Skip to Content

BERGOLEK-GELANTANG DI PENTAS SUNDA

Foto Kemirau

BERGOLEK-GELANTANG DI PENTAS SUNDA


RATUSAN ribu tahun lalu rantau ini merupakan sebuah daratan nan luas membentuk benua Sunda yang mana saiznya dua kali ganda benua kecil India. Leluhur kita belayar di samudera membelah ombak dan badai. Menelusuri lereng gunung dan ngarai. Menuruni lembah meneroka lahan memakmurkan bumi. Kita menjadi berpecah belah terpisah gara-gara penjarah Eropah. Mereka merompak hasil mahsul khazanah bumi dan turut melenyapkan sejarah peradaban peribumi. Kita diperadudombakan agar mudah mereka menguasai segalanya.

            “Kenapa kalian ribut soal negara saya?” bentak Kartika.

             “Kita bak batang tubuh. Satu anggota terluka yang lain pasti terasa sakitnya,” balasku.

            “Itu dulu. Sudah jadi sejarah. Sekarang kita negara yang berbeda.”

            “Memang, tetapi kita masih saling terikat. Leluhur kita bertebaran di setiap penjuru nusantara. Kita masih bersaudara!”

            Kartika mencemikkan mukanya. Marah benar bila aku menyentuh soal pembantaian para ulama kebelakangan ini di Indonesia. Kami menyambung pengajian dalam bidang dinamik bendalir di sebuah universiti terkemuka di ibu kota. Menelusuri denai penyelidikan memang melelahkan. Justeru kala senggang kami beristirahat di kafe sambil bersembang hal-hal semasa. Melarikan diri sebentar daripada untaian persamaan pembeza nan panjang berjela. Juga jenuh menantikan output pengaturcaraan yang memakan masa berjam-jam lamanya.

            “Tahukah kamu bahawa Hamka, Agus Salim, dan Mohammad Natsir begitu dihormati di Tanah Melayu sejak sebelum merdeka?” Aku memecah sunyi umpama guru sejarah setelah kami saling membisu seribu bahasa.

            “Mereka diberi gelar Pahlawan Nasional,” Kartika menyampuk penuh bangga.

            “Dalam gerobok di rumah ibu saya, terdapat banyak kitab karangan mereka. Bapa saya membelinya di Singapura semasa berkhidmat dalam British Military Army (BMA).”

            “Antaranya…” Kartika seperti ingin mengujiku.

            “Riwayat Kedatangan Islam di Indonesia karya Bapak Agus.”

            “Bagaimana dengan Hamka?”

            “Karya Buya Hamka paling banyak sekali. Meliputi bidang filsafat, sejarah, tafsir al-Quran, malahan cerita roman juga.”

            “Nyatakan dua judul novel beliau yang cukup tersohor.”

            “Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan Di Bawah Lindungan Ka’abah.”

            “Wah pintar sekali kamu ya! Apa benar kamu membacanya?”

            “Sebahagiannya masih di peringkat mula.”

            Misalnya biografi ‘Ayahku’ ternyata sarat dengan maklumat sejarah pengembangan Islam di Ranah Minang, Sumatera. Bak tetralogi Pramoedya Ananta Toer yang sarat dengan pengkisahan latar sejarah pada era kolonial Belanda, aku terkial-kial untuk khatamkannya.

            “Apa signifikannya para ulama Indonesia dan karya mereka di sini?”

            “Sudah tentu membangkitkan semangat juang kami. Bukankah mereka memainkan peranan yang besar sekali dalam memerdekakan Indonesia?”

            “Benar. Mereka juga terlibat merekayasakan Pancasila.”

            “Selain para ulama Muhammadiyah menyemarakkan usaha dakwah, pensyarah dan guru dari Indonesia turut menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang seperti Matematik, Fizik dan Kimia di Sekolah Alam Shah (SAS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).”

            Dosen dan guru kami mengajar di sini?”

            “Bapak Yusuf Nasoetion, Bapak Nohi Nasoetion, dan Bapak Ariffin Harahap masing-masing mengajar Fizik, Kimia dan Matematik Pra-Universiti di SAS pada tahun 1969. Malah pada awal penubuhan UKM, Prof S Sartono seorang pakar paleontologi mengajar di Jabatan Geologi. Prof HD Tjia yang dipinjamkan dari Institut Teknologi Bandung (ITB) telah menjadi ketua jabatan selama 10 tahun.” Kartika kaget dengan penjelasanku nan meleret.

            Melihatkan dirinya terkesima aku langsung melanjutkan bicara betapa jalinan ukhuwah yang terjalin antara dua bangsa serumpun terbesar di nusantara ini telah memakmurkan kedua-dua buah negara. Saling melengkapi. Malaysia dan Indonesia seharusnya bergerak seiring atas dasar kesamaan budaya, bahasa, bahkan sebilangan besar rakyat kedua-dua buah negara ini merupakan penganut agama Islam.

            “Fikri, ulang sekali lagi apa yang kamu bisikkan tadi.”

            “Tentang apa ya?”

            “Rumpun bangsa Melayu,” ujar Kartika sedikit gelisah.

            “Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand, Kemboja, Champa (sekarang Vietnam), Filipina, malah meliputi kepulauan Pasifik sehingga ke Hawaii, Maori di New Zealand dan Madgascar semuanya merupakan rumpun bangsa Melayu.”

            “Saya bangsa Indonesia!” getus Kartika sedikit meninggi suara. Aku tenang saja.

            “Pernahkah kita dengar bangsa New Zealand? Bahasa New Zealand?” Bunyinya aneh.

            Asal usul sesebuah bangsa adalah berdasarkan kajian genetik, Deoxyribonucleic Acid (DNA) iaitu juzuk kimia utama kromosom yang menghasilkan gen. Malah Profesor Stephen Oppenheimer dari University of Oxford mengesahkan bahawa Mitochondrial DNA (mtDNA) Melayu merupakan yang kedua tertua di dunia selepas bangsa Afrika.

            Aku merasa jelik dengan kedunguan dalam kalangan generasi hari ini. Mereka tidak dapat membezakan antara suku/etnik dan bangsa/ras. Berbeza dengan diaspora China di serata pelosok dunia yang memperkenalkan diri sebagai Chinese. Termasuklah di Malaysia, meskipun terdapat kepelbagaian etnik seperti Hokkien, Hakka (Khek), Kantonis, Teochew, Hailam (Hainan), dan Fuzhou (Hokchew), mereka bangga dengan identiti Chinese.

            “Nenek moyang kita telah bergolek-gelantang di Pentas Sunda (Sundaland) semenjak 60,000 ke 75,000 tahun yang lalu,” tegasku.

            “Dari mana mereka datang Fikri?” Kartika pura-pura bertanya.

            “Dari Afrika. Seterusnya mereka bergerak ke Timur Tengah. Atas faktor cuaca dan kelangsungan hidup, mereka terus berhijrah sehinggalah tiba ke Alam Melayu ini.”

            Aku buka Google Earth lalu menunjukkan kesan pelantar Sundaland yang masih boleh dilihat terus dari satelit. Ternyata Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa dan Borneo bercantum suatu ketika dahulu, iaitu sebelum berakhirnya Zaman Ais. Kartika terdiam.

            “Karya Oppenheimer pada tahun 1998 yang cukup popular, ‘Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia’ telah menggemparkan dunia,” jelasku cuba menarik perhatian Kartika.

            “Apa yang berlaku?” gesa Kartika.

            “Menurut Oppenheimer, Sundaland merupakan pusat awal ketamadunan dunia.”

            “Apakah dukungan hujah beliau Fikri?”

            “Beliau melakukan penelitian genetik, linguistik, arkeologi dan rekod oseanografi.”

            Kajian pemetaan DNA yang dilakukan adalah kolaborasi oleh University of Oxford, University of Leeds dan Universiti Sains Malaysia (USM). Bahkan hujah Oppenheimer turut disokong oleh Prof Arysio Santos dari Brazil yang menulis buku, ‘Atlantis, The Lost Continent Finally Found’ merungkai catatan Plato pada 360 SM mengenai tamadun yang lenyap.

            “Nampaknya teori Out of Africa telah menidakkan hipotesis Express Train (Out of Taiwan) yang dipelopori Peter Bellwood.” Kartika kelihatan teruja sekali.

            Hari-hari berikutnya, aku sering mengingatkan Kartika akan peri pentingnya persefahaman antara dua bangsa serumpun ini. Malah sepatutnya kita berbangga sebagai sebuah bangsa Melayu yang memiliki mtDNA berusia lebih 63,000 tahun berbanding bangsa China yang 20,000 tahun lebih muda. Persengketaan sesama kita ternyata merugikan.

            Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat (49:10), mafhumnya:

            Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, justeru damaikanlah antara kedua-dua saudaramu (yang berselisih) itu dan bertakwalah kepada Allah, agar kamu mendapat rahmat.”

            Malam itu terasa sukar sekali aku melelapkan mata. Tragedi gugurnya enam orang anak muda secara tragis begitu menghantui diriku. Kutitipkan di sini stanza pertama puisiku, ‘Aku Mencari P245 Tapi Ternyata Fatamorgana (Belasungkawa I: 6 Laskar FPI Di Km 50 Tol Jakarta-Cikampek).

            Aku mencari P245 lewat tatasusila hidup bernegara

            kemanusiaan yang adil dan beradab itu di mana letaknya?

            gebang-gebung hingar bingar P245 ternyata fatamorgana

            peluru tembus kepala tembuk dada anak muda tidak berdosa.


            Juga bait akhir puisi, ‘Hari Ini Langit Kian Menangis (Belasungkawa II: 6 Laskar FPI Di Km 50 Tol Jakarta-Cikampek).

            Aduhai saudara serumpunku dalam munajat kutitipkan doa

            kita ini tubuh nan satu pabila terluka sakitnya pasti terasa.


            Manakala dalam puisi, ‘Aku Mencari DNA WS Rendra, Taufiq Ismail Yang Lesap Entah Ke Mana’ rangkap pertamanya berbunyi begini:

            Kapan kutemui penyair muda berjiwa perkasa darah kesatria

            lewat puisi-puisi basi asyik maksyuk bicara soal rindu dan cinta

            di mana silapnya ke mana bangsa ini mahu dibawa riuh-rendah

            orang sudah ke seberang dayung kalian bantai ulama kian parah.

 

            Kesemua puisi tersebut kunukilkan di laman sesawang jendelasastra.com yang mana sesiapa pun boleh berkarya. Terima kasih penyair Indonesia yang sedia menerima kehadiranku. Rupa-rupanya tanpa kusedari, Kartika juga merupakan salah seorang penyair di bawah bimbingan Bapak Hakimi Sarlan Rasyid yang sangat berpengalaman itu.

            “Apa yang kamu maksudkan dengan P245 itu Fikri?” Seperti selalunya Kartika gemar mengajukan persoalan yang sedia diketahuinya.

            “Kamu sedia maklum Kartika,” detak hati kecilku.

            “Saya akui segala yang berlaku kebelakangan ini ternyata membelakangi sila kedua dan sila kelima. Penangkapan wewenang para ulama sungguh mengecewakan sekali.”

            Aku cukup mengerti kekesalan Kartika akan hilangnya hikmat kebijaksanaan dalam kepimpinan kini. Ironinya tatkala sarjana luar mengangkat ketamadunan bangsa Melayu di rantau ini, sebaliknya para pembesar kita sendiri meluluhlantakkannya. Kebejatan ini sama sekali tidak dapat diterima oleh akal yang sihat.



Ukhwah Pencetus Rahmat - An Anthology of Religious Stories
Authors
MN Mahmud, B Zakaria, AF Robani, etal
Publication date
2021/11
Pages
222 (ISBN 978-967-25511-1-9)
Publisher
Ulul Albab Publication

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler