelam kabut. Rumah hantu di tapak pesta itu tiba-tiba terbakar. Pengunjung tapak pesta mulai panik. Asap tebal kelihatan sekitar rumah hantu itu. Orang ramai yang berada di dalam rumah hantu itu bertempiaran lari keluar untuk menyelamatkan diri. Pengunjung yang lain diarahkan menjauhkan diri dari rumah hantu yang sedang terbakar itu. Pihak penganjur tapak pesta bertungkus-lumus untuk memadam kebakaran yang sedang berlaku dan menenangkan keadaan. Rizal menyedari kebakaran yang berlaku. Dia teringatkan Zabidi dan Jamal. Dadanya berdegup kencang selagi belum bersua muka dengan jasad kedua-dua sahabatnya itu.

“Ya Allah! Selamatkan sahabatku! Selamatkanlah sahabatku!” Ucapnya bertalu-talu. Timbul perasaan kesal di hatinya. Rasa bersalah turut bersarang di benaknya. Kalau bukan kerana ajakannya ke tapak pesta itu, tidak mungkin musibah itu menimpa sahabat-sahabatnya. Air mata penyesalan perlahan-lahan mengalir di pipinya.

Satu persatu mangsa kebakaran berjaya dikeluarkan dari rumah hantu itu. Kebanyakan daripada mereka sesak nafas kerana terhidu asap kebakaran. Mangsa yang parah terus dihantar ke hospital oleh pihak ambulans. Setakat ini belum dapat dipastikan lagi berapa orang yang menjadi mangsa kebakaran itu.

Rizal terus berdoa. Dia memohon kepada Allah SWT agar memakbulkan doanya. Keadaan ketika itu semakin terkawal dengan kehadiran pihak keselamatan. Selain pihak bomba, pihak polis turut berada di lokasi kebakaran itu untuk mengawal keadaan. Setengah jam berlalu. Api mula dapat dikawal oleh pihak bomba daripada terus merebak ke tempat lain. Atas arahan pihak berkuasa, pihak penganjur pesta itu diminta membatalkan semua pertunjukan pada hari itu.

“Atas keselamatan semua, diminta semua yang ada di sini meninggalkan tapak pesta ini dengan kadar yang segera. Terima kasih atas kerjasama semua. Tolong beri ruang kepada pihak keselamatan menjalankan siasatan terperinci tentang kebakaran ini.” Kedengaran pengumuman daripada pihak berkuasa di tapak pesta itu.

Keadaan semakin reda. Rizal tertinjau-tinjau dalam kawanan manusia yang ada bagi mencari kelibat Zabidi dan Jamal. Dalam kesibukan itu, sekali lagi Rizal terlihat kelibat budak perempuan berbaju lusuh tadi. Kali ini budak perempuan itu melambai-lambaikan tangan kepadanya. Rizal sedikit keliru. Adakah lambaian itu ditujukan kepadanya atau untuk orang lain? Sempat dia memandang ke kiri dan kanannya. Tiada reaksi balas daripada orang-orang di sebelahnya terhadap tindakan lambaian budak perempuan itu.

Ingatan terhadap Zabidi dan Jamal tiba-tiba hilang. Dia sangat teruja mahu mengetahui siapa sebenarnya budak perempuan itu. Jasadnya macam iklan biskut. Sekejap ada sekejap hilang. Keadaan itu tetap menimbulkan musykil di benaknya. Hanya soalan bertalu-talu mengetuk fikirannya tetapi tiada jawapan di penghujungnya. Lama-kelamaan semakin sakit kepalanya berfikir.

Rizal berjalan pantas. Dia mahu merungkai segala persoalan yang tergantung di benaknya sejak kali pertama melihat kelibat budak perempuan di tapak pesta itu. Namun sebaliknya pula berlaku. Semakin pantas dia berjalan, semakin jauh bayang budak perempuan itu menghilang. Semacam budak perempuan itu tahu dia sedang diekori. Rizal tidak berputus asa. Kelibat budak perempuan itu terus dijejaki.

‘Cisss! Ke mana pulak perginya?’ Tukas Rizal dalam hati. Perasaan geram berputik di laman jiwanya.

Rizal kenbali mengeluh. Sekali lagi pencariannya turut sia-sia. Sudahlah jasad sahabatnya tidak ditemui, usahanya mengejar budak perempuan yang misteri itu juga gagal. Apa yang dia dapat sekarang hanyalah penat. Ditambah lagi cuaca yang agak panas pada hari itu. Manik-manik peluh tidak henti-henti berjejeran di mukanya.

“Rizal! Rizal! Rizal!” Kedengaran nama Rizal dipanggil berkali-kali. Bagaikan ada kuasa magnet, Rizal terus berpaling ke arah suara yang memanggil namanya.

“Bidi! Syukur kau selamat! Alhamdulillah!” Rizal terus menerkam Zabidi. Mereka berpelukan seketika.

Suasana gembira itu berlangsung hanya seketika. Rizal teringatkan Jamal pula. Mana pula perginya Jamal? Dia tidak nampak kelibat seorang lagi sahabatnya itu. Serta-merta pelukan antara mereka terlerai.

“Mana Jamal?” Rizal bertanya kepada Zabidi dengan pandangan tajam. Matanya turut melilau memerhati kawasan sekitar.

“Aku pun tengah cari dia. Tadi kami kelam-kabut berpecah untuk selamatkan diri masing-masing. Aku harap dia selamat!” Ujar Zabidi dengan nada sebak.

Rizal kelihatan sugul. Mereka berpandangan dengan mata berkaca. Zabidi memahami apa yang tersirat di hati sahabatnya itu. Mereka sudah berkawan lama sejak dari kecil lagi. Mereka membesar dan bermain bersama dan dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah.

“Maafkan aku Bidi. Tak ada niat nak aniaya kau orang berdua. Semua salah aku!” Luah Rizal kesal dengan tindakan mengajak sahabatnya berhibur di tapak pesta itu. Manalah dia sangka kegembiraan yang dicari bertukar menjadi malapetaka.

“Eh, bukan salah kaulah! Ini semua takdir. Aku yakin Jamal pun selamat. Mungkin dia di hospital sekarang sebab pihak berkuasa dah maklumkan tak ada mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tadi. Mereka yang cedera terus segera dihantar ke hospital.” Beritahu Zabidi mahu menenangkan perasaan Rizal yang sedikit bercelaru ketika itu.

Pada satu sudut pandangan mata Rizal, kelibat budak perempuan berpakaian lusuh muncul kembali. Kali ini kelibat itu bermain-main di antara asap-asap yang masih bersisa di kawasan tapak rumah hantu yang terbakar.

“Kau nampak tak apa yang aku nampak?” Soal Rizal tiba-tiba kepada Zabidi.

“Nampak apa?” Soal Zabidi kembali.

Rizal memberi isyarat dengan memuncungkan mulut. Pandangan mata Zabidi terarah pada sudut yang dimaksudkan. Tiada apa yang kelihatan melainkan sisa asap dan debu berterbangan.

“Aku nampak asap dengan debu. Kau macam nampak hantu je!” Ujar Zabidi berseloroh.

“Aahhh... hantu!” Jawab Rizal pantas.

“Hantu? Mana ada hantu siang-siang hari? Kau okey ke ni?” Soal Zabidi agak pelik melihat perangai Rizal itu. “Jom kita balik. Sempat lagi kalau kita nak tengok Jamal di hospital.” Ucap Zabidi lagi sambil menarik tangan Rizal meninggalkan tapak pesta itu.

Rizal tetap tidak berpuas hati. Kenapa hanya dia dapat melihat kelibat budak perempuan berpakaian lusuh itu? Adakah ini adalah satu halusinasi? Sempat dia berpaling sekali lagi ke arah tapak rumah hantu yang terbakar itu. Kelibat budak perempuan itu masih ada sambil melambaikan tangan ke arahnya. Dia mengurut dada sambil beristigfar.

***** 

KEHIDUPAN malam Rizal kian terganggu. Hampir setiap masa sejak beberapa hari ini dia diganggu mimpi ngeri. Kali ini kelibat budak perempuan berpakaian lusuh itu sering hadir ke dalam lenanya.

                “Kamu ni siapa hah? Boleh tak jangan ganggu hidup aku?!” Jerit Rizal saat berdepan dengan budak perempuan itu. Dia yakin lembaga itu adalah budak perempuan yang berbaju lusuh yang sering dia lihat sejak akhir-akhir ini.

                “Abang tolong saya! Tolong selamatkan ibu ayah saya!” Budak perempuan itu merayu kepada Rizal. Tampang wajahnya kian sayu.

                “Kenapa dengan ibu ayah kamu?” Soal Rizal ingin tahu.

                “Mereka terperangkap dalam kebakaran!” Jawab budak perempuan itu.

                “Kebakaran? Di mana?” Tanya Rizal kembali.

                “Tapak pesta!”

                Tapak pesta? Serta-merta kebakaran yang berlaku di tapak pesta minggu lalu terimbau kembali di fikirannya. Dahinya berkerut seribu. Ada perasaan pelik mengundang. Berdasarkan laporan terkini pihak berkuasa, tiada kemalangan jiwa berlaku semasa kejadian kebakaran di tapak pesta minggu lalu. Dakwaan budak perempuan itu membuatkan Rizal menggaru kepala.

                Siapa sebenarnya budak perempuan ini? Dakwaannya terlihat kebenaran kalau dikaitkan peristiwa kebakaran di tapak pesta minggu lalu seolah-olah memang dia berada di tempat kejadian kerana kejadian kebakaran itu memang berlaku. Namun fakta tentang mangsa yang meninggal dalam kejadian kebakaran itu ada sedikit keraguan. Tidak mungkin pihak berkuasa terlepas pandang dalam soal ini. Perkara kematian tidak boleh dipandang ringan. Ia melibatkan nyawa manusia.

                “Hei budak! Kau tak jawab lagi soalan aku tadi. Kau sebenarnya siapa? Bolehkah aku percaya kata-kata kau ni? Aku dah lama perhatikan kau di tapak pesta tu!” Rizal cukup tegas bersuara kali ini.

                Budak perempuan itu tidak menjawab pertanyaan Rizal sebaliknya dia menangis mengalirkan air mata. Keadaan itu menimbulkan perasaan serba salah.

                “Aku bukan marah kau. Kau menangis kenapa? Jawab ajelah apa yang aku tanya tadi.” Agak lembut nada suara Rizal kali ini.

“Tolong carikan ibu dan ayah saya bang. Saya rindukan mereka.” Suara budak perempuan itu terus merayu memohon bantuan Rizal mencari ibu dan ayahnya. “Tolonglah bang!”

Ada keluhan tersekat di kerongkong Rizal. Apa yang mesti dilakukan sekarang? Dunianya terasa di awang-awangan. Segala persoalan masih tergantung tanpa ada penyelesaian. Antara sedar dan tidak, dia terperangkap dalam emosinya sendiri. Keluhan demi keluhan datang bertimpa sehingga memaksanya memejamkan mata buat seketika. Saat kelopak matanya terbuka kembali, bayangan budak perempuan tadi hilang dari pandangan mata.

“Hei budak, mana kau pergi? Nanti dulu, aku tak habis tanya lagi!” Jeritan kuat Rizal memecah sepi di ruang kamar tempat dia beradu. Ibunya yang berada di bilik bersebelahannya turut terjaga apabila mendengar jeritan itu.

“Kenapa ni Rizal? Bangun... bangun!” Ujar Mak Gayah sambil menggoncang bahunya beberapa kali.

Selang beberapa minit, Rizal tersedar daripada tidurnya. Muka dan badannya kelihatan basah dengan peluh. Masih jelas kegusaran pada wajahnya. Satu keluhan panjang dilepaskan. Nafasnya turun naik. Jantungnya terasa berdegup kencang.

“Dah kenapa tiap-tiap malam kau mengigau macam ni?” Tukas Mak Gayah lagi.

“Astagfirullahalazimmm...” Ucap Rizal sambil mengurut dada. Dia bermimpi sebenarnya. Apa yang pelik, mimpinya sering berulang. Mimpi bertemu dengan budak perempuan yang berpakaian lusuh.

“Nah minum air ni. Biar lega sikit perasaan kau tu.” Ujar Mak Gayah sambil mengurut-urut belakang badan Rizal.

Mak Gayah tidak tahu masalah apa yang membelenggu anaknya itu. Dia mesti buat sesuatu sebelum masalah itu berlarutan. Dalam kepalanya sudah ada satu perancangan. Esok dia bercadang membawa Rizal bertemu dengan Ustaz Salam.

***** 

"TAPAK pesta tu memang keras tempatnya. 20 tahun lalu di tapak pesta itu memang ada kejadian kebakaran besar yang berlaku. Ramai yang terkorban termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai orang tua kepada budak perempuan yang anak kamu lihat tu.” Cerita Ustaz Salam kepada Mak Gayah selepas Rizal menerima rawatan pemulihan semangat secara pengubatan Islam.

                “Hmm... apa yang peliknya kewujudan budak perempuan tu. Tak terjangkau otak saya memikirkannya ustaz. Entahlah, susah saya nak percaya.” Mak Gayah membalas kata-kata Ustaz Salam. Terserlah kegusaran di hatinya.

                “Semuanya dengan izin Allah SWT. Tak ada yang tak mustahil. Kelibat budak perempuan tu cuma bayangan yang jelas Allah SWT bukakan pandangan pada anak makcik. Ada hikmah tersembunyi mengapa anak makcik boleh melihat kejadian ini dengan pandangan mata kasar. Kalau ikut cerita, budak perempuan itu pun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas kehilangan kedua-dua ibu ayahnya. Kelibat yang dilihat mungkin rohnya sahaja.” Agak panjang lebar Ustaz Salam bercerita bagi memahamkan Mak Gayah dengan kisah sebenar yang terjadi.

                “Seikhlasnya kita sama-sama berdoa agar roh itu kembali tenang.” Ustaz Salam mengakhiri perbualannya dengan makcik Gayah.

                Kini emosi Rizal kembali tenang. Alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan melarutkan fikirannya terhadap budak perempuan berpakaian lusuh itu. Kelibat budak perempuan di tapak pesta itu pasti dikenang sepanjang hayatnya. Ini pengalaman yang sangat berharga. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui atas segala apa yang berlaku.

 

BIODATA PENULIS

AC JAFFRIE, penulis yang berasal dari negeri Melaka. Mula menulis sejak zaman persekolahan, universiti sehinggalah sekarang. Meminati semua genre penulisan seperti puisi, cerpen, buku kanak-kanak, novel remaja/dewasa dan skrip drama tv. Antara penerbit yang pernah menerbitkan karya beliau seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, ITBM, Alaf 21, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, SO Publishing dan Pena Padu Press


TAJUK BUKU : ANTOLOGI SERAM & TRILLERS FUNFAIR

PENYELENGGARA : AC JAFFRIE, ASRAF SHAARI & RASHID SALIM

TAHUN TERBIT / ISBN : 2019 / 978-967-2136-22-4

PENERBIT : PENA PADU PRESS

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler