Skip to Content

MUSIM NAN BERSILIH GANTI

Foto Kemirau

MUSIM NAN BERSILIH GANTI

 

MUSIM permainan zaman kanak-kanak pada tahun 1970-an bersilih ganti. Tiada siapa pun yang mengaturkannya. Mereka bagaikan serasi. Apa yang dimainkan di sesebuah kampung, juga turut dimainkan di kampung lain. Kisah cepat tersebar biarpun tanpa telefon pintar.

            Berbagai-bagai jenis permainan pada zaman itu. Kanak-kanak kampung cukup kreatif. Bahan-bahan terbuang pun boleh dijadikan mainan. Tidak pernah kedengaran anak-anak merengek minta dibelikan barang mainan. Kehidupan keluarga serba susah. Mereka pandai sesuaikan diri.

            “Yazid, nak ke mana ‘tu?” pekik Abu.

            “Saya nak ke rumah Ma’amor.”

            “Ada apa di sana?”

            “Budak-budak main laga spider.

            “Tunggu! Saya pun nak ikut sama.”

            Spider selalunya bersarang di daun pandan dan ubi bemban. Biasanya pada daun yang saling melekat. Hanya spider jantan yang berlawan.

            “Macam mana nak cam jantinanya?” tanya Abu bersemangat.

            “Kalau mata hitam, itu spider jantan. Spider betina matanya putih,” ujar Yazid.

            “Lagi satu yang betina buntutnya lebih besar,” tambahnya lagi. Abu ternganga.

            “Wah, cantiknya spider Ma’amor! Garang pula ‘tu.” Yazid terkejut.

            “He… he… ada berani? ” Ma’amor mencabar sambil menayangkan spider yang baru dikeluarkan dari kotak mancis.

            Beberapa orang menyahut cabarannya. Bagaimanapun kesemuanya tewas. Spider yang kalah melarikan diri. Mereka biarkan saja. Lebih baik cari spider baru yang lebih berani berlaga.

            Yazid tak puas hati. Petangnya dia mengajak Abu mencari spider yang lebih garang.

            Padi telah pun selesai dituai. Kerbau jagaan dilepaskan bebas meragut rumput. Cuti sekolah pula baru saja bermula. Apalagi mereka pun bebas ke sana sini bermain.

            Suatu petang, Yazid ke rumah Ma’amor membawa spider baru yang lebih ganas. Dia nak ajar spider Ma’amor cukup-cukup. Abu pula mengapi-apikannya.

            “Ma’amor tak ada di rumah. Dia bersama sepupunya pergi main layang-layang di sawah baruh,” jelas Makcik Embun.

            Yazid kecewa.

            “Sekarang bukan musim laga spider. Di sana sini orang bermain layang-layang,” tegas Ma’amor.

            “Cakap sajalah kamu takut kalah kali ini.”

            “Tak kuasa nak layan kamu,” balas Ma’amor sambil menjolok layang-layangnya yang tersangkut di dahan sena.

            Angin agak kuat petang itu. Terdapat layang-layang terputus tali dan terbang jauh dibawa angin.

            Peliknya satu-satu permainan adakalanya tidak bertahan lama. Begitu cepat bertukar. Tiada jangka masa tertentu untuk sesuatu permainan. Setelah bosan berlaga spider, mereka bermain layang-layang pula.

            Tiba-tiba muncul sekumpulan kanak-kanak bermain buluh letup. Yazid, Abu, dan Ma’amor pun sibuklah mencari buluh dan buah cenderai sebagai pelurunya. Sebenarnya jenis sesuatu permainan dipengaruhi oleh perubahan musim.

            “Adoi!” Di sana sini budak-budak terjerit.

            Peluru cenderai yang kena di badan jika berlengeng memang cukup sakit. Pedih. Kena pula yang ditembak dari buluh letup dua laras. Dua das hinggap di badan. Boleh melolong dibuatnya.

            “Opps.. surrender!”

            “Hands up!”

            Apabila sudah tidak tertahan lagi dibedil, terpaksalah menyerah diri. Pihak lawan bertimbang rasa. Menghormati mangsa yang tidak berdaya.

            Semasa pokok padi hidup subur, mereka menjaga kerbau di beting sungai. Budak-budak perempuan bermain batu seremban. Ada juga yang main lompat getah. Budak lelaki melompat terjun mandi sungai. Pelbagai gaya akrobatik.

            “Semua naik!” pekik Long Umar.

            Kecut perut mereka bertiga. Lantas seorang demi seorang meloncat ke atas tebing. Diikuti yang lain. Budak-budak perempuan bersorak. Tiba-tiba semuanya senyap apabila melihat mereka disesah dengan ranting senduduk.

          “Long ‘dah pesan jangan mandi sungai. Lemas nanti siapa yang susah?”

            “Adoi! Adoi! Sakit Long,” rintih budak yang akhir sekali naik. Daun di tangkai senduduk sudah habis luruh. Melelas betis dibuatnya.

            Begitulah kehidupan di kampung pada era 1970-an. Anak orang dianggap seperti anak sendiri. Hukuman yang dikenakan bertujuan untuk mendidik mereka. Bukannya dibelasah sesuka hati.

            Masa pantas berlalu. Musim permainan bersilih ganti. Namun terdapat juga beberapa jenis permainan yang sentiasa hidup. Dimainkan tidak kira masa. Misalnya congkak biji getah, ketingting, patgulipat, dan konda kondi.

            Menjadi suatu kebiasaan jika terlihat lubang congkak di bawah rumah. Begitu juga kesan goresan petak ketingting di halaman. Malah lubang yang dikorek untuk konda kondi juga kelihatan.

Ya Allah, terbelah gasing Abu!” jerit Ma’amor.

            “Sampai hati kamu pecahkan gasing saya.” Abu bersungut serasa hendak menangis.

            “Maaflah, saya tak sengaja,” pujuk Yazid.

            Hubungan Yazid, Abu, dan Ma’amor ada pasang surutnya. Sama seperti kanak-kanak lain. Sekejap baik, sebentar nanti bergaduh pula. Ada ketika mereka bermain sebagai satu pasukan. Pada masa yang lain pula saling bertarung sesama sendiri. Bergantung kepada jenis permainan yang diminati masing-masing.

            Paling seronok apabila tiba musim bermain getah gelang. Macam-macam gaya permainan diolah oleh kanak-kanak pada zaman itu. Entah daripada mana mereka mendapat ilham.

            Masing-masing megah tayang getah gelang berwarna-warni yang dimiliki. Ada yang sarung di lengan kiri kanan sehingga mencecah siku. Ada juga yang dandan sepuluh-sepuluh. Membentuk ‘rantai’ getah yang tebal. Lalu dililit di pinggang, di badan, malah sangkut di leher.

            “Jom kita main getah palang,” pelawa Abu.

            “Jentik pakai gundu?” tanya Yazid berseloroh.

            “Jari tangan halus. Mana larat nak jentik,” Ma’amor mengomel.

            Akhirnya mereka jentik guna seurat getah gelang saja. Bila getah jatuh, masing-masing berlari menuju palang. Jika getah berjuntai menyentuh palang,  dikira batal. Istilah digunakan ketika itu ialah current. Macam litar elektrik pula. Hanya getah yang tidak tersangkut atau tersentuh boleh diambil.

            Budak-budak besar berlawan sesama mereka menggunakan gundu. Ada yang bubuh rantai jala di pangkalnya. Sekali henjut palang, berserakan getah gelang di tanah.

            “Bosanlah, asyik current saja. Kita main baling tin pulalah,” desak Ma’amor.

            ”Yalah, ‘tapi kalah jangan menangis,” sahut Yazid sambil kenyit mata ke arah Abu. Tersengeh Abu. Nampak giginya yang rongak sebatang.

            “Besarkan kotak lagi. Tak aci macam ‘ni,” Abu merungut. Lalu Yazid menggores semula petak segiempat sama. Kasi besar sedikit. 

            Getah masing-masing ditaruh atas tin susu. Biasanya seorang sepuluh helai. Tin diletakkan di tengah petak. Hanya getah yang terkeluar dari petak boleh diambil. Tin dibaling dengan bongkah batu. Adakalanya dibaling dengan selipar.

            Petang itu, Ma’amor kalah teruk. Sehelai getah pun tak tinggal. Betul sangkaan Yazid, Ma’amor terus pulang ke rumah sambil menangis.

 

Glosari

spider – labah-labah

mengapi-apikan - menghasut 

berlengeng – tidak memakai baju

sesah – sebat

melelas – melecet, mengelupas

ketingting – teng-teng

patgulipat – sorok-sorok, sembunyi-sembunyi

konda kondi – ketuk/cungkil ayam (loghat Melaka)

mengomel – berleter

gundu – pelontar daripada getah yang dijalin

 

 

Permainan Alam Kanak-Kanakku - An Anthology of Children's Short Stories
Authors
MN Mahmud, AH Musa, AN Morusun, AFM Fuzi, JA Julaihi, N Wahid, N Wasimin, NR Siren, N Churaimi, R Kamaruddin, S Simon, ZA Kadir
Publication date
2022/6
Pages
101 (ISBN 978-967-0013-23-7)
Publisher
SYFE Management Sdn Bhd

 

Komentar

Tulis komentar baru

Materi isian ini bersifat rahasia dan tidak ditampilkan ke publik.


Terpopuler Hari Ini

Sebulan Terakhir

Terpopuler