Skip to Content

IRAMA NAN BERSENANDUNG

Foto Kemirau
files/user/8710/Dlloyd.jpg
Dlloyd.jpg

IRAMA NAN BERSENANDUNG

Kemirau @ Sang Murba

 

“HAIRAN sungguh aku dengan orang sekarang!” Rasa kesal jelas terpancar di wajah Long Nah. Segala yang terbuku di hatinya selama ini bagaikan tidak tertahan-tahan lagi.

            “Apa yang menariknya lagu-lagu nasyid disenandungkan dengan irama kearaban itu? Lenggok irama Melayu sudah pupuskah agaknya,” rungutnya dengan muka kelat sekali.

            Amran terdiam. Mengiakan tidak, menyanggah pun tidak. Dia faham benar perangai Long Nah bila naik angin. Lebih baik rasanya mengelamun sambil cuba menanggapi apa yang dimaksudkan Long Nah. Satu per satu lagu nasyid irama kontemporari bermain-main di fikirannya. Nama-nama penyanyi seperti Yasin, Waheeda, dan beberapa kumpulan nasyid popular bergentayangan di jemalanya.

            “Rais Yatim, mantan Menteri KEKKWA sendiri rimas! “

            “KEKKWA tu apa Long Nah?”

            “Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Itu pun tak tahu? Apa yang kamu belajar di kampus tu?”

            “Oh… saya ingatkan bunga kekwa tadi.”

            “Budak ni… Ape ke hei pula menteri bunga?”

            Sesekali Amran suka menyakat Long Nah. Seronok benar dia melihatkan telatah ibu saudaranya itu. Semenjak pemergian ibu sewaktu melahirkan adiknya, Long Nah satu-satunya saudara-mara yang dia ada. Berkongsi suka dan duka. Tempat dia dan adiknya Asyraf bermanja. Sepeninggalan ibu, langsung tidak kelihatan kelibat ayah. Long Nah cakap ayahnya telah berkahwin lagi. Entahlah.

            “Sekejap saya gelintar di mesin carian Google.”

            “Kamu carilah lagu-lagu Waheeda dan Yasin tu. Hampir keseluruhannya berirama padang pasir.”

            “Betullah Long Nah. Ke mana saja… Wassini…

            “Ah sudah! Kamu dengar guna headphone saja. Sakit telinga aku ni!” Long Nah mendengus sambil meninggikan suaranya.

            Setelah mendengar beberapa lagu Waheeda seperti Wassini, Nani, Dua Dalam Bahtera, dan Binafsha, ternyata kesemuanya berirama Timur Tengah. Cuma lagu Sindiran berirama Hindi berbaur hip-hop. Manakala lagu Senandung Malam pula berentak keroncong irama Jawa yang juga dibaurkan dengan hip-hop. Rentak lagu yang agak laju ternyata telah merosakkan irama harmoni keroncong sebenar. Begitu juga lagu Mencari yang berirama Slow Rock.

            “Berbeza sungguh dengan penyanyi zaman dulu.”

            “Siapa antaranya Long Nah?”

            “SM Salim, Ahmad Jais, Rafeah Buang, banyak lagi.”

            “Lagu nasyid apa didendangkan oleh Tan Sri SM Salim?”

            “Tak Seindah Wajah. Berirama Melayu asli.”

            Tanpa membuang masa Amran mencari lagu tersebut di Google. Terkejut beruk dia! Baru sekarang dia perasan keindahan lagu yang sarat dengan kiasan itu.

            “Tapi kenapa lagu ni tidak berkisar tentang ketuhanan pun?”

            “Itulah kamu generasi sekarang. Kalian ingat nasyid itu hanya berunsur Islam apabila dilagukan dalam bahasa Arab. Saling mengingatkan sesama insan juga dituntut agama.”

            “Jika kamu perhatikan betul-betul, seni katanya merupakan nasihat kepada kita semua agar menepati janji. Bukankah mereka yang memungkiri janji itu mewarisi sifat orang munafik?” Bersemangat betul Long Nah sekolahkan Amran.

            “Lagu ini jika ditujukan kepada politikus kita, cukup cantik!”

            “Pandai pun kamu. Memang sebiji kena di muka mereka.”

            Amran terus leka mencari-cari pula lagu Takwa dan Iman nyanyian Datuk Ahmad Jais dan Ya Ilahi Rabbi dendangan Datin Rafeah Buang yang disebut Long Nah berirama Melayu.

            “Apa yang kamu terkial-kial lagi tu?”

            Line lembaplah Long Nah.”

            “Sudah, bakar darah betul. Nanti aku buka piring hitam lama.”

            “Assalamualaikum… Wah dah lama tak tengok piring hitam ni. Long Nah simpan kat mana?” Asyraf yang baru pulang dari sekolah kelihatan teruja sekali.

            “Pergi salin baju dulu dik, kemudian makan. Lauk sedap hari ni… Abang tolong Long Nah masak lemak cili api itik nila salai tau.”

            Sebaik sahaja Asyraf beredar, Long Nah berbisik, “Jangan beritahu adik kamu tempat simpan piring hitam ni. Dulu masa dia kecil, habis dibuatnya piring terbang rekod aku.” Tergelak Amran sambil menekup mulutnya bila dijeling tajam oleh Long Nah.

            Lagu Takwa dan Iman yang berkumandang dari corong Electric Gramaphone cukup menginsafkan. Seni katanya berkisar tentang hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Malah turut mengingatkan peri pentingnya berbuat kebaikan khususnya kepada mereka yang sangat memerlukan.

            “Tutup lagu tu. Adik tak nak dengar!”

            Long Nah dan Amran terkejut bila Asyraf membentak sebaik sahaja stanza keempat lagu Ya Ilahi Rabbi berkumandang:

Hai anak durhaka

Pintu taubat masih terbuka

Jangan kau teruskan

Tingkah laku yang kecewa

            “Kenapa dik?”

            “Ayah yang patut bertaubat! Dia tergamak tinggalkan kita.”

            “Bersabar dik. Long Nah selalu berpesan, kita perlu sering memaafkan orang lain biarpun mereka menyakiti kita,” pujuk Amran.

            “Betul cakap abang, Asyraf. Dendam hanya memakan diri.”

            “Sudah, adik pergi mandi. Dah nak masuk waktu maghrib ni.”

            “Ada latihan sofbol tadi di sekolah, letihlah bang.”

            “Jangan buat alasan pula. Hidup mesti bersemangat tau. Cepat, nanti kita ke masjid bersama-sama.”

            “Kamu pun Amran. Apa yang tercatuk lagi tu? Bangkit! Esok-esok kita sambung lagi,” gesa Long Nah penuh tegas.

            Kala duduk-duduk di danau sawah suatu petang, Long Nah sambung bercerita tentang keunikan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan yang berirama Melayu. Sempat juga dilibasnya lagu-lagu dendangan Yasin seperti Aishah, Kerana Dia, Salsabila, Mimpi Laila, yang kesemuanya berentak irama padang pasir.

            Kecaknaan Long Nah akan seni budaya bangsa khususnya dalam memartabatkan irama Melayu dalam lagu termasuk pantun cukup mengkagumkan masyarakat setempat. Misalnya, beliau dapat mengesan ketidakselarasan antara pembayang dan maksud pantun dalam lagu Sepohon Kayu dendangan kumpulan nasyid Saujana. Rangkap pertamanya berbunyi begini:


            Sepohon kayu daunnya rimbun,

            Lebat bunganya serta buahnya;

            Walaupun hidup seribu tahun,

            Kalau tak sembahyang apa gunanya.

 

            Menurutnya, pembayang/sampiran pantun yang positif tidak sewajarnya disudahi dengan maksud yang negatif. Sangat berlawanan.

            “Pantun merupakan mahakarya bangsa Melayu. Malah telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan.” Hujahnya lagi penuh bersemangat.

            Ternganga Amran. Selama ini dia langsung tidak ambil kisah hal-hal berkaitan warisan budaya dan sejarah bangsa. Belajar sekadar untuk lulus peperiksaan saja.

            “Sarjana barat seperti di Perancis, Rusia dan US memandang tinggi nilai seni pantun Melayu,” celah Mokde Siah.

            Dalam ralit memanggang ikan haruan yang baru ditajur masih sempat melontarkan pandangan. Boleh tahan pengetahuan mereka.

            “Apa yang kamu menungkan tu Amran?” sergah Mokde Siah.

            “Sukar saya nak percaya orang putih sukakan pantun kita.”

            “Kamu jangan kasi malu orang kampung kita ya. Universiti mana kamu belajar ni? Zaman langit terbuka dengan kemudahan internet jalur lebar fiber optic, kamu pula seperti baru keluar dari gua.”

            “Nah ambik sebiji!” tempik Long Nah. Suka benar dia bila sahabat baiknya mengenakan Amran.

            “Kamu Google sekarang. Taip Malay Pantun.” Mokde Siah gesa Amran menggelintar maklumat di internet.

            Satu demi satu judul muncul. Lebih mengejutkan buku-buku pantun tersebut dikarang oleh orientalis barat. Sejak tahun 1812 lagi, William Marsden telah pun menulis buku A Grammar of Malayan Language yang memuatkan syair dan pantun Melayu.

            Berikutnya karya A.W. Hamilton, Malay Pantuns diterbitkan pada tahun 1941. Malah beliau turut menulis buku Malay Proverbs yang diterbitkan seawal tahun 1937 lagi.

            Manakala pada tahun 1955, R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt mengumpul dan membukukan Pantun Melayu – Malay Literature Series 12. Sarjana Perancis, Francois-Rene Dallie menghasilkan buku Alam Pantun MelayuStudies on the Malay Pantun pada tahun 1988.

            “Kenapa terbeliak pula mata kamu tu?”

            “Terpukul saya Mokde. Selama ini saya buat endah tak endah saja warisan budaya kita.”

            “Budak-budak la ni mabuk dengan Tik Tok dan games je.”

            “Betul cakap kau Siah. Aku rasa kalaulah zaman muda dulu ada internet dan smartphone bagai, entah jadi orang besar kita agaknya.” Long Nah tumpang semangkuk membedal Amran.

            “Tanpa mengenal sejarah dan budaya bangsa, ke manakah nanti hala tuju anak-anak muda kita?” Merah muka Amran kena checkmate dengan Mokde.

            “Saya baliklah dulu ya. Lagipun nanti Asyraf sampai tiada siapa pula di rumah.”

            “Merajuklah tu. Baru kena sikit dah angkat kaki.” Terkekeh-kekeh mereka berdua melihatkan gelagat Amran.

            Long Nah dan Mokde sama-sama belajar di Universiti Malaya pada awal 1980-an. Membesar di kampung seputar sawah padi. Setiap cuti penggal pengajian, mereka membantu keluarga di bendang. Menjadi suatu kebiasaan waktu itu membawa radio dan memutarkan kaset di danau. Dendangan lagu-lagu di corong radio membangkitkan suasana yang sungguh mengasyikkan sekali. Sementelah pula persekitaran sawah yang permai dengan padi menguning dan burung-burung berterbangan di sana sini. Dibelai semilir angin gunung, dan rumpun padi nan meliuk lentuk serta kedinginan embun menitis di awal pagi ternyata merupakan momen yang sungguh puitis sekali.

            Justeru tidak hairanlah mengapa Long Nah dan Mokde bisa menghadam tiap bait lirik lagu yang beralun-alun di udara. Lagu-lagu tersebut bukan sekadar halwa telinga semata-mata. Mereka menjiwainya!

            “Cuti saya tinggal seminggu sahaja lagi Long Nah. Selepas semester akhir nanti, saya akan menjalani latihan industri,” ujar Amran pada suatu pagi hujung minggu.

            “Di syarikat mana kamu ditempatkan?”

            “Di Sapura Kencana. Oil and gas company di KL.”

            “Siapa pula nak teruskan kelas bimbingan Add Math di balai raya kampung kita nanti?” keluh Asyraf. Dia yang datang dari arah dapur menatang sepinggan cekodok ikan bilis.

            “Budak-budak kampung suka dengan cara abang mengajar tau… mudah faham,” sambungnya lagi sambil menghulurkan cekodok kepada abangnya.

            “Kita masih boleh berhubung melalui e-mel, WhatsApp, Microsoft Teams, Google Meet, dan Zoom. Malah di Youtube ada banyak tutorial yang disediakan oleh pakar matematik dari segala pelosok dunia.”

            “Masalahnya di kampung kita ini line internet lembap.”

            “Itulah sebabnya kamu berdua mesti belajar bersungguh-sungguh. Sudah berjaya nanti curahkan bakti kepada masyarakat di sini. Bangunkan prasarana telekomunikasi yang canggih untuk anak-anak kampung kita. Jangan lupa asal usul pula.” Long Nah berceloteh.

            Sehari sebelum pulang ke kampus di UniKL MICET, Amran sempat mengingatkan Long Nah untuk menyambung cerita tentang irama muzik Melayu khususnya penglibatan kumpulan nasyid pada tahun 1970-an.

            “Wah bersemangat kamu ya!”

            “Memanglah… banyak perkara yang saya belajar daripada perkongsian ilmu Long Nah.”

            “Terdapat beberapa kumpulan nasyid yang cukup terkenal di nusantara, antaranya Al Jawaher, Hidayah, dan Al Mizan yang berasal dari Singapura. Al Jawaher ditubuhkan pada tahun 1979, manakala Al Mizan dua tahun sebelumnya.”

            “Malaysia punya tak ada ke?”

            “Ada… Orkes Sinar Murni cukup popular dengan lagu Ibu Mithali. Cuma mereka terikut-ikut dengan gaya Orkes El Suraya, Orkes Gambus Al Barkah, dan Orkes Al Wathan dari Indonesia.”

            “Gaya macam mana pula tu?”

            “Irama padang pasirlah. Berbeza dengan kumpulan nasyid dari Singapura yang mengetengahkan irama Melayu. Pergi ambil piring hitam dalam almari di sudut bilik aku.”

            Amran membelek-belek cover album satu per satu. Dia agak terkejut melihat ahli kumpulan nasyid hanya berselendang. Menurut Long Nah, zaman itu berbeza dengan sekarang. Misalnya, pada tahun 1970-an murid-murid lelaki di sekolah menengah hanya memakai seluar pendek sehingga tingkatan tiga.

            Kelihatan orang-orang kampung yang lalu lalang menoleh ke arah rumah Long Nah yang riuh berkumandang nasyid klasik. Lagu-lagu seperti Mohon Pada-Nya Sujud Pada-Nya, Junjungan Mulia dan Tiada Yang Kekal Melainkan Allah dendangan kumpulan Al Jawaher, Al Mizan, dan Hidayah masing-masing berentak irama Melayu. Jelas alunannya cukup indah lagi mengasyikkan.

            Hal demikian sebenarnya tidaklah aneh memandangkan lagu-lagu yang dinyanyikan kumpulan Al Jawaher dan Al Mizan mendapat sentuhan M. Nasir. Manakala lagu-lagu kumpulan Hidayah pula digubah oleh S. Atan. Kedua-dua komposer tersebut punya jati diri Melayu yang cukup tinggi dalam penghasilan karya mereka meliputi pelbagai genre muzik.

            “Kamu lihat album D’Lloyd ni.”

            “Kumpulan nasyid mana pula ni?”

            “Itu kumpulan pop dari Indonesia.”

            Sambil Long Nah meletakkan piring hitam tersebut di cakera gramaphone, Amran merenung cover album dengan penuh teruja. Dia tergelak melihat fesyen seluar bell-bottoms yang digayakan oleh kesemua tujuh orang ahli kumpulan tersebut.

            “Wah, biar betul!”

            “Apa bendanya?”

            “Lagu nasyid tu Long Nah. Apa judulnya?”

            “Keagungan Tuhan.”

            Amran tersentak sebaik lagu tersebut berkumandang. Selama ini dia menyangkakan bahawa lagu pop tidak serasi dengan nasyid.

            “Penyanyi utamanya, Syamsuar Hasyim juga dikenali sebagai Sam D’Lloyd telah membawakan lagu berentak Melayu itu dengan syahdu sekali,” jelas Long Nah sambil menyeka air matanya.

            Amran turut menahan sebak. Suasana hening seketika. Usai dendangan lagu tersebut, sekonyongnya dia memutarkannya sekali lagi. Kelembutan irama muzik Melayu disulami dengan seni kata hebat yang mengagungkan kebesaran Allah SWT benar-benar menusuk kalbu. Justeru, tidaklah menghairankan apabila seorang pengunjung Youtube menyatakan bahawa temannya di Okinawa, Jepun juga sangat menyukainya. Muzik merentas bangsa dan budaya.

            “Dialah Pengasih dan Penyayang… kepada semua insan…”  

            “Sudah… tukar lagu lain pula. Esok kamu dah nak pulang ke kampus. Cerialah sikit.”

            “Ceritalah lagi Long Nah…”

            “Era 1970-an, irama muzik di Nusantara ini sangat menonjol unsur kemelayuannya.”

            “Selain D’Lloyd, kumpulan pop apa lagi di Indonesia?”

            “The Mercy’s dari Medan yang bergiat aktif semenjak tahun 1969 hingga 1978, telah menghasilkan banyak lagu-lagu Melayu yang malar segar.”

            “Long Nah ada rekod piring hitamnya?”

            “Nanti aku putarkan satu lagu ni yang dikira berhantu.”

            “Long Nah ni buat suspen je.”

            “Kamu dengarlah lagu Jauh Disayang ni.”

            “Kenapa senyap je tu? Mengelamun terkenang buah hatilah tu.” Long Nah tersenyum melihatkan gelagat Amran yang melayang jauh dek terpesona dengan melodi lagu itu.

            “Memang dahsyat penangan lagu The Mercy’s ini,” Amran berbisik dalam hati.

            Lalu melontarkan pertanyaan, “Di tanah air kita, selain Tan Sri SM Salim, Datuk Ahmad Jais, Datin Rafeah Buang, dan Orkes Sinar Murni, ada tak seniman lain yang menyanyikan lagu-lagu ketuhanan berentak irama Melayu?”        

            “Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Saloma.”

            “Lagu yang mana satu?”

            “Rukun Islam. Berentak zapin lagi.”

            “Malah lagu Kujejak Bekas Kakimu dalm filem Gerimis juga merupakan sebuah lagu yang hebat,” tambah Long Nah lagi.

            “Berkisar tentang apa agaknya?”

            “Sebuah pengakuan ikhlas seorang suami bernama Kamal yang tersalah langkah. Ingin kembali kepada isterinya Leela dan anak kecil mereka. Pasrah kepada Allah SWT agar dipertemukan semula.”

            Amran terdiam. Menitis air matanya menyaksikan filem Gerimis di Youtube yang telah dimuat naik oleh jefferniagaz. Semenjak 7 Ogos 2014 lalu telah peroleh sebanyak 8, 444 tontonan.

            Seawal pagi Asyraf, Long Nah dan Mokde menghantar Amran di stesen kereta api Kuala Kangsar untuk menaiki ETS ke stesen Pulau Sebang. Mereka menaiki Proton X50 milik Long Nah yang baharu dibeli menggunakan wang gratuiti persaraannya sebagai guru di MCKK.

            Tiba-tiba berkumandang lagu Cinta Dulu Cinta Sekarang nyanyian Tan Sri SM Salim. Masing-masing saling memandang. Rupa-rupanya ringing tone panggilan masuk pada handphone Mokde.

            Semua pakat tergelak.

            “Wah boleh tahan Mokde!” Asyraf sempat mengusik.

            “Eh, itu pun nasyid juga. Banyak nasihat di dalamnya buat orang muda macam kamu.”

            “Saya nak download lagu tu. Bosan-bosan dalam tren nanti bolehlah layan…” Amran mencelah.

            “Baguslah Amran. Daripada kamu sibuk melayan lagu-lagu K-Pop, Hip-Hop tu… ada baiknya mendengar muzik berlatar akar budaya kita,” pesan Long Nah.

            “Penuh nasihat. Lagipun apa faedahnya kita mengagungkan budaya hedonisme yang melalaikan itu?” sampuk Mokde pula.

            ETS mula meninggalkan stesen Kuala Kangsar menuju ke selatan. Sambil melambaikan tangan, Amran melayan perasaan.

            Benarlah kata-kata Long Nah, “Kita perlu berbangga dengan seni warisan budaya bangsa kita sendiri. Jika bukan kita yang memartabatkannya, siapakah lagi?” detak hati kecilnya.

 

 

Seribu Kata - An Anthology of Short Stories
Authors
MN Mahmud, AA Hamid, A Washif, F Pauzihal, H Salme, I Romtie, F Lubok, A Akhir, H Nazrie, NA Ishak, F Nur, SM Daud, N Needles, NA Sulaiman, QL Al Kundasangi, H Dini, SK Sivaraman
Publication date
2021/11
Pages
208 (ISBN 978-967-1981-62-7)
Publisher
HIKARYA Publishing

 

Komentar

Foto Sidik Sapta Pandita

Bahasa dan Sastra Indonesia

Saya sedang belajar Pendidikan Bahasa dan Sastra Indonesia, jadi blog-blog atau laman seperti ini sangat membantu, terimakasih yang sudah membuat karya ini.

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler