Skip to Content

JIRANKU AH SWAN

Foto Kemirau

JIRANKU AH SWAN

 

KEHIDUPAN di kampung pada awal tahun 1970-an sungguh meriah. Pemandangan sawah padi menguning di baruh dengan kicauan burung dan bunyi lempang-lempung padi dibanting cukup mempesonakan. Memang sungguh mengasyikkan. Di sana sini kelihatan kanak-kanak berlari riang di permatang bermain layang-layang. Lembayung senja di kaki langit, gerombolan burung pulang ke sarang, nyiur nan melambai-lambai dipuput bayu bagaikan menggamit perantau agar pulang melepas rindu.

            “Siapa nama kamu?” Ah Heng menyoalku tatkala berhenti melepas lelah mengandar air perigi.

            “Tajul Ashikin,” balasku mengakalnya.

            Bekalan air paip hanya masuk ke kampung kami pada tahun 1979, ketika aku tingkatan empat. Kami menggunakan air perigi sepenuhnya. Cuma perigi untuk minum dan mencuci pakaian serta mandi dibina berasingan.

            Terdapat enam keluarga Hokkien di kampung kami. Keluarga Dak Ku, Dak Gong Feh, Dak Ee, Dak Chan, Dak Seh Ho, dan Dak Kow. Panggilan nama orang Melayu Melaka menggunakan awalan ‘Dak’. Misalnya Dak Man, Dak Senah, Dak Embun. Penangan pengaruh masyarakat Melayu setempat, mereka juga disebut ‘Dak’ pada awalan nama. Unik bukan? Walhal kebiasaannya kaum Tionghua menggunakan awalan ‘Ah’.

            Nama penuh Ah Heng ialah Chew Chye Heng. Bersama bapanya Gong Feh, ibunya Ah Kim dan adik-adiknya Ah Hong, Ah Lee, Ah Swan, Ah Hock dan Ah Keong, mereka tinggal selang dua rumah dengan kami. Abangnya menetap di bandar.

            “Dia tipu saya,” Ah Heng meluahkan rasa terkilan.

            Aku tersengeh.

            “Dia kata namanya Tajul Ashikin.”

            “Itu nama watak yang dibawa oleh Nordin Ahmad,” abangku Zahari tergelak.

            “Filem apa ‘tu?”

            “Tajul Ashikin.” Aku bingkas melarikan diri.

            Tahun 1975, aku berada dalam darjah enam. Abangku lepasan SAS sering dirujuk oleh Ah Heng yang akan menduduki MCE. Mereka menelaah di rumah Melaka nenek yang sunyi. Sangat sesuai untuk belajar berbanding di rumahnya, adik-adik Ah Heng yang ramai sering berbuat bising.

            Kakakku Zaiton sebaya dengan Ah Hong dan berkawan baik. Ah Lee pula sebaya denganku, manakala Ah Swan sebaya dengan adikku Zawiyah. Rumah kami tiada TV. Setiap malam Sabtu ada tayangan filem-filem klasik Melayu. Justeru, adakalanya kami tumpang menonton di kedai Makcik Pon atau pun di rumah Kak Norbi, anak Makcik Mon. Kak Zaiton dan Ah Hong lebih selesa  menonton di rumah Kak Norbi. Tahulah saja di kedai Makcik Pon, ada banyak budak lelaki hidung belang.

            Pada usia dua belas tahun, aku masih tidak mengerti apa-apa tentang perasaan cinta. Cuma, aku amat senang sekali melihat Ah Swan yang comel. Berambut lurus bertocang dua dengan mata sedikit sepet. Ah Lee juga comel, tapi aku kurang tertarik kepada rakan sebaya. Sejak kanak-kanak lagi aku sudah pandai memilih!

            “Tolong cuci tuala ‘ni boleh?” aku memancing perhatian.

            “Nah, sudah bersih,” ujar Ah Hong acuh tak acuh.

            “MGS ‘ni sekolah mana?” soalku bila terlihat lencana sekolah yang diletakkan atas rumput di tebing limbah.

            “Methodist Girls’ Secondary School.”

            Ah Hong bersama adik-adiknya, Ah Lee dan Ah Swan sedang mencuci pakaian sekolah di perigi ibuku. Kami berkongsi perigi. Sungguh harmoni sekali.

            Ibuku pula bersahabat baik dengan ibu mereka. Setiap kali menjelang hari raya Aidilfitri, emak memberi mereka dodol dan kuih-muih. Mereka juga datang berkunjung ke rumah kami. Begitulah halnya bila mereka menyambut Tahun Baru Cina. Kami diberi kuih bulan, kacang dan limau mandarin.

            Kehidupan di kampung pada era 1970-an sangat sederhana. Jarang sekali orang kampung kami memiliki motorsikal, apatah lagi motokar. Dak Gong Feh menunggang basikal ke ladang getah di hulu. Hujung minggu, selalunya Ah Swan dan kakaknya akan membantu mengopek getah sekerap. Mereka berbasikal ke sana. Adalah juga budak lelaki yang mengekori basikal mereka sambil mengurat.

            Kak Zaiton rajin belajar dialek Hokkien dan Mandarin bersama Ah Hong. Melalui buku catatannya aku turut menumpang belajar sama. Malah sehingga kini aku masih mengingatinya dan tidak melepaskan peluang menggunakannya apabila berkesempatan.

            Li toa toh teh thak-chheh?

            Goa toa Tun Tijah teh thak-chheh.”

            Kam e-sai ka goa tau-sa-kang?

            Bo bun-te.”

            Masa berlalu pantas sekali. Kami membawa haluan masing-masing. Menyambung pengajian, bekerja, kemudiannya berkeluarga.

            Perigi emak di mana Ah Swan mencuci pakaian bersama-sama kakaknya telah pun sebun kini. Sawah padi nan terbentang luas juga telah lenyap. Cukup menyayat hati mengenangkannya.

            Rumah Melaka emak tidak berpenghuni. Aku telah berusaha melestarikannya meskipun milik abangku Nordin, kawan rapat Ah Heng. Rumah ibu bapa Ah Swan juga terbiar sepi. Rimbunan pokok hampir menenggelamkan rumahnya. Abang Ah Swan ubah suai rumah mereka. Dijadikan rumah burung walet. Perigi minum di kebun baruh bapa Ah Swan juga telah lama dikambus tidak berbekas lagi.

            Hanya sisa-sisa kenangan bermain, belajar dan menonton TV bersama yang tinggal. Barangkali tragedi adik bongsu mereka, Ah Keong yang lemas bersama dua rakan sekolahnya di sungai baruh Tok Ayem masih menghantui fikiran. Justeru, mereka tidak menginap di kampung, walaupun tanah kebun bapa mereka sangat luas.

            Pernah sekali kami bertembung dalam bas Salira untuk pulang ke kampung dari bandar Melaka. Ah Swan sedang menuntut di UKM, manakala aku pula masih terkonteng-konteng setelah menamatkan pengajian di UM. Kami berbual mesra sepanjang perjalanan. Akhir 1980-an telefon pintar dan kemudahan internet tidak wujud lagi di tanah air. Media sosial seperti Facebook dan Instagram jauh sekali. Selepas pertemuan secara tidak sengaja itu, kami terpisah terus.

            Setiap kali pulang ke kampung menziarahi pusara dan rumah emak, aku menoleh pandang ke arah rumah Ah Swan. Sunyi sepi. Sehinggalah kira-kira dua tahun lalu, sebelum pandemik kami terserempak betul-betul di hadapan pintu pagar rumah ibu bapanya. Ah Swan bersama-sama Ah Heng dan isterinya.

            Li-tsue-kin-ho-bo?

            Chin ho.”

            Kami bertegur sapa dengan mesra sekali. Sayang sekali tidak sempat berbual panjang. Mereka kelihatan tergesa-gesa hendak pulang semula ke bandar. Aku pula hendak ke rumah kenduri kahwin. Kulihat Ah Swan masih cantik dan manis seperti dulu. Anehnya aku seperti dapat merasakan yang dia masih single.

            “Alamak, terlupa nak minta nombor telefon!”

            “Jangan main-main ya. Anak abang sudah tujuh orang,” adikku Zawiyah mengingatkan.

            ‘Entah bilalah berjumpa lagi?’ bisik hatiku.

            “Cari di Facebook,” usik Zawiyah dapat membaca kesalku.

 

Glosari

 

Li toa toh teh thak-chheh? Di mana kamu belajar?

Goa toa Tun Tijah teh thak-chheh. Saya belajar di sekolah Tun Tijah.

Kam e-sai ka goa tau-sa-kang? – Bolehkah kamu membantu saya?

Bo bun-te. – Tiada masalah. 

Li-tsue-kin-ho-bo? – Apa khabar? 

Chin ho. – Baik.

 


Kalau Ada Sumur Di Ladang - Heartwarming Stories of True Friendship

Authors
MN Mahmud, M Musip, AH Musa, ANM Bachok, A Salim, A Tambi, NZ Abidin, NH Kaderan, NH Md Noor, AJ Julaihi, NMK Moktar, NFK Shah, N Churaimi, NB Alta Miah, NM Noor, NA Muhammad, NIA Abdullah, NM Muslim, NA Asli, RM Noor, S Simon, S Jamaluddin
Publication date
2022/2
Pages
140 (ISBN 978-967-2891-98-7)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd


Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler