Skip to Content

ANTOLOGI CERPEN REMAJA KUNTUM KASIH

Foto ac jaffrie
files/user/9903/kuntum_1.jpg
kuntum_1.jpg

KUNTUM KASIH

Oleh :  AC JAFFRIE

A

ZAM termenung jauh. Fikirannya jauh melayang. Macam-macam perkara sedang bermain di fikirannya saat itu. Sakit kepalanya memikirkan masalah yang sedang dihadapi. Kadang-kadang dia berasa tertekan yang amat sangat apabila satu persatu masalah datang dalam hidupnya. Tanpa dia sedar, ada seseorang datang menghampirinya.

                “Hey Azam… puas aku cari kau. Kat sini rupanya kau lepak!” tegur Ayub, rakan sekelas dan sahabat baiknya juga.

                Azam diam. Dia tidak memberi sebarang tindak balas. Dia masih melayan masalah yang sedang berserabut di kepala. Ayub mula pelik melihat sikap Azam itu. Dia menghampiri Azam.

                “Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” soal Ayub sekali lagi. Namun sahabatnya itu tetap diam membisu. “Tadi kau juga cakap nak pergi kantin sama-sama.”

                “Kau pergilah, aku tak lapar!” tiba-tiba Azam bersuara. Nadanya tegas dan sinis. “Jangan ganggu aku, boleh?”

                “Hmm… kau ni dah kenapa? Aku tanya elok-elok kot!”

                Azam mengeluh. Sikapnya benar-benar berubah. Ayub tidak puas hati. Dia terus bertanya untuk tahu punca sebenar Azam bersikap begitu. Selalunya mereka berdua akan ke kantin bersama bila tiba waktu rehat. Hubungan baik mereka sudah lama terjalin. Bahkan sejak dari tingkatan satu mereka sudah berkawan, malah duduk sekelas sehingga ke tingkatan lima. Mereka adalah sahabat karib.

                “Kau ada masalah? Cerita pada aku, mana tahu aku boleh bantu.”

                “Tak payahlah kau nak sakitkan kepala pasal masalah aku. Lebih baik kau study… SPM dah tak  lama lagi.”

                “Habis tu kau tak payah study? Kita dah janji nak masuk U sama-sama nanti. Kau lupa?”

                Azam meraup muka dengan kedua-dua tangannya. Dengusan nafasnya juga kedengaran. Ayub masih lagi menunggu jawapan daripada mulut Azam. Benaknya berteka-teki bahawa ada masalah berat sedang menimpa sahabat baiknya itu. Tidak pernah dia melihat sikap Azam sebegitu. Apa sebenarnya sedang berlaku? Persoalan itu masih berlegar-legar di mindanya. Dia mula bergerak mendepani Azam.

                “Kalau kau lupa, aku nak ingatkan sekali lagi. Janji kita Azam!”

Azam meraup muka dengan kedua-dua tangannya. Dengusan nafasnya juga kedengaran. Ayub masih lagi menunggu jawapan daripada mulut Azam. Benaknya berteka-teki bahawa ada masalah berat sedang menimpa sahabat baiknya itu. Tidak pernah dia melihat sikap Azam sebegitu. Apa sebenarnya sedang berlaku? Persoalan itu masih berlegar-legar di mindanya. Dia bergerak mendepani Azam.

                “Kalau kau lupa, aku ingatkan sekali lagi. Janji kita Azam!”

                “Janji? Sekadar janji tapi bukan wajib pun untuk kita penuhi. Aku malaslah nak ingat semua tu!”

                Ombak resah di dada Ayub semakin bergelora. Sikap Azam tiba-tiba berubah. Dia kena bertindak segera untuk memulihkan semangat Azam yang hilang secara tiba-tiba dan mendadak itu. Bukan sehari dua mereka sudah berkawan. Mereka sudah masak dengan perangai masing-masing. Untuk tidak menghidupkan api kemarahan Azam, dia cuba mengalih tajuk perbualan.

                “Errr… aku minta maaf kalau kau rasa aku ni nak menyibuk pasal urusan peribadi kau. Cuma sebagai kawan, aku tak mahu tengok kau bermasalah macam ni.”

                “Baguslah kalau kau rasa macam tu. Biar aku dengan masalah aku!” bentak Azam masih menurut kata hatinya.

                “Hmm… apa kata kita pergi makan di kantin. Masih ada 10 minit masa rehat ni. Hari ni aku belanja kau makan.”

                “Kau memang tak faham bahasa? Aku tak lapar!” tukas Azam lalu bangun meninggalkan Ayub yang masih kebingungan.

Kali ini Ayub pula yang garu kepala. Sikap pelik yang ditunjukkan oleh Azam membuatkan dia turut berfikir banyak kali. Terlebih sensitif pula sahabatnya hari itu. Niat baiknya tiba-tiba menjadi kebencian Azam. Tanpa sedar kelibat Azam sudah hilang dari pandangan matanya.

*****

“A

ZAM dah buat keputusan mak…” ucap Azam kepada Mak Jah. Percakapan Azam terputus sebentar apabila  perasaan sebak tiba-tiba datang mengasak ke dadanya. Seolah-olah ada batu yang menghalang di kerongkongnya untuk meneruskan kata-kata. Tampang wajahnya nampak serius. Mak Jah turut kehairanan. Seperti ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya itu. Lain benar sikap Azam petang itu.

            “Keputusan apa Azam? Mak tak faham!” tutur Mak Jah mahu tahu apa yang disampaikan oleh anaknya itu.

            “Azam nak berhenti sekolah!”

            Terkejut sungguh Mak Jah apabila mendengar ayat yang keluar daripada mulut Azam. Mencungap nafasnya menahan sabar. Kemahuan dan tindakan Azam itu mesti ditentang. Perkara untuk berhenti sekolah bukan boleh dibuat main-main.  Dia sangat pelik melihat perubahan sikap anaknya itu. Mesti ada sebab Azam bersikap demikian.

                “Kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni?”

                “Azam tak main-main mak. Azam serius!”

                “Ya Allah… apa yang merasuk kamu ni? Buat mengucap nak!”

Azam merenung tajam raut wajah ibunya. Kedut-kedut yang bergaris pada wajah tua itu menambah sayu hatinya ketika itu. Mungkin tindakannya itu menyebabkan ibunya terkejut, malah tidak bersetuju dengan tindakan dia mahu berhenti sekolah. Lebih-lebih lagi pada hujung tahun ini dia akan menduduki peperiksaan SPM. Dia ada sebab mengapa mengambil tindakan mahu berhenti sekolah. Dia sudah berfikir lama. Dia sudah menimbang baik buruk tindakan yang akan diambil itu.

                “Mak… Azam minta maaf dulu. Bukan sengaja Azam nak berhenti sekolah. Azam kesian tengok mak terpaksa bekerja keras untuk mencari duit untuk sekolahkan Azam. Setiap pagi mak dah bangun untuk buat kuih-kuih jualan. Azam tahu, mak pun bukan sihat sekarang. Tapi mak terpaksa buat sebab Azam, kan? Ayah pulak dah beberapa bulan ni terbaring sakit…” ujar Azam menerangkan keadaan sebenar dan apa persoalan yang bersarang di dadanya semenjak akhir-akhir ini.

                Luluh hati Mak Jah mendengar pengakuan anaknya itu. Memang sejak suaminya ditimpa kemalangan kira-kira 4 bulan lepas, kehidupan keluarga turut berubah. Sebelum ini Pak Jalal yang menjadi tonggak keluarga bekerja mencari rezeki. Dia hanya bekerja mengambil upah bertukang rumah di kampung. Malang memang tidak berbau, dia ditimpa kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar dari belakang oleh sebuah lori mengangkut pasir. Nasibnya baik apabila dia dapat diselamatkan manakala motorsikalnya hancur digilis lori berkenaan. Tulang pinggung dan pehanya patah. Keadaan itu menyukarkan dia untuk berjalan, apatah lagi untuk pergi berkerja.

                Kini beban menyara keluarga diambil alih oleh Mak Jah. Kemahirannya membuat kuih-kuih kampung dapat juga membantu menambah rezeki keluarganya. Setiap pagi kuih-kuihnya akan dihantar ke warung Pak Malik di simpang kampung berkenaan. Itu sahaja pekerjaan yang dimampu dilakukan oleh kudrat tuanya. Kesihatannya juga sering terganggu kerana menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis. Pernah juga Mak Jah tidak boleh bangun kerana tidak sihat. Kuih-kuih tidak dapat dibuat maka tiadalah rezeki untuknya pada hari berkenaan.

                Azam melihat faktor kesukaran ini yang menghimpit keluarganya. Dia sendiri tidak sanggup melihat ibunya bersusah payah bangun pagi sebelum subuh setiap hari demi mencari sesuap rezeki. Keadaan ayahnya yang terlantar juga memerlukan perhatian dan ubat-ubatan. Sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga, dia mahu bertanggungjawab. Dia mempunyai dua orang kakak tetapi mereka sudah berkeluarga dan mengikut suami masing-masing. Bukan mereka tidak menghulurkan bantuan kewangan tetapi hanya sekadar ada sahaja. Atas sebab-sebab inilah Azam berhenti sekolah dan mahu mencari rezeki untuk keluarganya.

                “Belum masanya untuk kamu berkerja nak. Sekarang masa kamu untuk sekolah. Mak masih mampu buat kerja. Lagipun setakat buat kuih bukan berat sangat. Kita kena bersyukur dan banyak bersabar. Biarlah sedikit yang ada tapi berkahnya yang penting,” beritahu Mak Jah sambil berlinang air mata di pipinya.

                “Mak… Azam cuma nak berhenti sekolah saja, bukan berhenti belajar.”

                “Kamu cakap apa ni? Mak tak fahamlah.”

                “Mak mesti percaya cakap Azam… Azam janji tetap akan belajar…”

                “Kalau ayah kamu tahu macam mana? Dia tentu tak setuju dengan tindakan kamu ni. Lagi dia mengamuk marahkan kamu adalah!”

                “Ini saja pilihan yang Azam ada. Azam janji tak akan sia-siakan pengorbanan ayah dan mak untuk Azam selama ini. Azam janji akan ambil peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Azam akan belajar dari rumah. Siang pergi kerja, malam Azam belajar…” beritahu Azam bersungguh-sungguh mahu menyakinkan ibunya.

                Mak Jah masih terkejut. Air mata terus meluncur laju di pipinya. Dia sendiri menjadi serba salah sama ada tindakan yang mahu diambil oleh Azam itu adalah baik atau sebaliknya. Untuk berbincang dengan suaminya adalah tidak mungkin. Bukan anaknya nanti kena marah malah dia juga akan dimarahi sama.  Fikirannya makin berserabut.

*****

“K

AU tahu tak, tindakan bodoh kau ni dah menyusahkan ramai orang!” tempelak Ayub menyuarakan rasa kesal dan tidak puas hati terhadap tindakan Azam mahu berhenti sekolah. Sebagai seorang sahabat baik, dia tidak boleh terima tindakan Azam itu.

                “Kau boleh marah, kau boleh maki aku. Kalau kau di tempat aku, kau akan rasa apa yang aku rasa.”

                “Habis tu kau nak salahkan aku? Salahkan semua orang sekeliling kau?”

                “Kenapa semua orang sibuk cari salah aku? Aku ada menyusahkan kau orang semua ke?”

                “Memang! Kau memang buat ramai orang susah! Kau nak tahu sebab apa orang sibuk pasal kau, pasal hidup kau? Sebab semua orang sayangkan kau!”

                Ayub berterusan menyoalkan Azam. Dia sangat tidak bersetuju dengan tindakan Azam mahu berhenti sekolah. Azam terpaksa menahan telinga mendengar bebelan daripada Ayub. Dia lebih banyak berdiam. Menjawab bila dia rasa perlu. Bila bercakap banyak sudah tentu hatinya menjadi sakit. Malah sahabat baiknya yang mendengar turut merasa sakit hati. Kali ini dibiarkan Ayub membebel dahulu. Sampai masanya dia akan menjawab.

                “Kenapa kau diam? Cakaplah!”

                Pertemuan antara Azam dan Ayub pada petang itu dalam keadaan yang amat tegang. Ayub sangat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh sahabat baiknya itu. Selepas seminggu Azam tidak datang ke sekolah timbul dibenaknya untuk mencari sahabatnya itu. Sehinggakan guru kelas mereka, Cikgu Hayati turut bertanya kepada Ayub mengapa Azam tidak datang ke sekolah. Atas dasar itulah dia pergi mencari Azam.

                “Aku masih boleh terima kalau kau tak datang sekolah sebab sakit tapi kalau sebab kau nak berhenti sekolah memang aku orang pertama yang akan menentang! Kalau kau tak mahu belajar pun tunggulah lepas periksa SPM nanti. Masa tu kau kerja ikutlah!”

                “Ayub… kau dah habis cakap?”

                Ayub merenung tajam ke bebola mata Azam. Rasa simpati dan geram bercampur-campur. Dia juga harus bertenang. Dia perlu juga mendengar penjelasan daripada Azam sebab apa dia mengambil keputusan drastik yang tidak masuk akal itu. Dia sayang Azam dan persahabatan yang telah dibina selama ini.

                “Aku tak ada niat nak susahkan semua orang, termasuk kau. Terima kasih sebab prihatin dengan masalah aku. Tapi aku tak ada pilihan. Fikiran aku makin hari makin serabut bila fikir macam-macam masalah. Ayah aku dah hampir 5 bulan terbaring tak boleh buat kerja, mak aku pulak terpaksa buat kuih jualan untuk belanja harian dan sara aku ke sekolah. Aku tak sanggup tengok orang tua susah sebab aku. Apa guna aku sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga kalau tak boleh bantu ringankan beban keluarga?” ujar Azam panjang lebar untuk memahamkan Ayub keadaan sebenar dirinya sekarang.

                “Aku tahu kau anak yang baik tapi belum masanya lagi untuk kau buat semua itu. Tanggungjawab kau masih perlu ke sekolah demi masa depan kau juga. Hanya pelajaran dapat mengubah nasib kita, insya-Allah.”

                “Aku faham apa yang kau cakap. Aku pun tak bantah, memang betul pun tapi…”

                “Jangan cari alasan Azam… kita kena cari jalan macam mana nak selesaikan masalah kau ni.”

                “Aku dah tak larat nak fikir. Sampai buntu kepala aku!”

                “Okey… okey… kau rileks dulu.”

*****

S

EMINGGU berlalu. Kehadiran Cikgu Hayati dan Ayub ke rumah orang tua Azam petang itu amat mengejutkan. Azam serba salah apabila Cikgu Hayati kini berada di hadapannya. Dia menjeling kepada Ayub. Sudah tentu pertemuan petang itu adalah rancangan daripada Ayub.

                “Azam… cikgu datang ni nak membantu awak. Cikgu dah tahu apa masalah awak. Awak sepatutnya tidak mengambil keputusan terburu-buru berhenti sekolah disebabkan masalah yang ada. Awak antara pelajar harapan sekolah untuk peperiksaan SPM tahun ini. Jika awak tetap dengan keputusan awak maka awak juga yang akan rugi. Awak patut berterima kasih kepada Ayub kerana mahu membantu awak teruskan pelajaran.”

                “Tapi cikgu…”

                “Sudah… cikgu tak mahu dengar apa-apa alasan lagi daripada awak. Mulai minggu depan awak kena pergi sekolah macam biasa. Segala masalah awak berkait dengan apa-apa bayaran yuran sekolah sudah diselesaikan dengan kerjasama pihak sekolah dan PIBG.”

“Err… terima kasih cikgu. Err… pasal masalah saya, ramai orang susah…”

“Masalah kamu masalah kami jugak. Kita ibarat semut yang hidup dalam satu koloni. Masing-masing ada peranan untuk membantu antara satu sama lain. Sama-sama mengumpul makanan bila tiba musim sukar. Begitu juga kita, awak, Ayub, cikgu dan masyarakat perlu bersatu hati dan membantu antara satu sama lain. Cikgu nak kamu berjaya dalam pelajaran dan seterusnya dapat membantu keluarga awak pula. Ingat pesan cikgu tu.”

“Baik cikgu. Terima kasih sekali lagi. Maafkan saya juga.”

Cikgu Hayati tersenyum puas. Satu masalah sudah selesai. Ada satu lagi berita gembira yang mahu disampaikan kepada Azam. Ayub turut gembira melihat perubahan positif sahabatnya itu.

“Kamu juga jangan risau pasal ayah dan ibu awak. Dalam masa terdekat ini juga pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat akan datang untuk menghulurkan bantuan kewangan. Pihak Majlis Agama Islam pula akan menghulurkan bantuan makanan secara bulanan. Harap bantuan-bantuan ini akan meringankan beban keluarga awak. Tugas awak sekarang kembali fokus kepada pelajaran,” ucap Cikgu Hayati membawa khabar gembira buat Azam sekeluarga.

Tidak ada ucapan yang mampu diucapkan oleh Azam melainkan bersyukur ke hadrat Allah SWT. Di akhir pertemuan petang itu, Azam dan Ayub saling berpelukan. Mereka akrab seperti adik beradik. Sikap ingin membantu dan mengambil berat Ayub terhadap sahabat yang kesusahan mesti dicontohi.

“Terima kasih Ayub… kau adalah sahabat dan saudaraku dunia dan akhirat!” ucap Azam sambil air mata laju turun ke pipinya.

“Alhamdulillah… sekarang masalah kau dah selesai. Jangan pandang belakang lagi!”

Azam dan Ayub terus berpelukan. Ibarat menyemaikan benih-benih kasih dan kini kuntun-kuntum kasih terus berkembang subur antara mereka berdua. Persahabatan yang jujur dan ikhlas akan kekal sampai bila-bila. Susah senang ketawa dan menangis tetap bersama. Melihat keakraban antara dua sahabat itu, di pelupuk mata Cikgu Hayati turut terasa panasnya.

 

BIODATA PENULIS

AC JAFFRIE penulis yang berasal dari Melaka dan menulis sejak zaman persekolahan sehingga kini. Menulis sebagai hobi sambilan tetapi serius. Genre penulisan yang diminati seperti sajak, pantun, cerpen, cerita kanak-kanak dan novel. Sehingga kini sudah melahirkan puluhan buku secara peribadi mahupun antologi bersama yang diterbitkan oleh pelbagai rumah penerbitan di Malaysia dan   Indonesia.


Tajuk Buku : ANTOLOGI CERPEN REMAJA KUNTUM KASIH

Penyelenggara : HAYATI DAUD, MASDARINA MOHD ANI & AC JAFFRIE

Tarikh Penerbitan : 8/2020

Jumlah Muka Surat & ISBN : 168 (ISBN : 978-967-2136-41-5)

Penerbit : PENA PADU PRESS

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler